Tuesday, December 30, 2014

Sekolah buka 11, 12 Januari



PUTRAJAYA 29 Dis. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan penangguhan sesi persekolahan di seluruh negara bagi tahun 2015 selama seminggu ekoran banjir yang melanda khususnya di negeri-negeri Pantai Timur. 

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, sejajar dengan penangguhan itu, tarikh baharu bermulanya sesi persekolahan untuk tahun hadapan bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah pada 11 Januari 2015 (Ahad) manakala bagi negeri-negeri lain akan bermula pada 12 Januari 2015 (Isnin).

“Sebagai Menteri Pendidikan, saya amat memahami dan mengambil berat akan kesukaran yang bakal dihadapi oleh semua pihak termasuk pengurusan sekolah, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid sekiranya sesi persekolahan bagi tahun 2015 dibuka seperti dijadualkan.

“Mengikut jadual tarikh bermulanya persekolahan ialah pada 4 Januari 2015 (bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor) dan pada 5 Januari 2015 untuk negeri-negeri lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, keputusan penangguhan itu mengambil kira dua perkara utama iaitu sekolah-sekolah yang terlibat sama ada dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau ditenggelami air dan mengambil masa untuk dipulihkan. 

Turut diambil kira katanya, keadaan guru-guru, ibu bapa serta murid-murid yang serba kekura­ng­an akibat menjadi mangsa banjir. Mereka memerlukan masa untuk pemulihan serta membuat persiapan persekolahan masing-masing. 

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut meminta pihak pengurusan sekolah mengadakan gotong-royong bagi tujuan pembersihan kawasan sekolah sekiranya kea­daan banjir pulih.
“Langkah ini bertujuan memastikan murid-murid dapat belajar dalam keadaan selamat, selesa dan sempurna,” ujar Muhyiddin. 

Timbalan Perdana Menteri turut memaklumkan sehingga semalam, sebanyak 340 buah sekolah daripada tujuh buah negeri terlibat dengan banjir sama ada dijadikan sebagai PPS atau sekolah berkenaan ditenggelami air akibat bencana tersebut.

sumber : Utusan Malaysia
 

No comments:

Post a Comment