Thursday, May 22, 2014

Tuan Haji Ariffin Haji Embong Tokoh Guru Terengganu 2014

KUALA TERENGGANU - Mantan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Tuan Haji Ariffin bin Haji Embong telah dianugerahi Tokoh Guru Terengganu 2014 sempena Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu hari ini. Majlis gilang-gemilang itu telah disempurnakan oleh YAB Dato' Haji Ahmad Razif bin Abdul Rahman, Menteri Besar Terengganu di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu.

Tuan Haji Ariffin bin Haji Embong yang memulakan kerjaya sebagai guru siswazah di SMK Chukai, Kemaman. Kemudian bertugas di beberapa buah sekolah seperti SMKA Tok Jiring (SMKA Tuan Haji Abas). Menjawat jawatan Guru Penolong Kanan di SMK Tengku Bariah dan mula berkhidmat sebagai Pengetua di SMK Bukit Sawa, Marang dan beberapa buah sekolah lagi. Sebelum dilantik sebagai Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan merangkap Timbalan Pengarah beliau adalah Pegawai Pendidikan Daerah Setiu. Puncak kerjaya Tuan Haji Ariffin ialah dilantik sebagai Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu mengantikan Tuan Haji Draman bin Muda.

Banyak legasi dan kehebatan pemikiran yang ditinggalkan beliau sepanjang memimpin Jabatan Pendidikan Terengganu dalam bidang akademik atau kurikulum, kokurikulum dan pembangunan sahsiah pelajar. Slogan-slogan beliau sentiasa mencabar pemikiran seperti "buat kerja betul", "biasakan yang betul, betulkan yang biasa", "tengok dengan mata belalang jangan tengok dengan mata ikan panggang", "kerja hari ini tidak sama dengan kerja yang dahulu" dan sebagainya lagi.

Tokoh Guru Terengganu 2014 telah menerima hadiah berupa wang RM5,000.00 sumbangan kerajaan negeri, sumbangan Bank Simpanan Nasional RM3,000.00, sumbangan Bank Rakyat RM1,000.00 dan sumbangan Koperasi Warga Pendidikan Terengganu berjumlah RM1,000.00. Selain itu beliau juga menerima pelbagai hadiah iringan seperti medal, plak, persalinan, al-Quran.


Indah peria meleret ditanah 
Berpaut enau menjengah cemara
Sekalung budi sekalung tahniah 
Tokoh Guru Terengganu kita

Pohon beringin ditepi perigi 
Burung balam berlagu hiba 
Biarpun tidak bersama lagi 
Budi tuan abadi dijiwa 

Tahniah! Tuan Haji Arifin bin Haji Embong 
Tokoh Guru Terengganu 2014.
 



1 comment:

  1. Tak adakah guru yang sepanjang perkhidmatannya bertugas di bilik darjah dipilih sebagai Tokoh Guru? Yang selalu terpilih ialah mereka yang berjawatan sebagai pentadbir di peringkat JPN. Saya cadangkan supaya utamakan guru yang berjasa dan berwibawa dalam kalangan guru yang mengajar di bili kelas turut dipertimbangkan.

    ReplyDelete