Sudah kerap benar kita baca runggutan calon GPK daerah Dungun tentang pengisian khususnya daerah Dungun melalui Cbox. Ada calon yang telah melalui permohonan dan temuduga belum ditawarkan lagi. Kita amat faham kegelisahan mereka. Bukannya mereka teringin sangat jawatan GPK tetapi mereka takut surat tawaran atau pelantikan DG34 (KUP) atau DG41 (bagi yang belajar) sampai awal sebelum dilantik GPK. Jika hal itu berlaku maka tertutuplah peluang mereka untuk menjadi GPK. Jawatan yang ditolak ramai terutama yang mengajar subjek dalam PPSMI suatu masa dahulu.
Tahun 2014 adalah tahun yang agak malang bagi calon GPK dan Guru Besar daerah Dungun. Ini adalah kerana setakat ini kekosongannya amat sedikit bahkan bagi jawatan Guru Besar hingga kini tiada kekosongan. Calon-calon baru Guru Besar terpaksa berhijrah ke daerah lain dan masih ramai Guru Besar dari daerah Dungun berada di luar daerah Dungun seperti di Kemaman dan Hulu Terengganu.
Dari persepektif yang lain, ianya menggambarkan hebatnya daerah Dungun di mana mereka mampu menyediakan calon-calon Guru Besar hingga dilulus oleh panel negeri dan KPM. Justru ketiadaan kekosongan dalam daerah maka mereka perlu berkorban berkhidmat di luar dan Insyaallah bakal kembali bertugas di daerah asal. Berhubung pengisian GPK setakat ini di daerah Dungun amat terhad sedangkan kita ada tiga kumpulan calon. Pertama tiga orang calon yang dilulus kembali secara khas oleh Lembaga Naik pangkat untuk dilantik semula jawatan GPK setelah meletak jawatan kerana mendapat DG34(KUP), seorang calon pemangkuan ke DG32 dari Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dan ketiga calon-calon penghakikian dari DG32(KUP) ke DG32 hakiki.
Setakat ini dari tiga calon kelulusan khas itu satu telah dilantik, satu lagi bakal dilantik. Calon pemangkuan DG32 dari BPSM telah dilantik. Apabila seorang lagi calon kelulusan khas dilantik maka kekesongan hingga Disember akan diisi oleh calon penghakikian. Soalnya berapa ramai boleh dilantik bergantung kepada berapa ramai GPK yang kosong sama ada kekesongan disebabkan GPK naik pangkat Guru Besar, berpindah daerah atau ke jawatan penyelia di PPD, bersara ataupun meninggal dunia. Kefahaman tentang prinsip perjawatan ini amat penting supaya mampu menyembunyikan kedangkalan kita tentang apa yang berlaku.
Sebagaimana yang kita tegaskan, sekarang ini kita tidak akan menawarkan jawatan GPK ke daerah lain kerana ranking kita berasaskan daerah. Daerah-daerah lain juga telah mempunyai calon mereka dan mana-mana daerah yang tidak cukup calon boleh membuka pencalonan dan mematuhi prosedur yang telah ditetapkan.
Kita berharap penjelasan ini mampu memberi kefahaman kepada calon-calon GPK khususnya daerah Dungun tentang hakikat sebenar yang berlaku. Kita sangat menghargai dan berterima kasih di saat orang lain telah memandang sebelah mata jawatan GPK dengan adanya DG34 (KUP) masih ada para guru yang setia rela dan penuh dedikasi untuk memikul amanah sebagai pentadbir atau GPK. Apapun kita mesti percaya jika telah dijodohkan rezeki kita dengan jawatan itu pastinya ia akan tiba jua...
No comments:
Post a Comment