SIBU
28 Dis. – Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menggesa Kementerian
Pendidikan mempertimbangkan semula kaedah lantikan guru besar atau pengetua
yang mensyaratkan lantikan perlu melalui sijil Kelayakan Profesional Kebangsaan
bagi Kepimpinan Pendidikan (NPQEL).
Presidennya,
Ahmad Malie berkata, gesaan tersebut merupakan antara resolusi diputuskan pada
Mesyuarat Majlis Tertinggi KGBS.Katanya, secara dasarnya mereka tidak membantah kursus NPQEL diteruskan.
“Kita tidak menafikan keperluan NPQEL tetapi apabila melihat pada senario semasa, ia menimbulkan masalah kepada guru yang telah mengikuti NPQEL tetapi gagal dalam temu duga.
“Keadaan ini merugikan kerajaan memandangkan masa dan perbelanjaan guru dalam mengikuti NPQEL ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi KGBS, di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir Timbalan Presiden KGBS, Mohd. Mortadza Mentarang dan Setiausaha Agung, Sajali Ojek.
Tambahnya, KGBS mencadangkan agar guru yang berkualiti dan mempunyai bakat kepemimpinan serta berhemah tinggi dilantik dahulu memegang jawatan sebagai guru besar ataupun pengetua melalui temu duga.
“Setelah itu, baharulah mereka diberi peluang menghadiri kursus NPQEL ini agar ia lebih adil dan peluang kepada guru berkelayakan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, KGBS juga menyokong penuh dasar Kementerian Pendidikan yang menetapkan dasar 1Murid, 1Buku dan 1Meja menjelang sesi baharu persekolahan sesi 2015.
“Dasar itu diharap dapat dilaksanakan dengan berkesan untuk kebaikan semua murid dan pelajar pada sesi baharu nanti.
“Selaras
dengan dasar kementerian yang mahukan proses pengajaran dan pemudah cara
berjalan pada hari pertama persekolahan, KGBS juga berharap ia dapat
dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.
Sumber : Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment