Wednesday, March 19, 2014

80% beban guru berkurangan



KUALA LUMPUR 18 Mac - Bebanan yang ditanggung para guru menerusi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) kini berkurangan 70 hingga 80 peratus kerana mereka tidak perlu lagi mengisi dan merekodkan penilaian pelajar ke dalam sistem komputer berpusat secara dalam talian.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin berkata, guru-guru boleh merekodkan perkembangan pembelajaran murid secara offline selepas pelaksanaan PBS diteruskan semula dengan beberapa penambahbaikan pada 1 April ini.

Menurut beliau, langkah itu merupakan penyelesaian kepada isu merekodkan prestasi murid melalui Sistem Pengurusan PBS (SPPBS) secara dalam talian yang sukar diakses dan memakan masa yang lama.

"Yang jadi beban dahulu ialah kerana semua data penting termasuk eviden dan deskriptor perlu dimasukkan ke dalam sistem komputer berpusat secara dalam talian tetapi sekarang tidak perlu lagi.

"Bukan sahaja data tidak perlu disimpan secara dalam talian tetapi eviden dan deskriptor dikurangkan. Maka, ini akan mengurangkan antara 70 hingga 80 peratus beban yang ditanggung oleh guru-guru sekarang," katanya dalam sidang akhbar bagi mengumumkan penambahbaikan PBS di bangunan Parlimen hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching dan Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan.
Pemimpin-pemimpin kesatuan guru yang hadir ialah Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan; Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng; Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM), Datuk Jemale Paiman; Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Muhamad Khailani Abd. Jalil dan Yang Dipertua Majlis Gabungan Guru Besar Malaysia (MGGBM), Ruslan Madun.
PBS mula dilaksanakan di sekolah rendah sejak 2011 dan di sekolah menengah mulai 2012, namun Kementerian Pendidikan pada 11 Februari lalu telah membuat keputusan untuk menangguhkan dan mengkaji semula pelaksanaannya.

Tindakan itu diambil berikutan keluhan para guru bahawa mereka dibebankan dengan kesibukan mengisi dan merekodkan penilaian pelajar ke dalam sistem komputer berpusat.
Ibu bapa tidak pasti bagaimana prestasi dinilai terutama pelajar tingkatan tiga yang merupakan kohort pertama PBS.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan menambah, kementerian menetapkan Dokumen Standard Prestasi (DSP) dipermudahkan menjadi Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid.
Beliau memberitahu, langkah penambahbaikan itu membolehkan guru-guru merekodkan tahap penguasaan pelajar mengikut kesesuaian masa dan kaedah mereka sendiri.

"Perekodan ini menggambarkan perkembangan pembelajaran pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran yang boleh dimaklumkan kepada ibu bapa," ujarnya.

Timbalan Perdana Menteri memberitahu, pihak sekolah boleh menyediakan laporan pencapaian ujian bulanan, peperiksaan pertengahan tahun atau peperiksaan akhir tahun untuk ibu bapa yang ingin mengetahui tahap pencapaian anak mereka. 

Menurut beliau, guru juga tidak perlu lagi menyediakan Fail Perkembangan Murid (FPM) dan melengkapkan Rekod Transit manakala perekodan perkembangan pembelajaran pelajar boleh dilakukan mengikut kesesuaian masa mereka.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin berkata, latihan dan taklimat berhubung penambahbaikan PBS akan diadakan secara berterusan kepada pegawai-pegawai di jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah, pentadbir sekolah dan guru-guru.

"Saya fikir memang perlu ada penerangan supaya tidak berlaku salah faham. Kita buat kursus selama dua atau tiga hari mengikut kesesuaian," jelasnya.

Tambah beliau, kementerian juga akan menganjurkan latihan bagi memastikan guru-guru memahami konsep pentaksiran dan meningkatkan kemahiran mereka memeriksa jawapan pelajar.

sumber : Utusan Malaysia

0 ulasan:

Post a Comment