Friday, December 26, 2014

PT3, Kebocoran UPSR Dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Warnai Dunia Pendidikan 2014



KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Pada 2014, sistem pendidikan negara tidak terkecuali daripada mencatat beberapa isu panas sehingga menyaksikan protes daripada ibu bapa dan guru khususnya dalam pelaksanaan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), selain sejarah hitam kebocoran soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Walaupun kelemahan tertentu itu ditangani Kementerian Pendidikan, prestasi pelajar yang menduduki peperiksaan sulung Pentaksiran Tingkatan Tiga atau PT3 dilihat jauh daripada tahap memuaskan.

PT3 merupakan komponen penting daripada PBS, adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk transfromasi sektor pendidikan.

Ia antara lain, bertujuan melahirkan pelajar yang boleh berfikir "secara kritis dan kreatif", seperti yang dinyatakan di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Pendekatan PT3, yang menguji pelajar dengan soalan-soalan berbentuk subjektif Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) mungkin menyumbang kepada prestasi kurang memuaskan dalam kalangan pelajar kumpulan sulung yang menduduki PT3.

Umumnya pelajar mengeluh soalan PT3 adalah lebih sukar dan jauh berbeza daripada Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebaik mereka menduduki PT3 pada Julai dan jangkaan mereka bahawa keputusannya kurang memuaskan, ternyata benar.

Apabila keputusannya dikeluarkan pada 22 Dis, Kementerian Pendidikan juga tidak membuat sebarang pengumuman rasmi dan memberi analisis prestasi pencapaian para calon PT3, menyebabkan spekulasi timbul bahawa hasilnya tidak memberangsangkan.

Pada 24 Dis, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata kementerian mengakui terdapat kelemahan dalam peperiksaan PT3, yang menggantikan PMR, dan menambah kata bahawa satu analisis terperinci akan dilakukan pada format peperiksaan baharu itu.

PT3 GANTI PMR

Sistem pendidikan negara pada 2014 mengalami beberapa perubahan drastik. Pada Mac, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata menerusi pelaksanaan penambahbaikan PBS, peperiksaan berpusat bagi pelajar Tingkatan 3, digantikan PT3 yang dilaksanakan di peringkat sekolah.

"PT3 akan digunakan sebagai asas untuk menentukan kemasukan murid-murid ke Tingkatan 4 sama ada di Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) termasuk Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Kolej Vokasional," kata Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan.

Namun begitu, keputusan PT3 yang diduduki 453,413 calon secara umumnya memperlihatkan bahawa kementerian perlu mengenal pasti kelemahan di samping menambah baik sistem pentaksiran itu.

Ini berikutan bilangan pelajar yang mendapat semua A dalam ujian PT3 jauh lebih rendah berbanding peperiksaan PMR.

Penurunan itu dikaitkan dengan masa persiapan yang singkat, cabaran dalam menjawab soalan bukan sahaja berbentuk lisan tetapi kebolehan bertutur serta kebolehan kemahiran berfikir aras tinggi.

PT3 dimulakan dengan instrumen kajian kes bagi mata pelajaran Sejarah dan Geografi pada 1 hingga 18 Julai, ujian lisan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada 6 hingga 29 Ogos dan ujian bertulis dari 13 hingga 16 Okt lepas.

Ujian bertulis itu meliputi 12 mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup Bersepadu, Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Kadazandusun, Bahasa Iban dan Bahasa Punjabi.

PBS DITAMBAH BAIK

Meskipun pelaksanaannya mencetuskan rasa kurang senang di kalangan pendidik dan ibu bapa, PBS kembali dilaksanakan pada April selepas penangguhan sementara dan beberapa penambahbaikan dijalankan.

Antara penambahbaikan sistem PBS ialah guru tidak perlu lagi memasukkan maklumat pencapaian murid secara dalam talian seperti sebelumnya yang menjadi kritikan utama sebelum ini.

"Hasil penambahbaikan ini, semua warga pendidik dapat menerima dengan hati terbuka sebab PBS yang ditambah baik lebih bersifat mesra guru, tidak membebankan golongan tersebut dan mereka boleh fokuskan lebih pada proses pengajaran dan pembelajaran," kata Idris yang dipetik sebagai berkata.

PBS merupakan transformasi daripada sistem berfokuskan peperiksaan kepada sistem pentaksiran pendidikan yang lebih holistik, diperkenalkan di sekolah rendah sejak 2011 dan di sekolah menengah pada 2012.

Di bawah PBS, guru dikehendaki menggred para pelajar mereka pada setiap mata pelajaran berdasarkan Standard Prestasi, dengan penilaian enam Band. Bermula daripada Band 1, yang menandakan pelajar "tahu" sehinggalah ke Band 6 atau paling tinggi, yang menandakan "tahu, faham dan boleh buat dengan beradab mithali".

Bagaimanapun pelaksanaannya menimbulkan pelbagai rungutan dan bantahan daripada para guru yang terbeban dengan keperluan mengisi dan merekod penilaian pelajar ke dalam sistem komputer berpusat di samping ibu bapa tidak pasti bagaimana prestasi dinilai terutama pelajar Tingkatan Tiga, yang merupakan kohort pertama PBS.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) sebelum ini turut menggesa agar PBS dipermudah agar fokus guru dalam mendidik pelajar tidak terganggu.

Setiausaha Agung NUTP Lok Yim Pheng berkata sistem PBS merugikan pelajar kerana guru boleh hilang fokus semasa proses pengajaran dan pembelajaran kerana perlu memeriksa kertas ujian serta mengisi data berkenaan setiap hari.

Untuk itu, kementerian pada 23 Feb lepas memutuskan pelaksanaan PBS ditangguh bagi membolehkan kajian semula dibuat. Pada 18 Mac, Muhyiddin mengumumkan PBS kembali dilaksana bermula 1 April selepas penambahbaikan dibuat.

Penolong Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia Zaleha Mustafa berkata berdasarkan maklum balas diterima pihaknya, selaku badan pelaksana PBS, beliau mendapati guru-guru berpuas hati dengan penambahbaikan yang telah dilaksanakan.

SOALAN UPSR BOCOR

Peperiksaan UPSR tahun ini, yang pada asalnya dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 11 Sept, terjejas apabila sebahagian daripada kertas soalan bocor, menyebabkan dalam semua calon-calon perlu menduduki semula Sains, Bahasa Inggeris, Matematik dan Kertas Bahasa Tamil pada 30 Sept dan 9 Oktober.

Walaupun kebocoran kertas UPSR bukan isu baru, pada tahun ini insiden berkenaan ternyata serius kerana kebocoran soalan dikesan sebelum peperiksaan diadakan.

Berikutan kes kebocoran soalan yang berulang itu, banyak pihak mempersoalkan integriti dan sikap amanah pihak yang terlibat dalam setiap peringkat penyediaan kertas peperiksaan, yang bermula daripada proses menggubal soalan, mengumpul, mencetak, membungkus, menyimpan di bilik kebal dan menghantar ke pusat peperiksaan.

Pada November lepas, dua guru lelaki Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Nilai, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas enam pertuduhan memiliki salinan kertas soalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 secara tidak sah, September lepas.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 8 (1) (c) (iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman sehingga tujuh tahun penjara.

Keputusan UPSR tahun ini menunjukkan sedikit penurunan 0.02 mata dalam Purata Kebangsaan Gred (GPN).

Menjelaskan bahawa tindakan menduduki semula beberapa kertas peperiksaan bukan faktor utama yang menyumbang kepada penurunan pencapaian keseluruhan keputusan ujian itu, Idris berkata ia lebih disebabkan kepada soalan berbentuk KBAT yang mencabar tahap pemikiran calon.

PELAN PENDIDIKAN

Menyentuh tentang Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching berkata keberkesanan pelan itu akan menampakkan hasilnya hanya selepas tiga tahun dilaksanakan.

Beliau berkata pelan pembangunan yang dilancarkan tahun lepas masih berjalan dan perubahan positif akan dapat dilihat secara berperingkat-peringkat.

"Ia bukan masa yang tepat untuk mengkaji kesannya atau mendapatkan bukti pelaksanaannya sekarang. Kami memerlukan sekurang-kurangnya tiga tahun dan masanya kenalah tepat," katanya.

Beliau berkata kementerian sedang memantau pelaksanaan pelan pembangunan tersebut, menilai prestasinya dalam sistem pendidikan dan pada masa yang sama menilai semula jika terdapat perkara-perkara yang perlu diberi perhatian.

Kementerian Pendidikan juga mencari strategi terbaik bagi melaksanakan apa jua aspirasi dan anjakan paradigma seperti yang terkandung di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

"Selain transformasi dan inovasi dalam sistem pembelajaran di sekolah, kolaborasi ibubapa dan komuniti amat penting bagi menjamin perkembangan pendidikan pelajar secara menyeluruh," katanya.


Bernama.

 

No comments:

Post a Comment