Saturday, May 3, 2014

Sembang Sabtu : Tiada Kemenjadian Anak Hebat Tanpa Kemenjadian Ibu bapa dan Keluarga Cemerlang

Pagi tadi saya berkesempatan hadir dan menyampaikan ceramah di "Seminar Kecemerlangan Keluarga" anjuran SK Bukit Jejulong, Marang dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah Marang. Seminar ini dirasmikan oleh Tuan Haji Husin Mat, Guru Besar, SK Bukit Jejulong. Terima kasih kepada Guru Besar, SK Bukit Jejulong kerana menjemput saya dan Alhamdulillah saya mampu tunaikan walaupun dalam kesibukan.

Melihat tajuk seminar yang begitu gah, penganjur dari institusi daerah serta seruan sarana ibubapa dan sarana sekolah saya kira kehadiran ibu bapa tentu hebat. Apalagi hari ini cuti. Malangnya saya rasa hanya satu perempat dari keluarga murid yang hadir dan majoriti adalah kaum ibu. Kekecewaan dan rasa terkilan jelas tergambar dalam ucapan perasmian Guru Besar dan seolah-olah memberi petunjuk mengapa sekolah ini tiada murid yang dapat 5A tahun lepas dan paling tinggi  5A seramai 5 orang sekitar tahun 1996. Inilah cabaran kepada pengurusan sekolah dan guru-guru SK Bukit Jejulong. Berjuang dan berusaha menjadikan SK Bukit Jejulong sebagai instusi pendidikan dihormati dan melonjak tinggi.

Kita mungkin mampu membawa unta ke sungai tetapi kita tidak mampu memaksa unta untuk minum air sungai. Namun jika kita berupaya merangsang kehendak unta bergerak kendiri ke sungai dan minum sepuas-puasnya itu mungkin kejayaan paling besar. Begitulah juga tugas besar ibu bapa dan sekolah ialah bagaimana membina kehendak dan kemahuan tinggi anak-anak untuk mereka bertindak sendiri belajar dan menjadi manusia terbilang. Kadang-kadang kita perlu memberi "pengalamian" bukan sekadar analogi untuk membangkitkan kemahuan, kehendak, kesadaran dan kesengajaan untuk berbuat dan bertindak.

Saya mengambil kesempatan ini merakamkan setinggi tahniah kepada sekolah dan Pejabat Agama Marang kerana inisiatif menganjurkan seminar yang sangat bermakna ini. Tahniah juga kepada ibu bapa yang hadir kerana satu elemen penting ke arah kejayaan anak-anak melibatkan diri dalam program pendidikan anak-anak.

Hari ini kita sering mendengar istilah tentang "kemenjadian" ataupun "keberhasilan". Kerap kita dengar orang kata , "Ermm jjadi belaka anak dia". "Jjadi sungguh buah kayu tahun  ni" dan sebagainya. Jjadi itu bermakna ada hasil, ada kesan, ada impak. Mantan Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu telah "mensurat" makna jjadi itu kepada "kemenjadian". Hari ini istilah kemenjadian dan keberhasilan menjadi petunjuk utama dalam aspirasi dan penilaian pendidikan. PPD Hulu Terengganu telah menggunakan istilah "Jjadi" sebagai laungan keramat menjana keterbilangan pendidikan daerah mereka.

Kemenjadian anak terhebat terbilang kalau ditelusuri dan dikaji normalnya jarang datang daripada keluarga yang bobrak dan porak-peranda. Mereka dilahirkan dari kemenjadian ibu bapa dan keluarga yang sempurna. Begitu juga saya menulis dalam blog ini "Tiada kemenjadian murid tanpa kemenjadian guru".  Begitulah "Tiada Kemenjadian Anak Hebat Tanpa Kemenjadian Ibu bapa dan Keluarga yang Cemerlang". Anak-anak mendapat guru dan model contoh pertama dari kedua-dua ibu bapa dan keluarga. Jika cara hidup mereka cemerlang maka acuan kecemerlangan untuk anak-anak mampu terbentuk melalui pendidikan tidak formal ini.

Sayangnya kita menyalah tafsir konsep ibu bapa cemerlang itu sebagai ibu bapa atau keluarga yang kaya, berpendidikan tinggi, berpangkat tinggi dan sebagainya. Walhal ibu bapa atau keluarga yang hebat dan cemerlang itu yang mempu memimpin anak-anak mereka menjadi insan berguna untuk diri, keluarga, bangsa dan negara

" Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap orang daripada kamu akan ditanya tentang orang yang dipimpinnya"

"Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci yakni Muslim) Kedua-dua orang tuannyalah yang menjadikan dia Yahudi, Nasrani atau Majusi' (Bukhari)

Berapa ramai anak-anak yang "jjadi" hari ini datang dari keluarga miskin yang cemerlang justru kerana  ibu bapa mereka berjaya mendidik hati dan jiwa mereka dengan nilai tinggi insan melalui amalan dan perbuatan ikhlas mereka. Mereka menjadi model contoh anak-anak dalam semua aspek walau di mana anak mereka berada. Mereka menjadi akar pegangan anak-anak. Mereka menjadi pohon rendang memayungi hidup anak-anak.

Mereka telah benar-benar melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai ibu bapa
yang berkesan;

"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa ang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan" (QS. At Tahrim 66:6)

Rashia kemenjadian mereka berperanan mendidik anak-anak antaranya;
  • berlemah-lembut dalam mendidik
  • menegur kesilapan anak secara berhemah
  • menzahirkan secara nyata kasih sayang terhadap anak dan keluarga
  • tidak membezakan kasih sayang antara anak-anak
  • mengenalkan anak-anak tentang konsep keadilan
  • jangan sesekali mengeluh di depan anak-anak
  • tunjukkan contoh tauladan yang baik
  • menitik beratkan pendidikan agama
  • komunikasi yang berkesan
  • luang masa bersama keluarga
  • tunaikan janji kita pada anak-anak
  • layan dengan kasih-sayang dan ikhlas
  • terima dan hargai pendapat anak
  • aprisiasi kebolehan dan kejayaan mereka
  • penyediaan makanan dari sumber halal dan berzat
  • ujudkan budaya ilmu dalam keluarga
  • libatkan dengan pembelajaran anak-anak
  • meraikan anak pergi dan balik sekolah  
Kadang kita tidak perlukan wang ringgit yang banyak untuk mendidik anak hingga "jjadi" dan "berhasil" cukup berbekal ikhlas, syukur, sabar dan doa. 


No comments:

Post a Comment