Friday, December 26, 2014

Sesi sekolah 2015 mungkin ditangguhkan



BESUT - Kementerian Pendidikan sedang menimbang kemungkinan penggal persekolahan baru 2015 di negeri terjejas banjir ditangguhkan pada tarikh sesuai bagi negeri yang terjejas banjir.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, langkah ini susulan banyak sekolah di Pantai Timur yang terjejas akibat banjir.

Menurutnya, kementerian sedang menunggu laporan daripada Jabatan Pendidikan Negeri sebelum keputusan dibuat sebelum memutuskan sekolah akan dibuka pada 5 Januari atau sebaliknya.

“Sekarang ini sebahagian besar sekolah di negeri yang terjejas masih dijadikan sebagai pusat pemindahan banjir dan tidak boleh dijadikan tempat belajar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemindahan Banjir dan Air Pasang Besar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut di sini semalam.

Seramai 102 mangsa daripada 31 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan itu namun ramai mangsa pulang ke rumah masing-masing di tiga buah kampung berikutan cuaca cerah semalam.

Mengenai kerosakan peralatan di sekolah, Idris berkata, kementerian belum menerima laporan kerana banjir masih belum pulih terutama di Kelantan.

sumber : Sinar Harian
 

No comments:

Post a Comment