Tuesday, December 30, 2014

Motivasi : 'Reset minda' pekerja yang hebat



Oleh : Dr. Muhaya Muhamad 

Bagaimanakah pemikiran ‘Reset Minda,’ yang memfokuskan kepada kekuatan minda bawah sedar/minda segar membantu dalam pekerjaan? Bayangkan de­ngan ‘mata akal’ dan ‘mata hati’, kita bekerja dengan bersungguh-sungguh, sentiasa memberi perkhidmatan lebih daripada biasa, sebab kita bekerja dengan niat kerana Allah dan tempat kerja itu adalah ladang pahala kita. 

Sebagai pekerja, tiga perkara yang kita mesti elakkan jangan ada dalam hati kita. Pertama, jangan bersaing, sebab akan menimbulkan rasa iri hati, dendam dan cemburu. Kalau kita bersaing untuk mendapat sesuatu jawatan misalnya, kita akan kecewa apabila kita tidak dapat.

Kedua, jangan berasa kita penting. Kalau kita berasa diri kita penting, akan menimbulkan rasa bongkak dan keegoan yang tinggi. Kita akan marah apabila orang tidak memberikan penghormatan kepada kita, atau melayan kita dengan sepatutnya selaras dengan apa yang telah kita sumbangkan sebagai pekerja.

Ketiga, jangan mengharapkan penghargaan. Kita akan kecewa apabila sumbangan kita orang tidak nampak, orang melupakan dan tidak menyebutnya. Jangan mengharapkan penghargaan orang tetapi bekerjalah untuk mendapat keredaan Allah. Bekerjalah dengan ikhlas dan jujur, dengan niat kerana Allah, untuk membuatkan majikan kita gembira dan syarikat kita berjaya.

Kita sendiri akan berasa bahagia kerana kita menyumbang untuk membahagiakan dan memberikan kejayaan kepada orang lain. Jangan ragu-ragu untuk ‘memberi’ seberapa banyak idea/tenaga/pemikiran ketika bekerja, walaupun adakalanya kita berasa sesak dengan gaji yang tidak seberapa. Anggap semua itu sebagai pencen kubur kita. Allah ada, Allah akan ganti balik semua yang kita telah beri.

Seorang pekerja yang hebat, dia akan sentiasa bertanya apa yang boleh dia beri atau sumbangkan, dan bagaimana hendak pertingkatkan produktivitinya? Perkara yang selalu difikir hanyalah, yang melibatkan manfaat yang patut dia berikan kepada majikannya, bukan apa manfaat yang dia patut dapat daripada majikan untuk dirinya. Iaitu, contohnya “Apa hak saya?” “Berapa bulan bonus?” dan seumpamanya. Maknanya dia tidak akan sibuk bertanya, “apa yang saya boleh dapat dan apa yang anda akan beri?”

Bekerjalah lebih daripada sepatutnya. Insya-Allah Kalau kita tidak dinaikkan pangkat, Allah beri rezeki dalam bentuk yang lain pula; anak jarang-jarang sakit, diri sendiri susah demam, kereta yang ada tidak bermasalah - susah hendak rosak, makan rasa sedap sentiasa rasa enak, balik rumah rasa tenang dan rasa tenteram, dapat rakan yang baik - masa senang bersama masa susah tidak larikan diri. Nikmat mana yang Allah sembunyi, semua Allah beri. Jom ‘Reset Minda’ untuk gembira dan bahagia membahagiakan ketika bekerja.

 ‘Reset Minda’ adalah satu konsep pemikiran yang melibatkan proses mengubah cara kita berfikir atau memandang sesuatu perkara atau kejadian dengan sudut pandangan yang berbeza dan baharu. Iaitu perubahan secara total, daripada sesuatu yang negatif kepada positif; jika ia masalah – terima dan dilihat sebagai cabaran, jika suatu musibah dipandang atau diterima sebagai ujian Allah, dengan berlandaskan kepercayaan kepada Rukun Islam yang lima dan Rukun Iman yang enam.

