Sunday, March 30, 2014

Peranan guru penting tingkatkan prestasi akademik

GURU perlu mengatur strategi dengan menggunakan bahan tambahan mengajar termasuk akhbar pendidikan Utusan Malaysia, Tutor dalam melengkapkan persiapan pelajar menghadapi peperiksaan, kata Mohd. Idris Ramli.

Menurut Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Perak itu, penggunaan akhbar pendidikan Tutor SPM yang ditaja oleh kerjaan negeri ke 164 sekolah menengah terpilih adalah sebahagian daripada usaha dan inisiatif dalam memberi kemudahan pembelajaran yang lebih baik kepada pelajar.

''Kita mahu Tutor SPM ini menjadi alat bantu mengajar dan menjadi rujukan pengajaran oleh setiap guru dalam usaha memanfaatkan sepenuhnya penggunaan akhbar pendidikan berkenaan di sekolah masing-masing,'' katanya 

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran Program Amanjaya Gemilang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014-2015 dan menandatangani memorandum persefahaman antara Utusan Melayu (M) Bhd. dengan Kerajaan Negeri Perak berhubung tajaan akhbar pendidikan Tutor.

Pelancaran program itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di Ipoh, Perak baru-baru ini.

Mohd. Idris berharap, inisiatif yang diambil kerajaan negeri dengan menaja Tutor SPM itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh guru di sekolah terlibat.

''Anggap sahaja Tutor SPM ini sebagai bahan nilai tambah kepada strategi pelaksanaan yang sedia ada di sekolah dan pastikan adanya impak terhadap penggunaan bahan akhbar ini," katanya.

Menurutnya, apa yang penting para guru perlu menyusun strategi yang berkesan dalam penggunaan Tutor SPM di sekolah masing-masing bagi mendapat impak yang diharapkan.
Selain itu, ujar Mohd. Idris, inisiatif kerajaan Perak menaja Tutor SPM di sekolah menengah di negeri itu membuktikan komitmen pihak tersebut bagi meningkatkan prestasi pelajar seterusnya menjadikan Perak antara negeri terbaik dalam pencapaian akademik.

"Bagi Jabatan Pendidikan negeri, usaha mengedarkan Tutor SPM ke sekolah terlibat amat dipuji dan sewajarnya menjadi perangsang semangat kepada sekolah untuk meningkatkan pencapaian akademik sekolah pada masa depan," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia


No comments:

Post a Comment