Saturday, May 17, 2014

Sembang Sabtu : Guru - Arkitek memanusiakan manusia

Semalam tanggal 16 Mei seluruh negara merayakan Sambutan Hari Guru 2014 yang bertemakan Guru : Pencetus Kreativiti dan Penjana Inovasi. Kebanyakan media sosial seperti Facebook, Whatsap dan sebagainya penuh dengan ucapan Selamat Hari Guru kepada bekas guru-guru mereka dan juga rakan taulan yang berkhidmat sebagai guru atau pendidik. Ucapan-ucapan sedemikian menggambarkan mereka yang dewasa, berjaya dan berkerjaya hari ini pernah menjadi murid dan belajar daripada seseorang yang menjadi guru.

Namun tidak kurang daripada kita yang seolah-olah mereka menjadi bijak, pandai, berjaya dan menikmati kemewahan hidup adalah hasil kepandaian dan usaha mereka tanpa tunjukajar dan bimbingan para guru. Justru itu mereka tidak pernah merasa aib malu melakukan tindakan, aktiviti dan tingkahlaku yang bertentangan dengan nilai-nilai hidup agama dan budaya serta masyarakat yang mana nilai-nilai tidak pernah termasuk dalam kurikulum yang diajar oleh guru. Guru yang baik dan mulia tidak mengajar muridnya menderhakai ibu bapa, tidak menghormati orang tua, mengkhinati pemimpin dan negara, rasuah dan salah guna kuasa dan sebagainya. Guru  hanya mendidik manusia yang diamanahkan untuk dia menjadi manusia, menjadi insan yang punya ehsan, menjadi ummat yang boleh memberi manafaat.

Jika ditanya kepada bekas-bekas guru tentang murid yang mengembirakan hati mereka, mereka akan merasa bangga kepada murid-muridnya yang bukan sahaja sekadar berjaya dalam hidup tetapi mulia budi pekertinya. Murid yang jadi manusia. Dan murid-murid ini masa di sekolah dahulu adalah murid yang nakal dan lemah tetapi mempunyai kelebihan dalam bidang-bidang lain seperti permainan, pertukangan dan sebagainya. Guru yang adil dan bijak tetap memberi layanan yang sama ada mereka cantik atau hodoh, lemah atau cerdik kerana tujuan dasar mendidik muridnya berjaya dan berguna. Lumrahnya murid-murid yang nakal atau lemah inilah sangat menghargai dan mengingati guru apalagi bila mereka telah berjaya. Inilah impak didikan kita yang kita tidak nampak semerta semasa di sekolah tetapi begitu bermakna bila dewasa.

Walaupun terdapat perubahan dan perkembangan pesat dalam bidang pendidikan terutama penggunaan teknologi canggih namun tugas dan peranan guru untuk memanusiakan muridnya tidak boleh diambil alih oleh sesiapapun.Mendidik hati manusia memerlukan manusia yang menjadi guru. Justru masa berkualiti pdp dan pedagogi berkesan adalah ruang yang sangat penting untuk mendidik murid kita. Di situlah segala proses penitisan ilmu, nilai, sikap, dorongan dan pemupukan potensi akan berlaku. Ini saat kritikal seseorang guru melaksanakan proses memanusiakan muridnya.Segala kreativiti dan inovasi pdp guru yang maksima diperlukan. Sebab itu ada pihak berkata tranformasi sebenar pendidikan ialah di dalam kelas semasa pdp. Jika gagal dilaksanakan proses pdp maka gagallah proses memanusiakan murid dan gagallah tranformasi pendidikan.

Oleh kerana tugas memanusiakan murid sangat besar dalam pembangunan dan masa depan negara maka kerajaan sentiasa merancang dan berusaha memperbaiki sistem pendidikan dan menyediakan pelbagai insentif untuk para guru. Melalui PPPM 2013 hingga 2025 kualiti dan kemahiran akan sentiasa dipertingkatkan bukan sahaja memilih calon guru berkualiti tetapi juga memberi latihan kepada guru-guru sedia ada. Tujuannya tidak lain agar hasrat melahirkan murid yang diingini dapat dicapai dan dilaksanakan dengan berkesan. Di mana guru dan sistem pendidikan difokus untuk melahirkan enam aspirasi murid dihasratkan iaitu murid yang mempunyai ilmu pengetahuan, mempunyai kemahiran berfikir, memguasai dwibahasa, mempunyai kemahiran kepimpinan, beridentitikan identiti nasional serta mempunyai nilai etika dan kerohanian yang baik.

Dengan visi dan harapan besar ini maka tugas kita sebagai guru disesuaikan dengan perubahan semasa. Mungkin stail kita mendidik murid-murid kita lima belas dan dua puluh tahun dahulu sudah tidak sesuai.Jutru itu kita perlu flexible dengan bersedia pantas melengkapkan diri dengan kemahiran dan bahan bantu mengajar yang baru. Inilah antara cabaran guru pada masa ini. Kita bukan sahaja melengkapkan diri dengan pengetahuan bagi menyaingi pelajar kita yang mampu mengakses maklumat global tetapi juga perlu menguasai kemahiran penggunaan peralatan atau gajet atau bahan-bahan soft dan hard untuk bantuan mengajar kepada murid kita. Dalam makna lain kita tidak boleh lagi berdasarkan calk dan talk dan stok ilmu sedia ada untuk mengajar murid. Kita perlu upgred kemahiran dan pengetahuan kita sesuai dengan upgred hasrat  dan sesuai dengan upgred pangkat kita.

Berdasarkan enam aspirasi murid di atas itulah rupa watak murid kita inginkan yakni bijak,mahir,berakhlak mulia dan mampu manafaatkan kejayaannya pada diri, keluarga, bangsa dan negara. Oleh itu guru selaku pelaksana dasar mesti sedar bahawa kegagalan kita menyebabkan kegagalan segala dasar dan hasrat kerajaan ataupun masyarakat kita. Ini cabaran dan tanggungjawab yang sangat besar diletakkan di atas bahu kita. Kitab diberi peranan dan tanggungjawab itu kerana kitalah selayaknya "arkitek yang mampu dengan pertolongan Allah untuk memanusiakan manusia". Sesungguhnya kita perlu rasa terhormat dan berlapang dada menerima penghormatan dan tanggungjawab ini.

Selamat Hari Guru, Terima kasih Cikgu.



No comments:

Post a Comment