Tuesday, November 2, 2010

11 sekolah ditutup hari ini

KANGAR 1 Nov. - Sebelas buah sekolah di Perlis ditutup berikutan banjir yang melanda negeri ini. Pengarah Pelajaran Perlis, Mansor Lat berkata, tujuh sekolah rendah dan empat sekolah menengah yang terletak di sekitar kawasan Parlimen Padang Besar dan Arau itu ditutup kerana paras air yang semakin meningkat.

Tujuh sekolah rendah yang terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Panggas, SK Bukit Keteri, SK Arau, SK Padang Melangit, SK Santan, SK Tengku Budriah dan SJK(C) Hua Aik, katanya kepada Bernama di sini, malam ini.

Empat sekolah menengah yang turut ditutup ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Arau, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Sheikh Ahmad, SMK Arau dan Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Madrasah Al-Alawiyah Addiniah, Arau.

Mansor berkata, kesemua sekolah terbabit hanya akan ditutup esok dan keputusan sama ada tempoh penutupan itu akan dilanjutkan bergantung kepada keadaan banjir.

"Pada masa ini kami hanya buat keputusan untuk menutup sekolah-sekolah itu esok," katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan jumlah pelajar dan guru yang terbabit dengan penutupan sekolah itu.
Sebanyak tujuh buah sekolah telah dijadikan pusat pemindahan banjir termasuk SK Titi Tinggi, SMK Datuk Jaafar Hassan dan SK Batu Bertangkup.

Hujan yang berlaku sejak lebih 24 jam lalu berlarutan sehingga malam ini dan pasukan penyelamat melakukan rondaan bagi tugas menyelamat di kawasan-kawasan terbabit.
Setakat ini, lebih 1,000 penduduk telah dipindahkan ke 12 buah pusat pemindahan banjir. - BERNAMA

Komen admin:
Musim banjir telah tiba.Sekolah-sekolah di negeri-negeri yang sering dilanda banjir seperti Pahang,Terengganu,Kelantan,Johor pastinya telah bersiap sedia dengan pelan kontijensi menghadapi banjir terutama bagi pelajar mereka yang akan menghadapi peperiksaan. Jika dalam pengurusan kita "sense of urgency" menjadi amalan bukannya "sense of emergency" maka semuanya akan berjalan dengan baik. Para ibubapa juga mesti mengawal anak-anak yang seronok bermain banjir agar keseronokan itu tidak bertukar menjadi tragedi,.

No comments:

Post a Comment