Thursday, May 1, 2014

Jumlah guru kini mencecah 420,000



 P. Kamalanathan dan Khair Mohamad Yusof (dua dari kiri) melihat kalender acara sambutan 
Hari Guru 2014 pada majlis prapelancarannya di Sekolah Menengah Sains Selangor, 
Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 30 April - Jumlah guru di Malaysia masih berada pada tahap mencukupi dan dijangka terus bertambah pada masa akan datang.

Setakat ini, terdapat 420,000 guru untuk semua peringkat sekolah di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan berkata, jumlah itu dapat menampung keperluan pendidikan yang semakin berkembang saban hari.

Malaysia tidak berdepan dengan masalah kekurangan guru setakat ini dan jika ada, peratusnya adalah kecil selain pihak kementerian akan berusaha untuk memastikan keperluan sistem pendidikan di negara ini terus terjamin.

Jumlah guru juga dijangka bertambah pada masa akan datang berdasarkan terdapat banyak permohonan baharu untuk jawatan tersebut," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Prapelancaran Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2014 di Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS), di sini hari ini.

Majlis itu turut menyaksikan pelancaran laman sosial Facebook dan Twitter Hari Guru 2014, selain penyerahan kain rentang dan poster sambutan kepada semua Pengarah Pendidikan Negeri.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof; Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Datuk Mazlan Mohamad; Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, Abdullah Mad Yunus dan Pengetua SMSS, Juahir Mondakir.

Selain itu, Kamalanathan turut mengulas mengenai pencapaian Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancarkan tahun lalu.

Jelas beliau, PPPM berjalan lancar dan menunjukkan hasil positif.
Kementerian Pendidikan kini dalam proses menyiapkan laporan PPPM bagi mengenal pasti kekurangan untuk tujuan penambahbaikan.

PPPM bukan sahaja merangkumi guru dan pelajar, malah ia melibatkan semua pihak bagi memastikan sistem pendidikan negara terus maju seiring dengan kemajuan dunia," ujarnya.
Selain tujuan meningkatkan sistem pendidikan negara, Kamalanathan juga menyatakan bahawa PPPM dijadikan sebagai satu daripada medium untuk memartabatkan profesion guru yang melahirkan generasi berwawasan

Kemuncak Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-43 dengan tema Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi akan disambut pada 16 Mei ini di Pusat Dagangan Dunia Putra.

sumber : Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment