Tuesday, December 30, 2014

CUEPACS MOHON PERCEPAT BAYARAN BONUS PENJAWAT AWAM



KUALA LUMPUR 29 Dis. - Bagi meringankan beban kewangan akibat banjir yang melanda beberapa buah negeri, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan agar mempercepat bayaran bonus penjawat awam kepada awal bulan Januari 2015.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, memandangkan keperluan sekolah yang dibeli oleh penjawat awam untuk anak-anak mereka musnah akibat banjir, bayaran bonus amat diperlukan golongan berkenaan bagi membuat persiapan awal persekolahan.

 “Kami faham keprihatinan kerajaan melalui pengumuman bayaran awal Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan penangguhan permulaan sesi persekolahan, jadi CUEPACS harap kerajaan boleh mempertimbangkan juga bayaran (awal) bonus kepada penjawat awam.
Jika bayaran bonus diawalkan, mungkin ibu bapa sempat membuat persediaan untuk persekolahan anak-anak mereka,” katanya dalam sidang media di Wisma CUEPACS di sini hari ini Semasa membentangkan Bajet 2015 Oktober lepas,

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 kepada kira-kira 1.5 juta penjawat awam dan ia dibayar bersama gaji Januari 2015.

Dalam pada itu, Azih berkata, CUEPACS bersama Yayasan Pekerja Malaysia akan turun padang untuk membantu mangsa-mangsa banjir dalam masa terdekat. CUEPACS juga telah berbincang dengan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk mendapatkan beberapa doktor dan sebuah bas perubatan untuk membantu mangsa banjir di beberapa buah negeri bagi mengelak penularan wabak berikutan banjir.

Katanya, setakat ini CUEPACS telah menubuhkan jawatankuasa di peringkat negeri untuk turut memberi bantuan seperti menjadi sukarelawan dan membersihkan rumah yang musnah akibat banjir. Beliau turut meminta semua agensi kerajaan dan penjawat awam untuk tampil menghulurkan bantuan sama ada dalam bentuk makanan dan pakaian serta bantuan lain kepada mangsa banjir. Yang turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Pengerusi Eksekutif Yayasan Pekerja Malaysia, Datuk Omar Osman. - Bernama



No comments:

Post a Comment