Kita tidak mencari salah orang, sebalik kita banyak melihat di mana kelemahan diri dan bagaimana untuk mempertingkatkan prestasi kerja. Apa-apa yang berlaku kita percaya sebagai takdir dan qadak dan qadar Allah. Contohnya kita menghadiri temu duga untuk kenaikan pangkat. Sebagai pekerja; prestasi kerja kita sangat baik, kita seorang yang berpengalaman, kelulusan pun menepati syarat temu duga, kita pun boleh menjawab soalan penemu duga dengan baik, tetapi apabila keputusan temu duga keluar, kita gagal.

Panduan

Yang dapat jawatan kenaikan pangkat itu, pekerja yang lebih muda daripada kita, kurang pengalaman, dan dari segi kelulusan kita sama atau lebih baik daripada mereka yang berjaya dalam temu duga tersebut. Patutkah kita kecewa, patah semangat untuk terus menyumbangkan perkhidmatan yang cemerlang? Wajarkah kita terus menyalahkan dan mencari faktor luaran, mengapa mereka yang berjaya, dan kita tidak berjaya?

Sebagai pekerja kita mesti ada tiga sifat yang menjadi garis panduan untuk kita bekerja dengan hebat. Pertama, hubudiyah (kehambaan). Kita menjadi pekerja sebagai salah satu peranan kita sebagai insan untuk mendapatkan keperluan hidup, tetapi peranan utama kita ialah menjadi hamba kepada Allah.

Jangan sesekali dalam menjadi pekerja, kita menjadi hamba kepada manusia. Kita hanya boleh menjadi hamba kepada Allah. Jika dalam melaksanakan kerja, kita meninggalkan urusan kita dengan Allah, misalnya kerana sibuk mesyuarat hingga terlepas solat, bermakna kita telah menghambakan diri kepada manusia.

Kalau kita bekerja di sebuah institusi yang tidak membenarkan kita menutup aurat, kita patut lepaskan jawatan di institusi itu. Sebab kita tidak boleh mematuhi peraturan dan undang-undang manusia yang bercanggah dengan hukum Allah SWT.

Kedua, mesti ada sifat masuliyah, bertanggungjawab. Apabila kita bekerja kerana Allah, kita akan sentiasa sedar bahawa kita telah aku janji dengan majikan kita akan melaksanakan segala tugas dengan penuh tanggungjawab kerana tempat kerja itulah ladang pahala kita, bukan tempat kita merungut, mengeluh, menyesal, menyalahkan dan mengumpat.

Ketiga, ifqan buat kerja sebaik-baik mungkin. Amanah dalam melaksanakan tugas dengan mengamalkan tiga perkara. Pertama, integriti dalam tempat kerja. Apa yang kita cakap itu yang kita buat. Kedua, kita melayan orang lebih baik daripada kita ingin dilayan. Ketiga, buat lebih daripada yang patut kita buat. Jangan buat kerja sikit tetapi hendak pulangan lebih dan berkira masa kerja.

Kalau kita pekerja terlalu berkira, nanti Allah juga akan berkira dengan kita, dan kita juga akan jumpa dengan orang yang berkira dalam perjalanan hidup kita.
Kita hanya akan dapat berdasarkan nilai yang kita beri, iaitu pertama, kita dibayar berdasarkan keperluan yang dibayar. Kedua, bagaimana bagus atau tidak kita melakukan kerja itu. Ketiga, berikan nilai tinggi hingga tidak ada orang boleh ganti tempat kita.

Setiap manusia akan dibayar berdasarkan nilai yang diberi kepada kerjanya. Kalau kita melakukan sesuatu kerja, hasilnya rendah tetapi kita mendapat pulangan yang besar bermakna Tuhan akan ambil balik dengan pelbagai cara; kereta rosak, duit hilang dan pelbagai musibah. Kalau kita bagi manfaat dengan keikhlasan bekerja di tempat kerja, Allah jaga keselamatan anak-anak, keluarga rumah yang kita tinggalkan ketika kita bekerja. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

Sumber : Utusan


No comments:

Post a Comment