Bagaimanakah mengukur tahap rasa
syukur kepada Allah atas segala nikmat pemberiannya yang tidak terhitung
banyaknya selama ini?
Setiap umat Islam perlu berasa cemas dan takut kerana selepas banyak menikmati
rezeki pemberian Allah, mereka tidak diiktiraf oleh Allah sebagai orang yang
bersyukur kepada-Nya. Ini kerana di dalam al-Quran, Allah menyebut dalam
beberapa ayat yang mana ramai manusia yang tidak berterima kasih kepada Allah
atau sedikit sekali orang yang bersyukur kepada-Nya.
Orang yang tidak tahu atau tidak mahu bersyukur, maka azab Allah bakal
diterimanya di akhirat. Sebaliknya, orang yang tahu bersyukur dan menghargai
nikmat pemberian Allah, mereka beruntung kerana Allah berkenan menambahkan lagi
pemberiannya, sebagai firman-Nya bermaksud: "Dan (ingatlah juga), tatkala
Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah
(nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya
azab-Ku sangat pedih." (QS. Ibrahim: 7)
Nikmat Allah yang dianugerahkan kepada manusia khususnya kepada Muslim boleh
dibahagikan kepada dua, iaitu:
§ Nikmat untuk kelangsungan hidup di dunia seperti makanan, minuman pandangan,
kekayaan, keamanan, kesihatan, umur dan nikmat berkasih sayang; dan
§ Nikmat yang paling mahal dan tinggi nilainya nikmat iman dan Islam kerana ia
bukan setakat untuk di dunia tetapi berterusan sampai ke hari akhirat.
Umat Islam patut bersyukur kerana dikurniakan nikmat iman dan Islam di samping
nikmat lain yang tidak terkira banyaknya. Marilah bersungguh-sungguh
mempertahankan nikmat iman dan Islam sampai ke akhir hayat.
Soalnya, adakah umat Islam sebenarnya bersyukur dengan kedua-dua bentuk nikmat
yang dikurniakan Allah? Allah berfirman, bahawa amat sedikit manusia yang
bersyukur.
Allah menghuraikan mengenai banyaknya nikmat kurniaan Allah kepada manusia yang
pasti tidak mampu dihitung. Firman Allah yang bermaksud: "Dan jika kamu
menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya.
Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (QS.
An-Nahl: 18)
Allah meminta supaya manusia yang banyak menerima nikmat dan kurniaan Allah
supaya bersyukur, seperti firman-Nya yang bermaksud: "Dan Allah
mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun,
dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu
bersyukur." (QS. An-Nahl:78)
Dalam ayat lain, Allah berfirman yang bermaksud: "Dan supaya kamu cukupkan
bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana
mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur." (QS. al-Baqarah: 185).
Banyak lagi ayat al-Quran yang diakhiri dengan kalimah yang bermakna,
"agar kamu bersyukur." Beberapa firman Allah (sekadar beberapa ayat)
dalam al-Quran menyatakan bahawa kebanyakan manusia tidak bersyukur atau
sedikit sekali yang berterima kasih kepada Allah, seperti firman-Nya bermaksud:
'Dan sedikit sekali daripada hamba-Ku yang tahu berterima kasih
(bersyukur)." (QS. Sabda': 13)
Dalam soal jawab Iblis dengan Allah, Iblis berkata, "Kemudian aku datang
(memperdayakan) mereka dari muka, belakang, kanan dan kiri mereka. Dan tidaklah
Engkau (Tuhan) akan mendapati kebanyakan daripada mereka tahu berterima
kasih." (QS. al-A'raaf: 17). Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah sentiasa melimpahkan kurnia-Nya kepada manusia
(seluruhnya), tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur." (QS. al-Baqarah:
243)
Sewajarnya umat Islam menaruh perasaan bimbang dengan penjelasan Allah seperti
dalam beberapa ayat berkenaan, iaitu apakah mereka daripada kalangan orang yang
bersyukur. Semoga kisah berikut memberi pengajaran atau iktibar kepada kita.
Diceritakan bahawa ada seorang pemuda pada zaman Saidina Umar al-Khattab yang
sering berdoa di sisi Baitullah yang maksudnya: "Ya Allah! masukkanlah aku
dalam golongan yang sedikit." Doa pemuda ini didengar oleh Saidina Umar
ketika beliau (Umar) sedang bertawaf di Kaabah. Umar berasa hairan, iaitu
kenapa pemuda berkenaan memohon doa sedemikian rupa.
Selepas selesai melakukan tawaf, Saidina Umar memanggil pemuda berkenaan lalu
bertanya: "Kenapakah engkau berdoa sedemikian rupa (Ya Allah! masukkanlah
aku dalam golongan yang sedikit), apakah tiada permintaan lain yang boleh
engkau mohon kepada Allah?"
Pemuda berkenaan menjawab: "Ya Amirul Mukminin! Aku membaca doa berkenaan
kerana aku (berasa) takut dengan penjelasan Allah seperti firman-Nya dalam
surah al-A'raaf ayat 10 yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami (Allah) telah
menempatkan kamu sekelian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi
(sumber/jalan) penghidupan. (Tetapi) amat sedikitlah kamu bersyukur." Aku
memohon agar Allah memasukkan aku dalam golongan yang sedikit, iaitu (lantaran)
terlalu sedikit orang yang tahu bersyukur kepada Allah, jelas pemuda berkenaan.
Mendengar jawapan itu, Umar al-Khattab menepuk kepalanya sambil berkata kepada
dirinya sendiri: "Wahai Umar, alangkah jahilnya engkau, orang ramai lebih
alim daripadamu." Memanglah teramat sedikit yang tahu dan mahu bersyukur
dan semoga kita termasuk dalam golongan yang sedikit berkenaan (yang
bersyukur).
Bagaimanakah memastikan diri daripada kalangan orang yang bersyukur dengan
segala nikmat yang diterima daripada Allah?
Menurut Imam al-Junaid, "Syukur ialah seseorang yang tidak menggunakan
nikmat Allah untuk melakukan maksiat kepada-Nya". Ertinya, tanda bersyukur
ialah menggunakan segala nikmat atau rezeki kurniaan Allah untuk melakukan
ketaatan kepada-Nya dan memanfaatkannya ke arah kebajikan - bukan
menyalurkannya ke kancah maksiat atau kejahatan.
Ulama bernama Ahsin bin Atha'ullah pula membahagikan syukur kepada tiga, iaitu:
§ Syukur dengan lidah, iaitu dengan cara menyebut nikmat kurniaan Allah seperti
firman Allah: "Dan nikmat Tuhanmu hendaklah engkau menyebutkannya sebagai
menzahirkan kesyukuran." (QS. adh-Dhuha: 11);
§ Syukur dengan anggota badan, iaitu dengan melaksanakan ketaatan kepada Allah,
iaitu dengan menggunakan anggota badan ke atas perkara yang diredhai Allah; dan
§ Syukur dengan hati, iaitu mengiktiraf bahawa Allah sajalah pemberi segala
nikmat di mana segala nikmat atau rezeki yang diperoleh oleh setiap manusia
(hamba Allah) datangnya daripada Allah, sesuai dengan penjelasan Allah menerusi
firman-Nya bermaksud: "Apa jua nikmat yang kamu peroleh, maka ia datangnya
daripada Allah." (QS. an-Nahl: 53)
Ibnu Atha'ullah Askandari pula berkata: "Sesiapa yang tidak mensyukuri
nikmat, maka dia membuka ruang seluas-luasnya untuk nikmat berkenaan hilang
daripadanya. Sedangkan sesiapa bersyukur, maka (bermakna) dia mengukuhkan lagi
ikatan kekalnya nikmat berkenaan kepada dirinya. Dan sesiapa yang tidak
mempedulikan nikmat Allah yang diperolehinya, maka dia akan menghargainya
apabila nikmat itu (telah) hilang daripadanya."
Ketika Siti Aisyah bertanya Rasulullah SAW (suaminya), mengapa baginda begitu
kuat dan tekun beribadah (solat) sampai kakinya bengkak, sedangkan baginda
seorang nabi yang telah diampun dosanya dahulu dan akan datang? Nabi Muhammad
menjawab, "Tidak bolehkah aku menjadi orang yang bersyukur kepada
Allah."
Ini bermakna mentaati perintah dan menjauhi apa jua larangan Allah adalah tanda
syukur kepada-Nya. Insaflah bahawa apa jua yang Allah suruh kerjakan dan
tinggalkan segala larangan-Nya adalah semata-mata untuk keuntungan manusia
sendiri.
Allah tidak mengambil sebarang faedah daripada apa jua yang diperintah dan
dilarang-Nya. Allah tidak sekali-kali rugi jika semua manusia sepakat untuk
tidak mentaati-Nya dan tidak pula untung sekelumit pun sekiranya semua manusia
beriman dan patuh kepada-Nya. Bukankah Allah mewujudkan manusia di muka bumi
ini untuk diuji. Allah hendak melihat siapakah antara mereka yang paling baik
perbuatannya?
Ini selaras dengan penegasan Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kami (Allah) menjadikan apa yang ada di bumi sebagai
perhiasan baginya agar Kami menguji mereka siapakah antara mereka yang terbaik
perbuatannya."(QS. al-Kahfi:7)