Monday, March 17, 2014

Guru tidak perlu masuk data



HULU LANGAT 16 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, guru tidak perlu lagi memasukkan data maklumat pencapaian murid yang dinilai berdasarkan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) ke dalam talian sebaliknya data berkenaan hanya perlu disimpan oleh para guru untuk tujuan rujukan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, penambahbaikan itu dibuat selepas pihak Kementerian Pendidikan mengambil kira pelbagai rungutan dan keluhan daripada para guru yang tertekan akibat perlu memasukkan data berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan memberitahu, penambahbaikan tersebut adalah hasil maklum balas daripada penganjuran bengkel melibatkan kira-kira 1,000 guru tetapi enggan memberi penjelasan terperinci kerana pengumuman mengenainya akan dibuat Selasa ini.

"Saya mendengar rungutan dan keluhan guru-guru. Mereka terbeban untuk memasukkan data kerana sehingga mengganggu tugas hakiki mereka iaitu mengajar dan mendidik murid-murid. Saya sendiri tidak setuju jika guru perlu mengorbankan tugas hakiki kerana perlu memasukkan data.

"Sebab itu data tidak perlu dimasukkan lagi, hanya dikemukakan apabila ibu bapa mahu melihatnya. Perincian lanjut mengenainya akan dibuat 18 Mac ini," katanya ketika berucap dalam Program Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti di Sekolah Menengah Kebangsan Tinggi Kajang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching dan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar.

Kementerian Pendidikan menerusi Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof pada 23 Februari lalu membuat keputusan menangguhkan pelaksanaan PBS sehingga ke suatu tarikh dimaklumkan kelak bagi memberi ruang kepada kajian penambahbaikan.
Muhyiddin dalam pada itu menjelaskan, walaupun ramai guru mengakui sistem PBS adalah langkah yang baik dan mesti diteruskan, kementerian mengambil pendirian menyeluruh dengan menangguhkan dahulu pelaksanaannya untuk tujuan penambahbaikan.

"Sebab itu kita tangguh seketika bagi ditambah baik. Malah ada suami isteri yang pasangannya guru turut merungut kehidupan berkeluarga agak terabai kerana perlu memasukkan data. Saya juga faham guru mesti mengajar, bukan hanya memasukkan data," katanya.

sumber : Utusan Malaysia 

0 ulasan:

Post a Comment