Oleh AZMY MOHAMED
pendidikan@utusan.com.my
PENDIDIKAN prasekolah sangat penting kepada perkembangan dan kemajuan akademik anak-anak kita. Ia menjadi sebuah institusi untuk menyiapkan kanak-kanak berusia lima dan enam tahun dengan kemahiran asas menulis, membaca serta mengira.
Di negara kita, terdapat dua jenis pendidikan prasekolah. Satu dikendalikan oleh kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
Manakala yang satu lagi diusahakan oleh pihak swasta sama ada secara persendirian atau melalui sistem francais.
Kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama tetapi berbeza kurikulum. Hal ini menyebabkan standard kualiti muridnya juga tidak selaras. Murid prasekolah kerajaan begini, murid prasekolah swasta begitu.
Melalui program transformasi kerajaan, pendidikan prasekolah kini dijadikan sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan yang diletakkan di bawah Kementerian Pelajaran.
Semua prasekolah - kerajaan dan swasta - diwajibkan menggunakan kurikulum yang sama iaitu Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan.
Tenaga pengajar dan pembantunya juga perlu mengikuti latihan yang disediakan oleh KPM. Mereka juga perlu mempunyai ijazah. Guru yang belum memenuhi syarat itu perlu menyambung pelajaran.
Penyeragaman ini menjadikan padang permainan kembali sama rata antara prasekolah kerajaan dan swasta. Isu kualiti siapa lebih baik sepatutnya tidak timbul.
Bagaimanapun, pengusaha prasekolah swasta pasti akan menawarkan pelbagai inovasi sebagai daya tarikan untuk mencari seramai mungkin pelajar di tadika masing-masing. Maklum saja kelangsungan perniagaan mereka bergantung kepada bilangan murid yang ada. Semakin ramai murid semakin banyak untung.
Usahawan prasekolah swasta akan membawa masuk pelbagai methodologi dan pedagogi pendidikan Barat atau dari negara maju lain sebagai nilai tambah kepada kurikulum standard yang sedia ada. Selain sebagai 'modal' menarik pelanggan, ia juga satu justifikasi untuk mengenakan yuran yang tinggi.
Segalanya demi memastikan prasekolah mereka melahirkan kanak-kanak yang lebih cerdas dan menguasai kepintaran pelbagai. Ia juga untuk menjadikan prasekolah mereka menjadi pilihan utama ibu bapa.
Dalam hal ini, prasekolah kerajaan juga perlu mengambil pendekatan yang serupa tetapi menggunakan bahan bantu mengajar yang diterbitkan oleh syarikat tempatan. Kelebihannya, bahan tersebut menepati aspirasi negara dan sesuai dengan nilai-nilai murni masyarakat negara kita.
Paling utama, prasekolah kerajaan yang diberi nilai tambah ini akan dapat mengecilkan jurang antara murid di desa atau kawasan pedalaman dengan murid di bandar.
Tambahan pula, prasekolah kerajaan merupakan satu-satunya pilihan pendidikan prasekolah yang ada di kawasan kampung dan pedalaman.
Adalah menjadi tanggungjawab pengendali prasekolah kerajaan ini untuk melengkapi murid-muridnya dengan kecerdasan dan kemahiran tambahan melalui alat bantu mengajar yang sesuai serta berkualiti.
Sekiranya bajet mengizinkan, proses mengintegrasikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) juga boleh dilaksanakan. Namun, ia bukan sekadar projek membekal perkakasan dan perisian.
Selain itu, guru dan pembantunya juga perlu diberi latihan secara berkala untuk dilengkapi dengan teknik atau kaedah P&P terkini di samping menambah pengetahuan baru.
Melalui pendekatan ini, prasekolah kerajaan akan dilihat dinamik dan tidak boleh diperlekehkan. Malah tidak mustahil ia akan kembali menjadi pilihan utama ibu bapa kerana yurannya rendah dan kualiti pendidikannya setanding dengan prasekolah swasta.
No comments:
Post a Comment