Monday, August 16, 2010

Penempatan Guru J-Qaf 16 Ogos 2010

Seramai 173 orang guru J-Qaf yang telah tamat latihan LPBS-J-Qaf menerima surat penempatan pada pagi ini setelah menanti hampir dua bulan ke sekolah asal sewaktu latihan LPBS.

YM Tengku Anuar bin Tengku Dalam,Ketua Sektor,Sektor Pengurusan Sekolah,Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu dalam ucaputamanya kepada guru-guru terbabit di Bilik Mesyuarat Alamanda mengingatkan mereka tentang asal kemenjadian diri,amanah yang ditetapkan Allah serta visi dan misi kehidupan. Beliau menegaskan bahawa setiap insan akan dipertanggungjawabkan tentang apa yang dikerjakan dan diberi ganjaran setimpal.

Ketua Sektor Pengurusan Sekolah juga mengingatkan guru-guru J-Qaf agar mematuhi peraturan yang sedia ada. Misalnya mengikut Perjanjian mereka tidak boleh memohon bertukar selepas ditempatkan sehingga 36 bulan berada di sekolah berkenaan.Beliau memberi amaran keras jika terdapat penderaan fizikal kepada murid-murid akibat kegagalan mengawal emosi maka jabatan akan mengambil tindakan.Beliau juga mengajak para guru menjadi pendidik bukannya sekadar guru kerana guru hanya mendidik. Beliau menerangkan bahawa "dalam jiwa pendidikan ada guru tapi dalam jiwa guru belum tentu ada pendidikan". Justru kerana pendidik mendidik nilai,mengajar adab,tingkah laku dan sahsiah pelajar.

Selain daripada itu para guru mesti memberi tumpuan kepada pengajaran-pembelajaran dalam kelas kerana di situlah guru dapat membuktikan kehebatan dalam "Memperkasakan diri menjadi seorang pendidik yang hebat dan terbilang".

Penyerahan surat penempatan itu juga turut dihadir oleh Ketua Unit Penyeliaan Sekolah Rendah,Pegawai Meja J-Qaf dan pegawai-pegawai daripada Unit Rendah.Selepas menerima surat penempatan guru-guru berkenaan diarah melapor diri segera ke sekolah masing-masing.

No comments:

Post a Comment