Sunday, September 9, 2012

Surat Terbuka Kepada Calon UPSR 2012 Terengganu


Assalamualaikum anak-anak calon UPSR Terengganu 2012

Apa khabar kalian ? Semoga semuanya sihat dan bersemangat. Tenang dan tenteram. Masa pertarungan yang dinanti sekian lama kian mampir. Usah gentar, usah takut. Ketakutan hanyalah ada pada jiwa sang pengecut. Kamukan bukan insan seperti itu . Tidak ! Kamu pahlawan dan harapan yang telah diasuh dan dilatih oleh para pendeta untuk pertarungan ini.

Anak-anak kami yang berani,

Sebelum melangkah ke gelanggang pada 11,12 dan 13 September 2012 nanti ingin kami berpesan dan menitipkan beberapa petua agar selari pencak dengan rentaknya, selagu seirama  buah gurindamnya serta arif bijaksana mentafsir tipu muslihat persoalannya.

Pertama jangan alpa membaca Bismillah , kunci pembuka resah dan susah. Berkatnya tidak payah dicerita. Semoga dengan rahmat namaNya segala urusan bakal menjadi mudah dan sempurna. Namun ingat, sebelum turun ke gelanggang salami tangan ibuayah  yang dikasihi. Mohon keampunan dan restu. Insyaallah doanya mustajab serasi dengan izin dan kehendak Allah. Mudah-mudahan pertarungan menjadi mudah, kejayaan menjadi milik dengan gah.

Anak-anak yang budiman,

Jangan sesekali bergopoh-gapah,resah-gelisah. Sediakan awal segala peralatan dan keperluan. Syaitan sentiasa mahu kita lalai dan kucundang. Justru lawan syaitan itu dengan ketenangan dan kebijaksanaan. Teliti soalan dan jawapan dengan minda sejati dan pandangan mata hati bukannya gopoh-gapah membuta –tuli. Biar nampak mudah namun sabar,jangan terpesona godaan syaitan madah berhelah. Insyaallah dengan “ketenangan dan kesabaran” yang kusut dapat dilerai, yang sukar dapat diungkai.

Anak-anak yang bijaksana,

Sesudah selesai sesuatu pertarungan dan didapati ada berlaku sedikit kesilapan tingkah dan langkah, jangan sesal dan gunda-gelana. Jangan terbuai dalam lamunan emosi hingga hilang fokus dan kosentrasi. Kesilapan kecil bukanlah pembunuh kepada kemaraan perjuangan yang lebih besar. Tumpukan segala daya dan tenaga untuk memenangi dan menguasai pertarungan seterus nya. Jadikan kesilapan yang ada itu guru untuk mengajar kita supaya bijaksana,sabar dan teliti. Ingat orang yang bijaksana itu , “ Apa yang diusaha dan dicapai hari ini lebih baik dari semalam dan apa yang diusaha dan dicapai besok lebih baik dari hari ini “

Anak-anak pewaris bangsa,

Jangan sesekali memandang enteng pertarungan ini. Pertarungan UPSR ini adalah yang pertama dan terakhir. Tiada lagi pertandingan ulangan sama ada menang atau kecundang. Tidak ada. Oleh itu guna peluang ini sebaik mungkin. Jangan undur dan mengaku kalah. Kamu adalah sang juara terhebat. Harapan untuk membawa obor amanah dan maruah diri,keluarga,bangsa,agama dan negara pada masa depan. Sekolah Berasrama Penuh, Maktab Rendah Sains Mara dan bermacam lagi sekolah hebat sedang menunggu kamu. Kamu adalah permata kami yang perlu dicanai di sekolah-sekolah hebat ini agar gemerlap menyinari semesta tamaddun bangsa pada masa depan . Jangan lepas peluang ini.
Rebut,rebut,re but dan rebut.

Anak-anak yang bersemangat waja,

Katakan kepada dirimu sendiri..
Jika ada 1,000 manusia yang beroleh 5A UPSR 2012
Akulah salah seorang daripadanya….

Jika ada 100 manusia yang beroleh 5A UPSR 2012
Katakan kepada dirimu sendiri..
Akulah  salah seorang daripadanya…

Jika ada 10 manusia yang beroleh 5A UPSR 2012
Katakan kepada dirimu sendiri…
Akulah salah seorang daripadanya…

Jika ada 1 sahaja manusia yang beroleh 5A UPSR 2012
Katakan kepada dirimu sendiri..
AKUlah itu….

Anak-anak kami yang kami kasih kami doakan…

Ya Allah Ya Tuhan Kami,
Berikah anak-anak kami yang bakal menduduki UPSR
Kekuatan minda, jiwa, rohani dan spiritual,
Campak ke dalam hati mereka  ketenangan dan keberanian..

Ya Allah Ya Rahim
Dengan sifat penyayang dan pengasihMU
Berikan kesihatan yang mantap serta terhindar dari
Segala penyakit dan musibah sepanjang
Menduduki ujian UPSR ini…
Lapang dan permudahkanlah urusan mereka
menghadapi ujian ini agar nanti bakal
menjadi anak-anak pintar soleh mengenang budi
serta pendokong ummah dan agamaMu
dipersada dunia dengan  cemerlang dan terbilang.

Ya Allah…
Hanya kepadaMu kami memohon
Keampunan dan pertolongan
Amin….

Salam Perjuangan
USR Blogger Team
JPN Terengganu
09.09.2012

Saturday, September 8, 2012

Sembang Sabtu: Menghadapi UPSR

 
Mulai minggu ini dan insyaallah minggu-minggu seterusnya USR Blogger Team menyediakan satu lagi ruang wacana bagi mengulas isu-isu sebelum atau akan datang pada minggu berkenaan melalui ruang "Sembang Sabtu'. USR Blogger Team juga ingin menjemput mana-mana Guru Besar, GPK dan guru-guru untuk menulis dan mengongsikan idea-idea bernas berkaitan pendidikan bagi dimuatnaikan dalam ruangan "Sembang Sabtu' ini. Hasil tulisan itu boleh diemail terus ke unitrendahspsjpnt@gmail.com. Pasukan USR Blogger Team akan meneliti artikal atau hasil tulisan yang sesuai untuk disiarkan.

Sembang Sabtu kali ini akan mengupas berkaitan Menghadapi UPSR. Rata-rata semua orang seantaro negara sedia maklum pada 11,12, dan 13 September 2012 adalah hari-hari UPSR. Kalau masih ada yang tidak tahu dan tertanya-tanya, sah jenis kurang cakna pada pendidikan mungkin kepada pendidikan anak sendiripun agaknya. Bagi Menghadapi UPSR ini., guru-guru Tahun 6 adalah mereka yang paling sibuk dan stress. Lebih-lebih lagi bila keputusan percubaan yang baru lalu tidak membanggakan. Justru pelbagai program di saat akhir bagi memperkuatkan kefahaman,kemahiran dan kemantapan spiritual dan emosi pelajar dilaksanakan. Pada malam Jumaat lepas majoriti sekolah mengadakan sembahyang hajat, bacaan yasin, mohon restu dan sebagainya.

Cuti hujung minggu ini ada lagi sekolah-sekolah mengadakan kem mata pelajaran dan motivasi. Banyak resort atau kem penuh dengan murid. Belajar sambil riadah bagi mempertingkatkan keyakinan dan mengurangkan stress. Tidak kurang guru-guru pakar dipanggil bagi menyampaikan tip-tip terakhir. Sekalung tahniah kepada sekolah dan guru-guru Tahun 6. Kita wajar tabik kepada mereka yang bertungkus-lumus sejak dari awal tahun lagi. Berbagai tektik dan srategi telah diajar kepada murid dengan ikhlas dan bersungguh-sunmgguh. Janganlah pula kerana keghairahan untuk murid-murid menggapai A kita mencemar nama baik profesion dan integriti kita sebagai guru. Kita tidak mahu lagi mendengar isu berkaitan soalan bocor dan perkara yang sama waktu dengannya. Kita harus yakin dan percaya bahawa kita telah melaksanakan pendekatan yang terbaik dan semoga Allah permudahkan murid-murid kita menghadapi UPSR ini serta memberi kejayaan terbilang nanti. Kejayaan yang penuh bermaruah dan berintegriti.

Tidak kurang resah dan bimbang selain dari guru ialah ibubapa. Apa lagi bagi jika anak mereka ,adalah anak pertama menduduki UPSR.Mereka mahu yang terbaik, agar boleh dijadikan tauladan dan model buat adik-adik yang lain. Saat ini mereka tidak berkira soal duit. Minta sahaja mereka akan beri asalkan anak mereka berjaya. Aura dan wabak mahukan kecemerlangan ini amat nyata dan terserlah di negeri Terengganu ini. Bahkan kalau sekolah tidak buat kelas malam mereka akan tanya guru besar. Kalau banyak sangat bersukan mereka komplen pihak sekolah kerana kurang fokus pada akademik terutama UPSR. Semuanya ini kerana mereka telah meyerap zat saripati pentingnya pendidikan,kecemerlangan dan keterbilangan anak-anak untuk masa hadapan. Tahniah kepada ibubapa yang mencintai kecemerlangan ini.

Kita juga tahu ramai ibubapa  yang membaca yasin, solat hajat sendiri dan minta berkat tok-tok guru agar anak mereka mudah menjawab soalan. Dan ada juga ibubapa yang bekerja berkira-kira untuk cuti selama tiga hari agar dapat memberi sokongan kepada anak-anak. Ketua-ketua jabatan yang terlibat..luluskan cuti mereka ini. Insyaallah jika tuan-tuan ketua jabatan mudah memberi , saya yakin mereka yang terlibat akan membalas berlipat kali ganda dengan kerjakuat dan gigih mereka bahkan tuan-tuan akan dihormati, dikasihi dan disanjungi dengan sifat ehsan,perihatin dan bertimbang-rasa itu.

Kita nak semua pihak, terutama yang berkaitan dengan pendidikan peka dan sensitif dalam situasi "zon peperiksaan" ini. Kita mahu support sepasukan bukan sorang dua. Serupalah juga kalau di rumah hanya calon dan ibunya sahaja yang beria-ia dan bersungguh-sungguh tapi bapa, adik-beradik buat tak endah bahkan pasang radio dan tv kuat-kuat dari mana akan datang angin dan iklim ketenangan dan sokongan.? Justru itu kita mohon dengan rendah hati sama ada peringkat agensi di KPM, JPN, PPD,  agar Guru Besar, GPK dan Guru-Guru yang kritikal dengan ujian ini tidak dipanggil untuk bengkel, mesyuarat atau kursus. Biar tiga hari ini mereka berada di sekolah dan mengurus perjalanan ujian UPSR sebaik mungkin. Bahkan pegawai-pegawai JPN dan PPD yang terlibat dengan pengurusan ujian ini juga jangan sekali-kali "diganggu" dengan urusan sepertimana di atas. Mungkin bagi sesetengah pihak memandang remeh perkara ini namun  jika dilihat sudut "meraikan" calon ujian ini dan mereka yang terlibat oleh semua pihak maka ia adalah sesuatu yang sangat penting.

Akhirnya kita berdoa dan berharap segala persediaan kita semua Menghadapi UPSR dapat dilaksanakan dengan lancar di semua peringkat dengan "zero defect". Dan kita juga berdoa dan berharap agar anak-anak
Terengganu kita yang bakal menduduki UPSR 2012 dapat meraih legasi keterbilangan UPSR yang berterusan.....


Friday, September 7, 2012

Renugan Jumaat : Peranan ibubapa dan keluarga membantu anak-anak menghadapi peperiksaan


Sehari dua lagi (11 – 13 September 2012) anak-anak akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Kebiasaannya dalan situasi begini ibu bapa yang lebih merasakan ketegangan dan kebimbingan

Pada saat begini, ibu bapa  mengambil pelbagai usaha bagi memastikan anak memperoleh kejayaan cemerlang dalam peperiksaan diduduki. Kejayaan dalam peperiksaan sering digunakan sebagai kayu pengukur untuk melihat keupayaan seseorang anak. Ia juga tiket melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi terutama ke sekolah-sekolah terpilih

Sebagai ibu bapa, kita bertanggungjawab mempersiapkan mereka dari segi mental, fizikal, emosi dan rohani. Antaranya mewujudkan kemesraan dan bersikap tegas ketika mendidik mereka dan pada masa sama menerima kelebihan selain memperbaiki kelemahan anak.
Di samping itu, jangan meletakkan harapan terlalu tinggi kepada anak, tetapi tidak memberi sokongan atau dorongan ke arah mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Ibu bapa juga hendaklah sentiasa mendoakan anak mereka.

Selain mengulang kaji pelajaran di rumah, anak juga perlu digalak belajar secara berkumpulan kerana kaedah itu berkesan untuk meningkatkan pengetahuan dan dapat bersoal jawab jika ada perkara kurang jelas.Lagipun, suasana pembelajaran begini tidak membosankan atau boleh membuat mereka mengantuk.Pelbagai kegiatan yang boleh mereka lakukan bersama seperti berkongsi nota, membanding jawapan dan bersaing sesama sendiri secara sihat.

Ibu bapa tidak seharusnya memaksa anak belajar berterusan tanpa berehat atau beriadah kerana dikhuatiri jika terlampau menerima tekanan, anak boleh sakit ketika hari peperiksaan dan ini pasti akan menjejaskan keupayaan mereka menjawab soalan.Sebagai ibu bapa yang ingin melihat kejayaan anak, kita boleh membantu meletakkan sasaran bersesuaian dengan kemampuan mereka. Contohnya, berapa muka surat yang boleh diulang kaji setiap hari atau berapa jam sehari untuknya belajar secara berkesan.

Jika ini dilakukan secara berterusan, Insya-Allah anak tidak akan panik menjelang minggu peperiksaan. Tekanan biasanya dialami apabila anak kecewa kerana tidak dapat memenuhi kehendak ibu bapa.

Sebagai tanda sokongan ibu bapa perlu boleh menyediakan satu ruang atau bilik di rumah masing-masing sebagai tempat anak belajar dan pada saat ini. Selain itu pastikan “iklim kekeluargaan” berada pada tahap selesa dan nyaman; tiada pertengkaran, perkelahian yang boleh mengganggu emosi anak-anak. Semua ahli keluarga perlu sepakat dan melakukan tindakan "menyokong" ahli yang akan menduduki peperiksaan tidak mendengar radio dengan kuat, memasang atau menonton tv tanpa kawalan dan sebagainya.

Ibu bapa adalah pembimbing dan pendorong kepada kejayaan seseorang pelajar. Apapun perancangan yang dibuat jika pelajar sendiri tidak bersikap positif dan memandang serius nasibnya, nescaya segala-galanya akan sia-sia saja.

Banyakkan melakukan amalan kerohanian seperti berpuasa, solat hajat, berdoa dan membaca surah Yassin ketika anak menduduki peperiksaan. Amalan ini dapat membantu memberi semangat dan keyakinan kepada mereka.

Seterusnya bertawakal kepada Allah selepas kita melakukan pelbagai usaha bagi mencapai apa dihajatkan. Firman Allah yang bermaksud: "Apabila kamu bercita-cita maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal."

Semoga tip-tip mudah dan ringkas ini membantu kita membina kecemerlangan anak-anak di saat akhir menjelang peperiksaan...


Tahniah ! Hebat anak Terengganu kite .


 Samsudin@Mustapha melihat sijil penganugerahan 
diterima Mohd Firdaus di Imperial College, London.

KAMPUNG KEMAT - Pelajar cemerlang yang sedang mengikuti bidang Sarjana Sains Biokimia di Universiti Oxford, United Kingdom, Mohd Firdaus Samsudin@Mustapha, 24, sekali lagi melakar sejarah tersendiri apabila muncul anak negeri pertama ditawarkan mengikuti pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di universiti paling berprestij di dunia itu.

Anak kedua Samsudin @ Mustapha Mamat, 62, dan Rohani Long Ahmad, 55, yang berasal dari Kampung Kemat, Hulu Terengganu itu akan memulakan pengajian peringkat PhD bermula bulan ini.

Berkongsi kegembiraan, Mohd Firdaus atau lebih mesra dipanggil Angah berkata, tawaran menyambung pelajaran ke peringkat PhD bidang Biokimia selama empat tahun itu disifatkannya hadiah untuk ibu bapanya.

“Tempoh pengajian di peringkat Sarjana sepatutnya selama dua tahun. Bagaimanapun, saya telah mendapat tawaran mengikuti PhD oleh pihak universiti berkenaan dan sepatutnya pengajian masih berbaki setahun lagi.

“Tawaran ini sekali gus mencapai impian saya untuk menyambung pengajian di peringkat PhD, cuma tidak sangka, ia digapai secepat ini, bagaimanapun saya bersyukur apatah lagi ibu bapa sentiasa berdoa untuk kejayaan saya serta adik-beradik lain," katanya


Thursday, September 6, 2012

Mesyuarat Permohonan ABM Perjawatan 2013 JPN Terengganu

KUANTAN - Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu hari ini membentangkan permohonan perjawatan guru dan anggota kakitangan sokongan bagi tahun 2013 dalam Mesyuarat Permohonan Perjawatan 2013 dengan Bahagian Sumber Manusia, KPM. Mesyuarat berkenaan diadakan di BTPN Pahang Darul Makmur dengan penglibatan wakil-wakil dari Bahagian KPM, Ketua Sektor Khimat Pengurusan JPNT, Ketua Sektor Pen gurusan Sekolah dan pegawai-pegawai dari pelbagai sektor dan unit yang terlibat dengan perjawatan guru dan aks.

Bahagian Sumber Manusia yang diketuai oleh En. Azwari Maaruf dari Unit Perjawatan dan Naziran BPSM dengan dibantu oleh En.Ahmad bin Said dari unit yang sama.

Pembentangan  permohonan perjawatan dilaksanakan oleh Unit Pra Sekolah, Unit Rendah, Sektor Pendidikan Khas, Sektor Pendidikan Islam, Unit Menengah dan Sektor Khidmat Pengurusan.

Secara keseluruhan proses pembentangan berjalan dalam suasana mesra dan menyenangkan. Wakil-wakil Bahagian telah memainkan peranan membantu negeri bagi memastikan semua permohonan memenuhi keperluan dan operasi berjalan dengan lancar pada tahun hadapan.


Wednesday, September 5, 2012

Hari Bertemu Pelanggan JPN Terengganu

KUALA TERENGGANU - Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu telah mengadakan Hari Bertemu Pelanggan dan Sambutan Hari Raya Aidil Fitri hari ini. Setiap sektor telah disediakan kios atau gerai untuk urusan pelanggan yang datang dan dalam masa yang menjamu selera sempena sambutan Aidil Fitri.

En. Zakaria Hussin, Pengarah Pelajaran Terengganu dalam ucapan pelancaran Hari Bersama Pelanggan dan Sambutan Hari Raya mengucapkan penghargaan kepada semua sektor yang telah membuat persediaan rapi. Beliau berharap semua pegawai dan staf dapat melibatkan diri dan bersama-sama melayan pelanggan yang hadir. Majlis diserikan dengan bacaan al-Quran oleh qari jemputan dan berbagai persembahan pelajar dan guru.

Tinjauan USR Blogger dilokasi sambutannya sangat meriah dan ramai jemputan yang hadir sama ada dari bekas pengarah, pengetua, guru besar, para guru, pelajar, rakan-rakan dari pelbagai insitusi serta masyarakat. Selain mengetahui peranan setiap sektor, menyelesaikan masalah para pelanggan dapat beramah-mesra secara terus dengan pegawai kanan,pegawai dan kakitangan Jabatan Pelajaran Negeri.

Terima kasih kepada pelanggan yang hadir...tanpa kalian tiadalah kami. Selamat Hari Raya Maaf Zahir  Batin.



Surat Pelantikan PJJ telah dikeluarkan

Alhamdulillah Janji Ditepati dan Rakyat didahulukan telah terlaksana. Semalam Ketua Sektor Sekolah telah membawa pulang surat tawaran PJJ  melibatkan SR dan SM sebagaimana yang dihebohkan. Mereka adalah sebahagian lulusan PJJ yang berjumlah 7,797 orang yang telah ditemuduga dan diluluskan perjawatan oleh kerajaan untuk dilantik ke DG41.

Surat berkenaan bertarikh 15.08.2012 dan tawaran pelantikan ialah pada 2.10.2010 sebagaimana yang ditetapkan dalam Pekeliling SPP Bil 1/ 2010. Surat ini tidak boleh lagi dikeluarkan kepada calon sehingga sampai surat sumber kuasa penempatan semula dari Bahagian Pengurusan Sekolah Harian. Apabila surat berkenaan sampai JPN akan keluarkan surat arahan penempatan dan tawaran kepada calon untuk tindakan dalam tempoh 60 hari dari surat arahan penempatan itu. Tanpa surat kuasa arahan penempatan dari BPSH calon tidak boleh mengisi tawaran  berkenaan.

Sehubungan dengan itu,calon Sekolah Rendah terlibat tidak perlu untuk menelefon atau bertanya surat mereka ada atau tidak kerana bilangannya ramai. Apabila segalanya selesai kita akan siarkan nama di blog ini untuk membolehkan mereka mengambil sendiri surat berkenaan atau sebagainya. Sama ada nama mereka ada atau tidak boleh merujuk terus kepada web spp seperti berikut :

Kita berharap makluman ini mampu melegakan guru-guru terlibat. Kita juga berharap mereka terlibat bersabar seketika sehingga prosidur perkhidmatan sebagaimana yang diterangkan dilaksanakan tanpa gangguan dan surat tawaran pelantikan ini sampai ke tangan para guru dan seterusnya menerima pengesahan pelantikan sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah. Semoga semangat kerjakuat dan bertungkus-lumus PPLD tidak akan pudar setelah bergelar PPS. Terima kasih KPM, Tahniah Cikgu !



Monday, September 3, 2012

Pemantauan Pencalonan SKM Cemerlang Negeri Terengganu

DUNGUN - Anugerah Pengurusan Sekolah Kekurangan Murid (SKM) Cemerlang Negeri Terengganu telah diperkenalkan beberapa tahun lalu sebagai pengiktirafan terhadap prestasi keseluruhan SKM yang mencapai tahap membanggakan daripada 41 buah SKM seluruh negeri. Antara sekolah yang pernah menduduki Anugerah Pengurusan SKM Cemerlang ialah SK Kampung Wa, Dungun, SK Jenang, Marang dan SK Dusun, Hulu Terengganu.

Beberapa buah SKM telah tercalon sebagai SKK dan SBT. Bahkan SK Dusun, Hulu Terengganu adalah satu-satunya SKM bertaraf Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK). Sumbangan SKM terhadap peratus 5A dan GPS negeri dalam UPSR tidak dapat dinafikan. SK Dusun, Hulu Terengganu dan SK Tepus, Dungun antara sekolah berada ranking sepuluh terbaik negara dalam UPSR 2011.

Pagi tadi Ketua Unit Sekolah Rendah dan Penyelia Kanan Projek Khas/ Asli/Kluster sempat membuat pemantauan dan verifikasi terhadap salah sebuah calon Anugerah Pengurusan SKM Negeri 2012. Sekolah berkenaan ialah SK Tepus, Dungun. Sekolah ini berada di kawasan pedalaman Dungun dan guru-guru menerima elaun pedalaman 10%. Sekolah ini antara SKM yang dicalonkan sebagai SKK selain SK Mangkok, Setiu. SK Tepus ini menduduki ranking kelima UPSR 2011 kebangsaan dan mencapai 100% kelulusan semua subjek dengan GPS 1.38.


SK Tepus, Dungun juga telah menerima Anugerah Tawaran Baru Guru Besar 2011 dan menerima pelbagai anugerah pada 2012. Bidang kebitaraan utama ialah Matematik dan Kelab Ushawan Tani. Kelab Ushawan Tani melaksanakan projek fertigasi, kelapa sawit, dusun buahan dan jualan pokok hiasan dalam kawasan sekolah yang berkeluasan sebanyak 5 ekar.

Menurut En. Azmi A.Bakar, Guru Besar SK Tepus dalam taklimatnya memberitahu mereka banyak mendapat rakan-rakan strategik terutama dalam bidang pertanian bagi menjayakan program Kelab Ushawan Tani dan berharap pada masa depan lokasi projek fertigasi, kelapa sawit dan dusun buah bukan sahaja menjadi pusat pengalamian pembelajaran tapi juga memberi pulangan kewangan untuk membangunkan kecemerlangan pendidikan SK Tepus.

Kita ucapkan tahniah kepada Guru Besar, para guru dan murid-murid SK Tepus kerana berjaya mengamalkan model kepimpinan dan kepengikutan yang baik dengan penghayatan tinggi kepada nilai-nilai
kesepakatan, kerjasama, kesatuan dan kecintaan kepada kecemerlangan dan keterbilangan. Kita menyeru kepada sekolah-sekolah yang berminat melaksanakan program fertigasi dan pokok hiasan SK Tepus adalah tempat rujukan terbaik. Tahniah.


Sunday, September 2, 2012

Pertukaran Guru Secara Online (e-Gtukar) sesi 1 Jan 2013

  1. Semua guru yang "berkelayakan" boleh memohon melalui : http://apps.moe.gov.my/epgo/
  2. Tempoh permohonan dibuka : 1 hingga 30 September 2012
  3. Tempoh Pengesahan oleh Pengetua dan Guru Besar (Pegawai Pengesah) : 1 hingga 30 September 2012
Adalah nasihatkan para guru yang ingin memohon dapat membuat permohonan awal dan Pengetua dan juga Guru Besar dapat membuat pengesahan awal / segera bagi mengelakkan kesesakan talian / server di saat-saat akhir.


Mana-mana guru yang berminat sama ada dari luar Terengganu atau antara daerah ataupun dalam daerah yang berminat untuk ke SK Pulau Redang, Kuala Terengganu atau SK Pulau Perhentian,Besut, Terengganu sila emailkan satu salinan borang permohonan tuan/puan ke  unitrendahspsjpnt@gmail.com


Info : SK Pulau Redang, Kuala Terengganu dan SK Pulau Perhentian, Besut adalah sekolah pedalaman yang menerima elaun khas pedalaman RM500 sebulan. Kedua-dua sekolah ini mempunyai kuaters guru. SK Pulau Redang dapat dihubungi dengan jalan udara (Berjaya Air) dan jalan  laut melalui feri seperti ke Langkawi  dari jeti Shahbandar, Kuala Terengganu dengan masa perjalanan 1 jam 30 minit dan tambang RM25.00 sehala (harga special buat warga Pulau Redang - kata GB SKPR) atau melalui jeti Merang, Setiu dengan masa perjalanan lebih kurang 1 Jam. Manakala SK Pulau Perhentian, Besut boleh dihubungi dengan jalan laut melalui jeti Besut dengan bot laju. Masa perjalanan sekitar 20 - 30 minit dengan tambang RM30.00 sehala.



Friday, August 31, 2012

Renungan Jumaat : Mensyukuri nikmat keamanan kemerdekaan


Hari  Kemerdekaan menjadi hari paling berharga dan bersejarah  bagi setiap negara, termasuk Malaysia.Alhamdulillah hari ini kita sekali dapat merayakan hari ulang tahun kemerdekaan Negara kita yang ke 55 bertemakan 1Malaysa Janji Ditepati.

Maha Suci Allah menganugerahi umat manusia di seantero dunia ini dengan nikmat kemerdekaan dan kebebasan agar kita menjadi umat yang bertakwa, yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. Sekiranya kita menyedari hakikat kemerdekaan sebagai titik permulaan terhadap kebebasan dalam erti yang sebenar-benarnya, maka sewajarnya kita bersyukur akan nikmat Allah s.w.t sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“Dan (ingatlah mereka, wahai Muhammad) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah (yang diberikan) kepada kamu ketika Dia menjadikan dalam kalangan kamu seorang Nabi, dan Dia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhambakan oleh Firaun dan orang- orangnya) dan Dia memberikan kepada kamu barang yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa pun daripada umat-umat (yang ada pada masa itu).” (Surah al-Maidah: 20)

Inti pati daripada seruan Nabi Musa a.s yang menyeru bangsanya mengingati nikmat kemerdekaan yang dianugerahi oleh Allah s.w.t supaya kita yang hidup zaman ini memperbaiki diri dan mempergunakan kebebasan kita secara bijak dan wajar daripada penjajahan mental dan moral.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum kepada keadaan yang lebih baik daripada sebelumnya jika mereka tidak mahu berusaha mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri” (maksud al-Quran, surah al-Rad ayat 11).

Kita wajar menempatkan diri kita sesuai dengan kemampuan dan keahlian masing- masing. Manakala, bagi generasi muda, dituntut meningkatkan ilmu pengetahuan sebagai bekalan bagi mempertahan dan memperkasakan kemajuan yang ada, di samping meningkatkan pembangunan bangsa dan negara pada masa hadapan. Rasulullah s.a.w mentamsil para pemilik ilmu (orang yang berilmu) seperti lembah yang dapat menampung air yang bermanfaat terhadap alam sekitar.

Dalam konteks kesyukuran terhadap nikmat Allah ini, secara realitinya kita dapat bandingkan dengan negara-negara lain di dunia yang sentiasa terdedah kepada pelbagai ancaman seperti bencana banjir, gempa bumi, kemarau, runtuhan salji, letupan gunung berapi, peperangan, kelaparan serta kemiskinan.

Oleh demikian, kita sepatutnya memetik gugusan hikmah tersebut agar kita tidak lupa diri dan sentiasa mensyukuri nikmat keamanan, kekayaan, dan kedamaian yang dilimpah dan dianugerahkan kepada negara kita ini dan seterusnya berusaha mendekatkan diri kepada-Nya.

Mensyukuri nikmat kemerdekaan dan tidak mengkufurinya bererti kita mengisi dan memaknakan kemerdekaan ini dengan segala usaha yang berpaksikan keadilan bagi menuju kemajuan. Ini sesuai dengan cita-cita kemerdekaan yang sebenar-benarnya, iaitu mewujudkan negara yang berdaulat dan makmur dalam limpahan rahmat dan keredaan Allah s.w.t. Kini kita hidup dalam suasana kemerdekaan, dan hakikatnya nasib kita berada di tangan kita sendiri. 

Oleh demikian, sebagai pewaris kemerdekaan, kita memiliki tanggungjawab untuk memupuk subur dan memeliharanya agar obor kemerdekaan yang dinyalakan oleh para pejuang terdahulu tidak menjadi pudar. Caranya ialah turut mengisi dan memaknakan kemerdekaan dengan melakukan kerja-kerja yang bermanfaat dalam melestarikan pembangunan fizikal dan pembangunan rohani sebagai mana yang digariskan dalam wawasan negara.

Kestabilan ekonomi, kekayaan hasil bumi, dan kebebasan rakyat mencari rezeki di setiap inci muka bumi negara ini merupakan anugerah Allah s.w.t yang tidak ternilai dan kita wajib bersyukur.

Antara Islam dan syukur itu, terjalin hubungan yang tidak mungkin terpisah. Dapat disimpulkan bahawa kedua-duanya merupakan dua sisi daripada sekeping syiling atau sehelai wang kertas.
Memang sewajarnya setiap Muslim wajib mensyukuri nikmat yang telah diterima daripada Maha Pencipta dan kemerdekaan adalah antara nikmat yang amat berharga dalam suasana dan wajah dunia yang seringkali tercalar oleh kekejaman sesama manusia, keserakahan perebutan kuasa, dan berleluasanya penjajahan minda.