Tuesday, March 11, 2014

Rumusan Lawatan Kerja Panel Penasihat Sekolah Kecemerlangan ke Terengganu

KUALA TERENGGANU - Petang tadi telah diadakan pembentangan Rumusan Lawatan Kerja Panel Penasihat Sekolah Kecemerlangan ke Terengganu Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abdul Rahman Arshad. Majlis telah diadakan di PPD Kuala Terengganu yang dihadiri oleh En. Hashim bin Mohd Zin, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri, wakil-wakil Ketua Sektor dan PPD di mana sekolah terlibat. Turut serta ialah Cik Norhanida  bt. Shamsuddin, Pegawai dari  Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan.

Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abdul Rahman Arshad, Penasihat Sekolah Kecemerlangan telah mengadakan tinjauan di SM Imtiaz Besut (SBT), SK Seri Berang, Hulu Terengganu (SKK Fasa 5) dan SMKA Dato' Haji Abas, Kuala Terengganu (SKK Fasa 7).

Secara umumnya beliau berpuas hati khususnya pemilihan bidang-bidang kebitaraan seperti Bahasa Arab , Bahasa Inggeris serta kebitaraan dalam bidang Kokurikulum seperti Catur yang bersifat mencabar minda pelajar. Tegas beliau bagi sekolah rendah terutamanya pilihan Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains sebagai bidang kebitaran sangat sesuai apa lagi untuk dilonjakkan ke peringkat lebih tinggi.

Beliau juga menjelaskan fokus dalam kebitaraan bersifat bahasa perlunya peningkatan. Setidaknya murid faham, berani bercakap dan kebolehan berbahasa. Oleh itu beliau menyarankan agar sekolah yang memilih bidang kebitaraan ini merancang tahap perkembangan dari mudah kepada yang lebih kompleks kemahirannya dengan mengadakan pelbagai aktiviti.

Selain itu bagi  memperkasa dan memperkukuhkan bidang kebitaraan beliau menyarankan agar diadakan jalinan dengan sekolah lain yang mempunyai kebitaraan yang sama. Selain kita dapat belajar bagaimana mereka mengurus dan melaksanakan kebitaraan mereka , para pelajar dapat berkongsi pengetahuan dan pengalaman tegas beliau.

Menurut beliau juga SKK adalah sekolah hebat dan sekolah terpilih. Bukan sahaja sumber kewangan kukuh tetapi banyak aspek pengurusan dan pencapaian yang sekolah lain boleh pelajari.Beliau menyarankan agar SKK dapat mengambil sekolah angkat yang mundur dan ketinggalan untuk dibantu sama ada pengurusan atau muridnya. Menurut beliau sekolah adalah pelaburan dan juga tebusan. Murid-murid yang tidak berpeluang di sekolah mereka dapat menebus peluang di SKK.

Selain itu beliau juga menyarankan sekolah rendah sebagai asas persekolahan perlukan "keceriaan" supaya murid sukakan sekolah. Bukan sahaja fizikal tetapi sosial juga perlu ceria. Buku di perpustakaan menurut beliau wajar dikelaskan mengikut tahun/tahap bukan dalam sistem Dewey sahaja. Apa yang penting menurut beliau murid seronok dan mudah mendapatkan buku-buku yang ada.

Beliau juga berharap PPD dapat membantu SKK di daerah masing-masing merangka perancangan tiga tahun dari sekarang dan selepas tiga tahu menilai pencapaian dan mengenalpasti faktor halangan dan kegagalan. Beliau sangat berpuas hati dan menganggap SMKA Dato' Haji Abas memilih kebitaraan yang baik mahu melihat perkembangannya apalagi kebitaraan yang mencabar minda.

Urusetia Sekolah Kecemerlangan merakamkan setinggi penghargaan terima kasih kepada Penasihat Sekolah Kecemerlangan dan menyarankan kepada mana-mana sekolah yang ingin bergerak ke arah SKK khususnya dalam  pemilihan dan pengurusan kebitaraan boleh melawat SMKA Dato' Haji Abas.

1 comment:

  1. Syabas. Usaha yang sangat tinggi. Moga saya dapat belajar untuk berusaha seperti guru-guru di SKK tersebut suatu masa nanti. Insyaallah.

    ReplyDelete