Bagi rakyat negeri Terengganu ungkapan itu seringkali diucapkan terutama oleh YAB Dato' Haji Ahmad Razif bin Abd. Rahman, Menteri Besar Terengganu. Ia adalah sebahagian dari agenda penting Tranformasi Terengganu Baharu (TBB) yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri. Sebatang jalan kampung yang berlopak barangkali suatu perkara kecil bagi kita yang ada kenderaan pacuan empat roda tapi bagi masyarakat kampung yang hanya ada motosikal, basikal dan pejalan kaki ia adalah suatu masalah besar yang menyusahkan rutin kehidupan mereka terutama di musim tengkujuh seperti sekarang.
Begitulah gambaran mudah makna slogan tadi dalam konteks perkhidmatan kerajaan negeri kepada rakyat supaya setiap agensi mempunyai sensitiviti tinggi dalam menangani masalah rakyat. Berasaskan konsep yang sama kita bawa penghayatan slogan itu dalam kerjabuat pendidikan kita di semua peringkat.
Di peringkat pengurusan sama ada di JPN ataupun PPD kadang-kadang sesetengah perkara itu kecil sahaja kepada kita. Sebagai contoh ada sekolah yang tidak cukup guru walhal guru lebih dalam daerah dan dalam negeri. Kita mungkin menganggap ia adalah perkara kecil dan biasa sedangkan bagi pihak sekolah ia merupakan isu yang besar kerana melibatkan penyusunan jadual, jadual ganti, masalah pengawalan murid dan sebagainya. Bagaimana jika dengan tidak cukup guru untuk menjaga murid tiba-tiba ada berlaku kemalangan serius di sekolah. Siapa yang akan bertanggungjawab? Jika semua pihak yang berkuasa melaksanakan masalah itu menganggap ia suatu isu atau masalah besar atau kritkal maka penempatan, pertukaran atau redeploymen dapat dilaksanakan segera.
Begitu juga bila kita sewenangnya meminta wang kepada murid untuk sesuatu aktiviti seperti seringgit seorang. Bagi kita guru apalah sangat dengan nilai seringgit itu. Namun bagi murid yang benar-benar miskin seringgit itu terlalu besar bagi mereka. Seringgit itu mungkin sudah cukup untuk bekal ke sekolah sekurang-kurang untuk dua atau tiga hari. Pengalaman saya mengajar di sebuah sekolah felda pada pertengahan tahun 1980an kita hendak minta yuran sekolah dengan pelajar tidak sanggup kerana kita tahu ibu bapa mereka ambil barang di kantin felda dan menjual kepada pihak lain untuk mendapatkan wang tunai. Cerita dalam lagu dikir "Nasib Diri Ambo" oleh Halim Yazid adalah kisah benar kerana saya adalah junior beliau dahulu.
Selain dari itu kita sebagai guru juga membatalkan sesuatu program seperti kelas tambahan, latihan sukan atau kegiatan kokurikulum dengan sempoi sekali atau di saat-saat akhir. Bagi kita perkara itu kecil dan mudah sahaja. Cukup dengan sebaris ayat dalam masa beberapa saat. Namun bagi murid walaupun tidak semua, tidak semudah itu. Mungkin bagi ibu bapa bekerja dan jauh dari sekolah mereka akan datang ambil selepas waktu aktiviti mereka. Bagaimana dengan keselamatan murid ini? Di mana mereka boleh tinggal? Bagaimana dengan masa mereka ? Sememangnya jika tidak terjadi apa-apa tidak ada masalah tapi jika sesuatu berlaku sesuatu yang lebih besar akan dibongkarkan seperti SOP yang diamalkan dan sebagainya.
Sebenarnya banyak lagi perkara-perkara yang kita anggap kecil dalam pendidikan tetapi begitu besar bagi murid, ibu bapa mahupun guru. Kita telah melihat dan membaca berbagai kes yang berlaku. Antaranya bagaimana seorang guru yang membawa pelajar untuk pertandingan sukan menemui kemalangan dan mengorbankan muridnya. Bagaimana guru ini turun naik mahkamah. Berjuang bersendirian. Puncanya kerana memudahkan urusan dengan mengabaikan prosidur sepatutnya.
Begitu juga sesetengah pengurus sekolah memandang remeh tentang keselamatan murid di sekolah seperti pokok-pokok yang berpotensi tumbang atau dahan reput, tiang gol, punca elektrik dan bermacam perkara yang berisiko menyebabkan kemalangan. Bayangkan kerana kurang cakna atau menganggap perkara itu kecil tiba-tiba suatu hari seorangnya murid mati ditimpa dahan reput di kawasan sekolah. Guru Besar ini pasti tidak tidur malam kerana beliau boleh dikenakan tidakan cuai melaksanakan tugas kerana membiarkan dahan mati tidak dipotong.
Kita berharap slogan mudah dan simple yang dicetuskan oleh YAB Menteri Besar Terengganu itu dapat dihayati dan diterjemahkan dalam konteks pengurusan pendidikan semua peringkat khususnya di peringkat sekolah. Semoga dengan kecaknaan yang terperinci itu memberi impak besar terhadap kejayaan pendidikan kita.
No comments:
Post a Comment