Rasanya sudah kerap benar pimpinan pendidikan kita peringkat negeri berpesan tentang perkara itu. Dalam makna yang lebih mudah hebat atau cemerlangnya kita tidak ada makna dan ertinya jika kita hanya sendirian sahaja hebat tetapi kita mahu membawa bersama orang lain juga hebat macam kita. Kalau kita guru yang hebat kita mahu kongsi kehebatan dan kemahiran kita dengan guru-guru lain agar mereka juga hebat seperti kita. Kalau kita Guru Besar yang hebat kita mahu anda bimbing orang lain juga hebat macam anda. Justru itu konsep networking amat penting dalam dunia hari ini dan menjadi agenda utama bagi mempertingkatkan kualiti dan produktiviti kerjabuat kita.
Begitu juga bila Pengarah Pendidikan Negeri pernah berkata" macam mana kita mahu dapat 20% lulus semua A dalam UPSR kalau Bahasa Inggeris sebagai kritikal subjek dalam kebanyakan sekolah atau daerah tidak pernah mencapai A dua puluh peratus pun". Cabarannya bukan sahaja sekolah atau daerah perlu memantapkan pencapaian masing-masing tetapi juga sekolah atau daerah yang bagus Bahasa Inggeris perlu membantu daerah-daerah lain. Ianya memerlukan pendekatan strategik dan perkongsian rangkaian bijak antara sekolah dan PPD. Jika sebuah PPD sahaja yang capai 30% straight A UPSR 2014 maka ia tidak akan memungkinkan negeri mencapai 20% straight A. Inilah tanggungjawab dan komitmen yang perlu dipikul bersama.
Secara lebih terperincinya budaya kerja sepasukan dan networking ini mestilah bermula dalam organisasi kecil di peringkat sekolah lagi. Berdasarkan pengalaman jika kita ingin murid berjaya cemerlang UPSR elemen kepimpinan, guru, ibubapa dan masyarakat perlu disepadukan. Guru Besar sebagai pemimpin perlu memimpin pasukan UPSR sekolah. Sama ada ia sebagai pengajar subjek UPSR atau Pengerusi Projek. Dia mesti arif dan faham melaksanakan perancangan dan plan tindakan strategik UPSR. Mampu memilih, memimpin dan membimbing guru-guru UPSR, ibubapa dan masyarakat terhadap kecemerlangan pendidikan khususnya UPSR. Networking seperti ini pasti mampu menarik steakholder menyokong dengan moral, tenaga dan wang ringgit.
Apalagi kalau sekolah mampu membina networking dengan pelbagai institusi yang ada dalam masyarakat. Saya yakin berasaskan pengalaman lalu gerakan sekolah akan menjadi gerakan massa kalau kena cara dan strateginya. Mereka nanti tidak segan-segan menyumbang dan meraikan kejayaan yang bakal dicipta. Persoalannya sejauh mana kita sanggup mengorbankan masa, tenaga serta mengasah kebijaksaanaan komunikasi untuk mempengaruhi potensi sekitar ke dalam rangkaian kita.
Kadang-kadang kita merasa hairan mengapa dalam satu oirganisasi ujudnya persaingan menonjolkan kehebatan diri secara personali. Kita biasa dengar rungutan para guru antara Guru Penolong Kanan tidak sebulu dan sehaluan. Guru Besar dengan GPK ada konflik. Guru-guru berklik dan berkumpulan dalam kumpulan organisasi. Walhal bila kita bicara soal organisasi ia adalah kombinasi status dan hubungan kerja pelbagai peringkat yang perlu berhubung dan saling berkait antara satu sama lain. Masing-masing ada peranan dan tanggungjawab memantap dan menjayakan organisasi. Jika sekolah mahu UPSR Cemerlang, tukang kebun pun ada peranan. Setidak-tidaknya tidak memesin rumput dekat kelas petang atau pagi murid Tahun 6 sedang belajar. Mereka mesti memilih hari yang sesuai. Mereka tidak boleh sylo semata-mata untuk menjayakan kerjabuat tanpa mempertimbangkan kepentingan organisasi.
Jika ahli organisasi tidak merasai kekecewaan atas setiap kegagalan organisasi, tidak merasai gembira atas kejayaan organisasi maka inilah petanda gagalnya kepimpinan organisasi menerap nilai-nilai kekitaan dan kebersamaan. Organisasi seperti ini tidak akan ke mana bahkan sebagai sarang membiakkan virus konflik.Ianya perlu dirombak dan disusun semula agar lebih dinamik. Hanya organisasi yang dinamik mampu untuk membina jaringan dan jalinan agar menjadi yang lebih hebat.
Apapun sikap prajudis tidak bertempat sesetengah pemimpin organisasi yang melihat kehebatan bomoh di kampung sendiri sebelah mata menyebabkan banyak peluang terlepas begitu sahaja. Saya mendapat maklumat dari empat Guru Besar SBT dan tujuh Guru Besar SKK Terengganu di mana bilangan sekolah dalam negeri yang melawat sekolah mereka sangat mendukacitakan.Sedangkan pelawat dari negeri dan negara luar berebut-rebut datang. Mereka membina networking dengan sekolah-sekolah ini sedangkan sekolah-sekolah dalam negeri sendiri sylo dengan kehebatan sendiri. Inilah sikap dan budaya yang sukar untuk diubah. Apresiasi dan kemahuan untuk belajar dengan rakan-rakan berjaya masih rendah. Walhal kita tahu bagaimana Jepun dan Cina berjaya adalah kerana mereka belajar dan meniru kejayaan barat.
Sesungguhnya dalam mana-mana kejayaan besar dan hebat hanya boleh dicapai dengan networking apalagi dalam konteks dunia tanpa sempadan bukan dengan cara bergerak sendirian atau sylo. Kata orang, dua biji kepala lebih baik dari sebiji kepala....
No comments:
Post a Comment