Sunday, March 30, 2014

Perubahan, kadang kita sendiri tidak perasan tentangnya

Selalunya bila kita lama tidak bertemu seseorang dan apabila bertemu kita akan dapat mengesan perubahannya dengan cepat. Misalnya ia semakin gemuk atau semakin kurus. Begitu juga pengesanan orang lain terhadap diri kita. Kadang kita kurang perasan bahawa kita berubah. Apa yang kita tahu seluar semakin ketat dan baju semakin sendat apalagi bila umur telah meningkat yang kadang juga sering lupa dan tidak ingat.

Begitulah lumrah putaran hidup. Hakikat yang perlu kita akur walaupun kurang perasan tentangnya. Begitulah juga tentang posting blog ini. Bila dibangkitkan oleh pembaca baru kita perasan bahawa posting-posting tentang pelbagai isu pendidikan khususnya semakin kurang. Tidak sekerap dan seaktif macam beberapa tahun dahulu. Sesungguhnya apa yang disuarakan itu memang benar dan saya selaku admin blog ini juga perasan tentangnya. Banyak sebab dan perubahan yang berlaku mengapa jadi demikian...,

Walaupun perkembangan teknologi maklumat semakin pesat dan maju namun  ia tidak seiring dengan keperluan dan kehendak pengguna. Kecekapan penyedia rangkaian internet masih lemah pada saya. Di rumah saya menggunakan perkhidmatan streamyx 1 Mb tetapi kepantasannya sangat lembab dan banyak kali saya komplain pada TM namun begitulah adanya. Situasi ini menyebabkan semangat untuk update blog merudum. Situasi sama atau lebih teruk juga berlaku bagi talian di pejabat selain dua talian broadband dari syarikat berlainan. Ianya sangat mengecewa dan menyakitkan hati. Tapi apa hendak buat nafsu besar tenaga kurang. Jika beginilah servis internet untuk menuju sebuah negara maju entahlah sampai atau tidak destinasinya.

Selain itu perkembangan facebook ,instgram, wahatsapp yang lebih pantas,cepat dan mudah untuk perkongsian maklumat melalui telefon pintar juga memberi kesan kepada blogger untuk up date blog. Kadang-kadang kita merasa berita atau info kita sudah basi kerana  telah ada lebih awal dalam facebook dan sebagainya. Adakalanya blogger team gemar menaikkan gambar peristiwa atau aktiviti dalam fb dari menulisnya dalam blog. Perubahan kepantasan menghantar maklumat ini menjadikan blog mula ketinggalan.

Selain dari itu bermacam-macam iklan tanpa diundang mengganggu blog dan kadang-kadang melambatkan proses menulis apalagi bagi kita yang menulis terus secara online. Keadaan ini menyebabkan komputer kadang "hang" . Ini tentunya membosankan penulis blog.Situasi ini menyebabkan usaha-usaha untuk "up date " blog tertangguh apalagi dalam masa yang sama kita bersaing dengan timbunan kerja atau melaksanakan tugas-tugas luar yang sukar untuk capaian internet.

Sebenarnya perubahan-perubahan ini berlaku tanpa kita perasan dan sedari. Ini menunjukkan betapa pesat dan pantasnya teknologi ict. Perubahan-perubahan ini sama ada menenggelam terus apa yang kita ada bergantung kepada kita. Hari ini biarpun buku elektronik ada namun buku sebenar masih diminati dan dibaca. Begitu juga bagi penulis blog yang suka menulis dan berfikir akan sentiasa menulis kerana itulah kepuasan dan keseronokan bagi mereka. Walau apapun ianya sedikit sebanyak perubahan yang berlaku juga memberi kesan kepada mereka. Justru itu kadang-kadang sokongan rakan, kawan dan peminat akan terus menyemarakkan semangat untuk terus menulis...

Untuk menjadi manusia yang hebat dan berupaya berdepan dengan masa depan yang lebih kompleks kita perlu peka dengan perubahan yang berlaku. Kita perlu cakna dan peduli supaya kita dapat menyediakan plan perancangan  yang sesuai dan serasi dengan perubahan. Kita pasti akan tetap hidup dengan hebat bila mampu menguasai perubahan yang berlaku di sekeliling kita. Begitu juga dunia pendidikan kita yang pantas dan pesat  berubah. Hebatnya kita sebagai guru bila kita juga seiring meletakkan diri dengan perubahan itu....


No comments:

Post a Comment