Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.
Secara tersiratnya, pantun ini
memperlihatkan betapa pentingnya guru dalam memberi tunjuk ajar kepada pelajar
manakala di pihak pelajar pula, mereka mesti belajar dengan bersungguh-sungguh
kerana jika belajar alang kepalang, ilmu yang dicurahkan oleh guru tidak dapat
diterima sepenuhnya.
Tugas guru akan menjadi lebih mudah
jika para pelajar memberi tumpuan ketika kelas berlangsung. Ini menunjukkan
bahawa usaha untuk mengangkat martabat pendidikan di sesebuah sekolah itu bukan
hanya terletak kepada guru semata-mata tetapi tugas ini juga dipikul oleh para
pelajar.
Di samping guru terpaksa berdepan
dengan pelajar yang celik ilmu dan pelbagai teknologi maklumat, guru-guru juga
terpaksa menghadapi kerenah para pelajar yang mampu menjejaskan imej sesebuah
sekolah.
Masalah disiplin dalam kalangan
pelajar adalah salah satu daripada masalah yang membelenggu institusi
pendidikan negara. Isu ini bukanlah isu baharu kerana dari semasa ke semasa,
pelbagai kejadian berlaku membabitkan institusi pendidikan terutamanya di sekolah.
Jika pada zaman dahulu, ketika
pelajar sangat menghormati dan takut akan guru, jawatan atau khidmat kaunselor
tidak diperlukan di sekolah tetapi sekarang kaunselor sudah diwujudkan
semata-mata untuk menangani pelbagai masalah pelajar. Salah satu tugas
kaunselor adalah untuk merungkai permasalahan pelajar berkaitan disiplin.
Tugas guru yang murni mesti difahami
oleh pelbagai pihak apatah lagi ibu bapa dan masyarakat sekeliling. Ibu bapa
mesti memberi kerjasama kepada pihak guru dan sekolah untuk memastikan kejayaan
anak-anak mereka dan yang paling penting mereka mesti menyedari bahawa sekolah
merupakan satu tempat untuk membentuk sahsiah anak-anak mereka.
Ibu bapa mesti mengambil bahagian
dalam setiap perjumpaan yang membabitkan mereka di sekolah. Persatuan Ibu Bapa
dan Guru [PIBG] merupakan satu wadah untuk memahami dengan lebih jauh
pencapaian anak-anak mereka di sekolah, masalah anak-anak mereka di sekolah dan
sebagainya.
Masyarakat sekeliling mesti
memainkan peranan dengan cara memahami peranan dan tanggungjawab guru.
Masyarakat sekeliling mesti membantu meringankan bebanan guru di sekolah dengan
menjadi mata dan telinga terhadap salah laku pelajar sekolah di luar sekolah.
Sikap membiarkan salah laku atau
bersekongkol dengan sebarang tindakan negatif pelajar di luar sekolah akan
menjejaskan institusi pendidikan.
Ada pelajar sekolah yang terbabit
dengan gangsterisme, pergaduhan, mat rempit, melepak dan sebagainya. Masyarakat
yang peka akan masalah ini tidak akan membiarkan gejala ini berterusan,
sebaliknya cuba membendung demi masa depan anak-anak bangsa.
Gejala-gejala negatif yang
membabitkan pelajar sekolah memperlihatkan bahawa ada dalam kalangan pelajar
sudah tidak menghormati guru dan ilmu yang diberikan kepada mereka. Malah,
tujuan dan matlamat mereka memasuki sekolah untuk menimba ilmu pengetahuan
sudah terpesong jauh dari landasannya.
Sumbangan besar guru dalam mendidik
setiap insan mesti dibalas dengan rasa hormat dan mengenang jasa-jasa guru yang
telah memberi didikan semasa di sekolah. Mereka tidak mengharapkan apa-apa
balasan berbentuk wang ringgit , harta atau hadiah tetapi ingatan tulus ikhlas
dan ucapan Selamat Hari Guru sudah memadai sebagai tanda ingatan sepanjang
zaman.
Maka, kesempatan pada sambutan hari
guru ini, eloklah kita mengenang jasa mereka, mendoakan kesejahteraan mereka
atau menziarah mereka yang sudah bersara.
Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang
dalam sajaknya antara lain menyebut bahawa dengan gurulah lahir pemimpin,
sasterawan terkenal, dan pelbagai jenis pekerjaan lain yang mengangkat kemajuan
negara.
Sumber : Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment