Oleh DR. AMINUDIN MANSOR
DENGAN memperkasakan peranan guru akan melahirkan modal
insan berkualiti. Itulah adalah antara tujuan terpenting dalam usaha
memberikan insentif kepada bidang pendidikan di negara ini.
Oleh itu, dalam melahirkan modal insan peranan kerajaan dan
guru adalah menjadi tonggak utama ke arah kejayaannya.
Dalam era globalisasi guru perlu menghadapi cabaran semasa
dalam proses pendidikan antaranya berkaitan integrasi nasional,
pendemokrasian pendidikan, tonggak pendidikan, globalisasi dalam pendidikan,
kepelbagaian budaya, pengaruh perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi
serta gejala sosial dalam kalangan pelajar merupakan antara cabaran terbesar
yang dilalui dan diuruskan oleh pihak guru.
Justeru, kerajaan tidak mengambil mudah dan memandang ringan
usaha memperkasa peranan guru dengan memberikan latihan, kursus, ceramah dan
juga motivasi supaya dapat memberikan kesan kepada pelajar melalui pengajaran
dan pembelajaran (P&P) di sekolah.
Usaha mentransformasikan profesion keguruan menjadi
profesion pilihan sedang dilaksanakan dengan mengetatkan syarat kemasukan guru
mulai 2013 supaya terdiri daripada kalangan graduan 30 peratus teratas.
Kajian pada 2011 menunjukkan bahawa Malaysia disenaraikan di
tempat ke-11 oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai negara paling menarik dari segi
perkhidmatan pendidikan.
Seterusnya, kajian itu juga mendapati kira-kira 90,000
pelajar daripada 130 negara yang sedang menyambung pengajian di negara ini.
Sebahagian besar pelajar asing ini berasal dari China, Indonesia, Iran dan
Nigeria. Ini membuktikan Malaysia tempat paling menarik dan sesuai untuk
menyambung pengajian di peringkat tinggi.
Bagi memperkasa pendidikan negara, Melalui Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 sebanyak RM500 juta peruntukan diluluskan
meliputi program meningkatkan kemahiran guru Bahasa Kebangsaan, Bahasa
Inggeris, Matematik dan Sains dan penubuhan Education Delivery Unit (EDU).
Sebagai guru pemahaman terhadap hasrat dan tujuan PPPM
sangat penting bagi merealisasikan dan mewujudkan kecemerlangan dalam sistem
pendidikan negara.
Ibu bapa meletakkan harapan tinggi dan majikan menyuarakan
kebimbangan atas keupayaan sistem pendidikan melengkapkan generasi muda dengan
persediaan secukupnya bagi menghadapi cabaran abad ke-21. Menyedari hakikat
bahawa sistem pendidikan adalah kompleks dan rencam, tempoh yang panjang
diperlukan untuk melihat impak transformasi yang dilaksanakan.
Ini juga memastikan setiap murid dan pelajar menguasai
kemahiran dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dan digalakkan mempelajari
bahasa tambahan. Di samping itu mentransformasikan profesion keguruan menjadi
profesion pilihan. Ini antara dua daripada 11 anjakan untuk transformasi
sistem.
Kejayaan dan kecemerlangan murid dan pelajar banyak
bergantung pada kehebatan P&P guru di dalam kelas. Jika guru dapat
menyampaikan isi pengajaran dengan baik dan berkesan murid dan pelajar mudah
memahaminya serta dapat menjawab soalan dalam peperiksaan dengan cemerlang.
Sebanyak 11 anjakan utama untuk mentransformasikan sistem
pendidikan negara dalam PPPM dan juga teras dan dasar pembangunan insan
mestilah difahami oleh semua terutama guru sebagai pelaksana dalam pendidikan
anak bangsa bagi memperkasa generasi muda pada masa depan.
* Melaksanakan penambahbaikan terhadap sistem penyampaian
pendidikan dan latihan supaya ia berkualiti dan relevan dengan keperluan
semasa;
* Memperkasakan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan
utama rakyat Malaysia yang berbilang kaum bagi meningkatkan perpaduan negara
* Melaksana langkah bagi merapatkan jurang prestasi antara
sekolah luar bandar dan bandar, termasuk mempertingkatkan kualiti pengajaran,
prasarana dan kemudahan serta menempatkan guru berpengalaman di sekolah luar
bandar;
* Membangunkan universiti bertaraf antarabangsa dan
memastikan pendidikan dan latihan di peringkat tertinggi memenuhi keperluan
pasaran;
* Menyediakan lebih banyak peluang dan akses kepada pendidikan
latihan dan pembelajaran sepanjang hayat yang berkualiti di semua peringkat;
* Membangunkan masyarakat inovatif dan kreatif, yang
mempunyai pengetahuan dan keupayaan sains dan teknologi yang kukuh serta
memiliki kemampuan memperoleh dan menggunakan pengetahuan;
* Memperkukuhkan perpaduan nasional dan membangunkan
masyarakat yang mempunyai perspektif progresif, budaya prestasi tinggi, sistem
nilai-nilai murni serta menghargai tradisi dan warisan; dan
* Memperluaskan dan memperkemaskan forum perbincangan dan
perundingan antara kerajaan, sektor swasta, ibu bapa dan masyarakat dalam
pembangunan modal insan.
Oleh itu, pihak kerajaan sebagai badan perancang utama
menyediakan bajet dan peruntukan untuk membangunkan modal insan. Manakala para
guru adalah pihak yang akan melaksanakan tujuan ke arah membangunkan modal
insan yang berkualiti untuk pemimpin negara pada masa akan datang.
Ingatlah bahawa guru yang paling baik adalah guru yang
paling banyak belajar daripada muridnya. Tujuan tertinggi perguruan bukanlah
semata-mata untuk mencari ilmu pengetahuan, tetapi mendidik muridnya dengan
perbuatan yang baik dalam kehidupan.
PENULIS
ialah Pengamal media, berkelulusan PhD Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan
Malaysia.
sumber : Utusan Malaysia
Yg paling penting guru adalah individu yg komited..tak semestinya cemerlang
ReplyDeleteIngatlah bahawa guru yang paling baik adalah guru yang paling banyak belajar daripada muridnya. Komited adalah salah satu ciri cemerlang..
ReplyDelete