'Biarpun turun seorang Guru Besar dari langit ketujuh atau terbitnya seorang Guru Besar dari lapisan bumi ketujuh tanpa sokongan guru,staf,ibubapa dan masyarakat mereka tidak boleh buat apa-apa'.Itulah frasa yang selalu saya ucapkan kepada guru dan staf dalam mesyuarat pertama setelah saya berpindah atau bertukar ke sesebuah sekolah sebagai Guru Besar suatu ketika dahulu. Bagi saya guru,staf,ibubapa dan masyarakat setempat adalah sumber yang sangat utama untuk dipugar segar bagi menyokong dan mendokong kecemerlangan sekolah.Bagaimana kaedah dan caranya terpulang kepada kreativiti Guru Besar atau Pengurus Sekolah mentafsir dan mengimplimentasi makna "kepimpinan" secara yang lebih praktikal.
Apabila kita meletakkan sikap dan pandangan kita bahawa mereka itu sumber keutamaan sudah tentu kita akan menjaga dan mengurusnya sebaik mungkin.Perkara asas mengurus sumber manusia ialah keupayaan kita mengenal hatibudi,keperluan,kemahiran dan potensinya.Mereka adalah sumber unik yang mempunyai perasaan dan harga diri.Mereka perlukan penghormatan dan pengiktirafan.Justru itu kita sebagai Guru Besar memerlukan "the art of management". Guru Besar mesti memiliki seni komunikasi agar arahan "pemerintahan" tidak dilihat sebagai pemaksaan tetapi berupaya menolak naluri anak buah untuk berbuat secara sedar,bersengaja dan sedia rela.Bahkan merasai satu kepuasan dan keseronokan kerana diberi kepercayaan serta dihargai dengan ucapan "terima kasih" daripada Guru Besar.
Adalah lebih bermakna jika kita turut sama merasakan mereka itu sebagai sebahagian dari diri atau keluarga kita.Pastinya sebagai keluarga kita mahu mereka seronok bekerja di bawah pemerintahan kita.Keseronokan lahir apabila mereka selesa. Keselesaan lahir apabila mereka dilayan sebagai insan.Keselesaan lahir apabila tutur bicara kita tidak menyakitkan hati. Keselesaan lahir apabila kita perihatin dan jaga kebajikan mereka.Kebajikan mereka meliputi soal perjawatan,beban tugas,ruang kerja,perkakasan serta iklim kerja yang kondusif dan harmonis.Keselesaan inilah menyebabkan mereka tidak "berkira" tentang masa,tentang tenaga,tentang wang ringgit untuk melakasanakan visi dan misi yang dikongsi serta dikomunikasi bersama.
Walau dalam keadaan apapun, Guru Besar mesti "memerintah sekolah dan anak buah mesti bekerja kuat. Semua itu dilaksanakan secara bijaksana dan bijaklaksana. Gibran Agil berkata " Sebuah negara yang rajanya tidak mahu memerintah,negaranya tidak akan maju dan sesebuah negara yang ramai rakyatnya mahu menjadi raja,negara itu akan huru-hara".Bagaimana nak memerintah sekolah dengan hebat ?
No comments:
Post a Comment