DUNGUN
29 Dis. – Kerajaan akan menyegerakan pemberian bantuan awal persekolahan RM100
kepada setiap pelajar sekolah di negeri- negeri yang berdepan dengan bencana
banjir di samping bantuan lain bagi meringankan lagi bebanan keluarga mangsa.
“Saya sedang teliti bayaran awal persekolahan kepada setiap pelajar RM100 bagi negeri yang ada masalah banjir termasuk sebahagian daripada mereka hilang pakaian sehingga keluarga terpaksa beli pakaian baru.
“Walaupun prosedur kewangan kata kita hanya boleh belanja pada awal 2015 tetapi dengan penangguhan permulaan sesi persekolahan dan keutamaan kepada negeri-negeri dan sekolah yang terlibat, kita akan usaha dengan sebaik mungkin,” katanya.
Muhyiddin menyatakan perkara itu dalam sidang media sempena lawatannya ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Nyor, dekat sini hari ini.
Lawatan beliau turut diiringi Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah bersama para pemimpin negeri yang lain dan ketua-ketua jabatan.
Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri meninjau keadaan banjir dengan menaiki bot dan melawat mangsa bencana itu yang ditempatkan di pusat pemindahan di SK Durian Mentangau dan mendengar taklimat banjir di situ.
Pada masa sama, beliau yang juga Menteri Pendidikan turut mengumumkan penangguhan sesi persekolahan di seluruh negara kepada 11 dan 12 Januari depan, bukannya bermula pada 4 dan 5 Januari seperti ditetapkan sebelum ini.
Bagaimanapun katanya, penangguhan selama seminggu ekoran bencana banjir yang berlarutan dan meluas di beberapa negeri itu tidak perlu diganti.
Muhyiddin mengulas lanjut, langkah itu diambil memandangkan sebanyak 340 buah sekolah di seluruh negara terjejas banjir yang turut dijadikan pusat pemindahan
“Kalau ikut jadual asal, awal persekolahan adalah pada 4 dan 5 hari bulan (Januari). Dengan keadaan banjir masih berlarutan, sebahagian sekolah ini tak dapat kita gunakan.
“Begitu juga guru-guru yang masih berada di kampung mereka tak dapat balik semula ke tempat kerja dan atas dasar ini dan keadaan yang kita hadapi saya telah putuskan supaya kita tangguhkan awal persekolahan, kita juga boleh bantu keluarga buat persiapan,” katanya.
Ditanya sekiranya banjir berlarutan dan sebilangan sekolah berdepan dengan masalah prasarana beliau berkata, itu akan diteliti berdasarkan keadaan tetapi pihak kementerian telah menyediakan peruntukan bagi kerja-kerja baik pulih dan penggantian peralatan.
sumber : Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment