Saturday, March 15, 2014

Sembang Sabtu : Jangan terus terpenjara dalam sejarah

Apabila saya menulis di wall Facebook saya berbunyi "Antara halangan untuk kita berubah dan bergerak ke hadapan ialah kita terlalu nastolgik kepada masa silam. Bebaskan jiwa dan minda dari penjara sejarah". Terdapat segelintir rakan-rakan FB yang tidak bersetuju dengan pelbagai alasan dan antaranya "Bahawa guru yang paling baik ialah sejarah". Generasi hari ini menjadi rupa bentuk demikian rupa kerana mereka buta sejarah.

Mereka mentafsir seolah-olah saya kata lupakan sejarah. Walhal saya berkata "terlalu nostalgik". Bermakna kita boleh ingat dan merujuk sejarah tetapi jangan keterlaluan. Saya memperbandingkan sejarah masa lalu umpama cermin pandang belakang yang hanya sesekali kita perlu lihat tetapi yang perlu kita beri tumpuan ialah cermin depan yang luas dan lebar. Dalam makna yang mudah kita tidak boleh terus lupakan sejarah tetapi jangan pula terlalu terikat dengan sejarah apa lagi dalam pengurusan pendidikan kita.

Kita selalu menggunakan sejarah diri untuk berjaya bagi memberi motivasi kepada anak-anak atau anak murid kita. Kita gambarkan kesusahan, kepayahan dan keperitan yang kita alami. Sayangnya anak-anak kita ataupun murid kita yang tiada "expriencing learning" tentang payah dan sakit itu kerana mereka telah terbiasa dengan kesenangan dan kemewahan. Mereka sekadar mendengar dan memperlekehkannya sahaja. Oleh itu gumpalan pengalaman itu tidak memberi apa-apa erti bagi mereka. Mungkin minda mereka lebih tercabar jika kita kata "kalau kamu hendak hidup senang masa depan kamu perlukan kerja bergaji RM10 ribu sebulan kerana sekarang dengan gaji ayah RM5 ribu sebulan kita hanya cukup makan".

Begitu juga kita nastolgik tentang susah senang dan bagusnya kita menjadi guru atau guru lama. Kita ingin kongsi dengan guru generasi baru. Kita bicarakan soal gaji yang sedikit hanya beberapa ratus masa mula kerja kepada guru baru yang permulaan gaji mencecah tiga ribu ringgit. Kita ingin kongsikan kita buat itu dan ini pada mereka. Kita nastolgik pada masa lalu tanpa kita sedar bahawa zaman telah terlalu banyak berubah.Mereka yang jadi guru sekarang perlukan ijazah.Mereka boleh gunakan akses meluas untuk rujukan pdp.Jika mereka ingin berubah selera mereka boleh mohon pelbagai jawatan naik pangkat dalam bidang pendidikan. Perubahan-perubahan yang kita pernah jumpa dan alami pada zaman kita.

Dulu cukup kita diberi amanah " buatlah macam manapun anak saya cikgu asal jangan buta dan patah sudah". Hari ini tidak siap kerja rumah, ponteng sekolah dan macam-macam lagi dihukum guru sedikit ibu bapa masuk akhbar, report polis, ugut dan sebagainya. Dulu satu kerani sudah cukup buat gaji manual. Hari ini dua tiga kerani belum cukup hendak urus pentabdiran, perjawatan dan kewangan. Zaman sudah banyak berubah.

Cikgu dulu boleh tumpu pada murid dan "berlotek" dengan murid kerana tidak banyak seksyen di KPM,JPN dan PPD yang perlukan itu dan ini. Mereka mahu setiap seksyen mereka terbaik tapi di sekolah guru itulah yang menyiapkan pelbagai data dari berpuluh elektronik sistem. Kalau sistem laju kira ok tapi kalau "slow" ?Inilah perubahan dan cabaran semasa yang perlu kita fokus dan sedar bukannya terikat dengan angan dan sejarah masa lalu.

Hari ini kita guna alat dan perkakasan ict untuk buat kerja bukannya secara manual macam dulu.Oleh yang demikian, menguasai kemahiran ict adalah kompetensi wajib bagi setiap guru. Kecairan maklumat begitu pantas oleh itu jangan guna stail mengurus zaman dulu. Peram dan simpan surat lama-lama.Walhal dalam sesetengah keadaan informasi itu guru-guru sudah ketahui melalui internet, wassap, fb, twiter, email dan sebagainya sebelum surat sampai ke sekolah lagi. Kadang kita ada peralatan canggih tapi tidak tahu guna. Kita ketinggalan. Apalagi kalau cara berfikir kita juga ketinggalan.

Peristiwa kehilangan MH370 yang hangat diperkatakan sekarang adalah satu contoh kritikal di mana rakyat bukan sahaja ingin dapatkan berita terkini tetapi tidak bulat-bulat menerima penerangan Menteri, MAS ataupun DCA seperti dulu kerana kepesatan rangkaian dan analisis dari pelbagai sumber fikiran mereka kritikal dan jauh menjangkau dari kebiasaan berfikir. Sama ada realiti atau persepsi inilah perubahan cara hidup dan berfikir yang kita perlu hadapi sekarang atau masa akan datang. Jika kita masih terkongkong dalam kepompong cara dan masa lalu nanti kita "mati" dengan syok sendiri.

Walau apa keadaan kita perlu menerima dan menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku kerana mahu tidak mahu perubahan fizikal dan spritual pasti berlaku. Kita mesti menghadapinya bukannya nastolgik dan melangkolik dengan ilusi masa lalu.

 

No comments:

Post a Comment