Monday, April 29, 2013

Taklimat Penempatan Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Siswazah Gred DG41 Bagi Guru Interim Lantikan 16 Oktober 2012

KUALA TERENGGANU ,29 APRIL - Seramai 142 orang daripada 147 orang Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Siswazah Gred DG41  bagi Guru Interim lantikan 16 Oktober 2012 menerima surat penempatan dan tawaran lantikan DG41 daripada En. Hashim bin Mohd Zin, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu pagi ini. Majlis berkenaan telah diadakan di Hotel Permai, Kuala Terengganu.

Kesemua 142 orang yang lulus temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran menerima pelantikan terus sebagai Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Siswazah DG41. Kesemua mereka adalah guru-guru j-Qaf yang mengikut Mod Latihan Berasaskan Sekolah di seluruh negeri Terengganu dan telah dilantik secara interim pada 16 Oktober 2012. Hari ini mereka menerima pelantikan secara tetap.

Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada yang telah berjaya dilantik secara tetap ini. Menurut beliau permohonan menjadi guru dalam pelbagai mod latihan sangat tinggi dan mereka terpilih menikmati peluang ini sewajarnya bersyukur dengan peluang yang diperolehi.

Beliau memberi peringatan sebagai guru yang juga penjawat awam para guru tahu kedudukan diri, tugas dan peranannya. Beliau mengingatkan para guru berkenaan, jangan mudah lupa diri dan dapat memain peranan sebagai hamba Allah dan peranannya sebagai khalifah untuk mendidik dan memimpin ke arah kejayaan.

Timbalan Pengarah juga berharap dalam situasi pendidikan yang penuh cabaran hari ini, beliau berharap mereka dapat kawal diri dari segi emosi dan perasaan. Mereka mesti sanggup menghadapi karenah anak-anak murid dan sentiasa bersabar dan cekal menghadapinya. Begitu juga mereka perlu mampu mengawal diri berhubung dengan rakan sejawat dan ketua jabatan mereka.

Beliau juga menegaaskan tugas guru bukan sekadar menyampai ilmu tetapi juga membangun kemahiran dan adab kepada anak didik mereka. Tegas beliau lagi, sebagai Guru j-Qaf  mereka akan sentiasa diperhati dan dinilai adakah mereka memberi impak besar terhadap kemenjadian murid menguasai Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain sebagai asas mengenali Allah kerana isu-isu moral dan disiplin murid berkait rapat kerana jauhnya hati mereka dengan agama.

Timbalan Pengarah juga menyeru agar para guru sentiasa belajar pelbagai bidang dan cara bagi mempercekapkan tugas dan peranan mereka supaya mereka benar-benar kompeten dan mencintai kerjaya yang mulia ini bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.



Saturday, April 27, 2013

Sembang Sabtu : Transformasi atau kita ditinggal basi


Salam Sejahtera !

Perubahan atau transformasi dalam pelbagai bidang khususnya pendidikan sangat pantas bergerak. Ianya bukan sahaja berkaitan dengan sistem,teknologi,kemahiran dan sebagainya tetapi juga mempengaruhi caragaya berfikir dan caragaya bertindak. Mahu tidak mahu kita yang telah berada dalam pusaran dan putaran itu perlu berubah ataupun tertolak basi ke tepi. Ianya berbeza dengan anak-anak kita yang telah sedia lahir dalam zaman ini. Justru mereka begitu pantas dan serasi dengan arus serta gelombang yang sedang berputar.

Transformasi sistem pengurusan  pendidikan kita berjalan pantas. Zaman surat dan kertas kian beransur berlalu diganti dengan zaman elektronik dan digital. Sedikit masa lagi semua sekolah akan mencetak surat terus dari server. Perkara inipun telah berlaku di beberapa PPD dalam negeri di mana kebanyakan urusan sekolah dilaksanakan secara online. Email, sms, blog, web dan facebook , berbagai sistem elektronik dan sebagainya akan menjadi medium utama pengurusan dan pembelajaran. Barangkali kalau kita bersedia, alasan "saya tidak tahu" atau " tidak menerima surat"  tidak boleh diguna pakai lagi. Kegagalan kita sebagai pengurus sekolah atau guru mengurus perubahan dan organisasi serta sistem kita adalah pentunjuk prestasi yang lemah dan kegagalan kita menghadapi tranformasi. Kita sudah hilang punca untuk mencari alasan.

Sistem pertukaran guru secara online atau e-gtukar yang sedang dilaksanakan untuk sesi pertukaran Jun 2013 adalah satu contoh bagaimana "pembohongan" dan "tipu muslihat" tidak dapat disembunyikan. Data-data untuk pertukaran guru adalah diambil dari e-operasi. Satu arahan diikuti taklimat telah diwar-warkan kepada semua guru agar mengemaskini data e-operasi. Data yang dikemaskini akan disemak dan disahkan oleh Guru Penolong Kanan 1 dan akhirnya Guru Besar akan mengesahkan untuk yang terakhir. Jika ketiga-tiga pihak akauntable kepada peranan masing-masing maka data berkenaan tiada cacat cela dan masalah permohonan pertukaran tidak akan timbul.

Namun apa yang berlaku masih ada guru-guru yang tidak dapat masuk online, lupa kata laluan dan seribu satu macam lagi. Apa yang membuat kita merasa kecewa, apabila timbul masalah demikian PPD,JPN dan KPM dipersalahkan dengan mengeluarkan suara yang tinggi dan kurang beradab. Mereka ingat boleh memperbodohkan orang lain kerana tidak mungkin akan ada masalah jika e-operasi dikemaskini. Apabila disiasat barulah pecah tembelang data tidak disemak. Laluan Naik Pangkat Time Base diletak hakiki dan berbagai lagi. Hairannya GPK dan Guru Besar elok-elok membuat pengesahan data yang "tidak sah" itu. Inilah kadangnya soal ilmu, sikap dan integriti pengurus sekolah yang menyebabkan guru-guru tidak hormat kepada mereka. Justru barangkali kerana itulah difahamkan kementerian sedang menggubal laluan kerjaya naik pangkat pengurusan baru yang lebih ketat dan berwibawa agar pengurus sekolah mampu membawa pengurusan dan pencapaian sekolah ke arah lebih terbilang di masa hadapan.

Sesekali fikir memang wajar perkara tatacara baru pemilihan pengurus sekolah yang benar-benar kompeten disegerakan agar agenda tranformasi pendidikan dapat dipacu segera dengan cekap. Bukan kita kata pengurus sekolah yang ada tidak bagus. Ramai yang bagus dan berketrampilan. Malang terdapat segelintir pengurus sekolah rendah yang terkeluar dari arus perdana seperti hari ini ada yang tidak merasa segan silu tidak memakai kut dalam majlis besar dan rasmi walaupun semua orang pakai kut. Ada yang fobia komputer dan internet.Mereka perlu menyesuaikan diri dengan stail dan budaya kerja yang baru. Kalau tidak mereka akan basi dan ketinggalan.

Beberapa senario berlaku seperti Guru Besar mengadu bahawa GPK dan guru yang biadab dengan mereka, laporan dan aduan GPK malas dan tidak dengar kata adalah antara beberapa menifestasi kegagalan Guru Besar menjadi pemimpin rujukan yang mempunyai aura sebagai motivator,perunding,penyelesai masalah dan sebagainya. Sewajarnya mereka memiliki ilmu menangani isu-isu berkenaan serta menggunakan peraturan-peraturan sedia ada. Kerap benar apabila ditanya apa yang telah dibuat menangani kes-kes ini, mereka hanya menunjukkan kertas kosong tanpa apa-apa tindakan sebagai aviden bahawa mereka telah menggunakan kuasa-kuasa yang diberi untuk melaksanakan tugas.

Para pemimpin sekolah harus sedar bahawa ahli organisasi mereka pada masa ini adalah sebahagian besar terdiri dari generasi baru yang kaya dengan maklumat. Mereka boleh mengakses maklumat dihujung jari melalui telefon pintar. Justru itu para pengurus sekolah perlu melakukan transformasi sistem, stail, cara berfikir dan bertindak yang cekap,berwibawa dan bijaksana. Kita difahamkan ramai kalangan pengurus sekolah yang selesa dengan stail pengurusan "serah bulat-bulat" seperti urusan kewangan kepada Pembantu Tadbir, kurikulum kepada GPK Pentadbiran dan sebagainya yang akhirnya mereka sendiri "kehilangan" data dan maklumat. Jangan kerana transformasi, kita tinggal menjadi basi.


Friday, April 26, 2013

Renungan Jumaat : Bercakap biar berakhlak sekali pun dengan musuh



FIRMAN ALLAH SWT SURAH AL-ISRAK AYAT 53 YANG BERMAKSUD ,” dan Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata Dengan kata-kata Yang amat baik (kepada orang-orang Yang menentang kebenaran); Sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan Yang menentang); Sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh Yang amat nyata bagi manusia.

Penjelasan :

Berdasarkan ayat 53 surah israk tadi,Allah menghendaki supaya kita orang beriman supaya menggunakan perkataan yang baik dan lemah lembut ketika berhubung dengan orang lain.Dalam hal ini maka peraturan berhubung dengan orang lain perlulah diamalkan setiap muslim , samada ia berhubung dengan sesama muslim ataupun orang yang bukan muslim .termasuk musuh sekalipun.

Umumnya telah mengetahui bahawa bercakap kasar dan menyinggung perasaan orang lain boleh menimbulkan permusuhan dan perseteruan dengan sesama manusia .Oleh itu kita dapati banyak pemusuhan dan perseteruan itu berpunca dari kata –kata kasar yang kurang enak didengar yang didengar oleh seseorang .Bukan setakat permusuhan malahan kadang –kadang membawa kepada dendam .

Seringkali terjadinya pertumpahan darah berpunca dari dendam menuntut pembalasan . Bertambah buruk apabila api permusuhan itu ditiup syaitan .

Oleh hal yang demikian maka hendaklah berwaspada dan menjaga diri masing dari bersikap demikian.

Jika kita teliti dengan masalah yang sering berlaku dalam keluarga dan masyarakat , kita dapati dalam banyak keadaan ianya berpunca dari percakapan buruk dan kesat yang dilafazkan oleh seseorang tanpa berfikir secara rasional bahawa perkataan yang keluarkan itu membuatkan orang lain marah kerpadanya .

Malangnya sedikit benar orang memikirkan bahawa dengan menggunakan perkataan yang baik akan membuahkan persaudaraan yang rapat dan orang kasih kepada kita.Dngan mulut yang manis ia dapat menawan dan menarik orang lain , dengan yang demikian natijahnya akan mendapat ramai kawan .

Sebenarnya kawan yang ramai boleh mendatangkan kebaikan kepada seseorang , kerana dengan rakan yang ramai maka mudahlah ia mendapat pertolongan jika ia berhajat kepada pertolongan .
Kita hendak berkata – kata dengan baik , jangan menengking dan memaki hamun, perbuatan itu adalah sifat mazmumah yang dilarang dalam islam,sebalik kita diperintahkan supaya mengelurkan kata –kata yang lemah lembut dan sedap orang mendengarnya sebagai menghormati orang lain .

Firman Allah dalam surahLoqman ayat 19 yang bermaksud :

"Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai".

Allah juga memerintah kepada Rasulullah SAW apabila berhubung dengan orang lain hendaklah dengan lemah lembut sebagaimana Nabi Musa dan Harun diperintahkan berdakwah kepada Firaun denga kata – kata lemah lembut , firman Allah SWT dalam surah Taha ayat 43-44 yang bermaksud :

“43. "Pergilah kamu berdua kepada Firaun, Sesungguhnya ia telah melampaui batas Dalam kekufurannya.
44. "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadaNya, Dengan kata-kata Yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut".

Berktalah dengan baik dan lemah lembut ia boleh menarik orang lain kepada apa yang kita ucapkan , andainya kita bercakap kasar membuatkan orang akan menjauhkan diri dari kta kerana mereka benci dengan sikap yang demikian , firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 159 yang bermaksud :

maka Dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu Wahai Muhammad), Engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan Yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah Dengan mereka Dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila Engkau telah berazam (Sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang bertawakal kepadaNya.

Kesimpulan .

Islam menunjukkan akhlak –akhlak yang baik kita bersemuka dengan orang lain,dengan cara kita bercakap dengan lemah lembut dan sopan .Dan melarang dari bercakap kasar dan kesat yang boleh menyinggung perasaan orang yang mendengarnya ,lakukan ia kepada sesiap sahaja hatta kepada musuh sekalipun.

Adab yang yang disarankan ini adalah sangat baik demi menjaga nama baik kita dan menjaga hati kawan kita supaya tidak sakit hati dengan hal demikian menambahkan lagi ukhwah kita sesama muslim dan muhibbah dengan bukan Islam .

Catatan : Rencana ini dikirim oleh Saudara Mohd Shafiq Chandran, Guru Besar, SK Durian Mas 

 

Thursday, April 25, 2013

Taklimat Penempatan PPPS DG41 Bagi Guru Interim Lantikan 16 Oktober 2012

Salam Sejahtera.

Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu akan mengadakan taklimat sebagaimana di atas  seperti berikut:

  • Tarikh   :  29 April 2013 (Isnin)
  • Tempat :  Permai Hotel Kuala Terengganu, Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu
  • Pendaftaran : 8.30 pagi.
  • Pakaian : Rasmi
Senarai nama PPPS DG41 terlibat. KLIK 
Surat taklimat KLIK


PERMOHONAN PENEMPATAN KANAK-KANAK MASUK KE SEKOLAH RENDAH BAGI SESI PERSEKOLAHAN TAHUN 2014 DAN 2015

Salam Sejahtera.
Semua Guru Besar Negeri Terengganu


Sukacita dimaklumkan bahawa Kementerian Pelajaran telah menetapkan untuk melaksanakan Pendidikan Wajib Sekolah Rendah mulai 1 Januari 2003. Sehubungan itu tuan adalah dipohon untuk melaksanakan mengikut prosedur yang telah ditetapkan

Jadual permohonan penempatan adalah seperti berikut:
 

Tarikh              :           Mulai 1 Mac 2013 – 31 Mei 2013 
Hari                 :           Hari bekerja
Masa               :           Waktu pejabat sekolah berkenaan


Keterangan lanjut mengenai surat kuasa  dan jadual . KLIK


Tuesday, April 23, 2013

Program Bimbingan Pencalonan SKK SR Siri 1/2013

KUALA TERENGGANU - Urusetia SKK  JPN Terengganu akan mengadakan program berkenaan mulai 24 April hingga 2 Mei 2013. Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk membantu sekolah-sekolah calon menyediakan dokumen pencalonan serta khidmat nasihat berasaskan pengalaman mentor menghadapi pencalonan dan meraih anugerah SKK dan juga SBT. Bidang yang difokuskan ialah:-

  • Penyediaan borang pencalonan
  • Penyediaan Folio sebagai aviden pencalonan
  • Persembahan powerpoint
  • Persediaan pembentangan dan varifikasi.
Oleh yang demikian kita amat berharap para mentor yang terdiri daripada Pegawai JPN,PPD, Guru Besar SKK dan SBT  dapat membantu rakan-rakan kita dalam skop yang dinyatakan di atas. Kerjasama dan sumbangan bakti sangat dihargai oleh pihak Urusetia SKK. Sila gunakan Borang Penilaian yang disertakan dan kembalikan kepada pihak urusetia pada atau sebelum 10 Mei 2013.

Surat makluman dan jadual bimbingan KLIK.


Keruntuhan Disiplin



Selepas dikejutkan dengan kehadiran klip video memaparkan seorang remaja lelaki berpakaian sekolah dibelasah sekumpulan remaja lelaki lain di laman YouTube, terbaru, muncul pula klip video memaparkan pergaduhan sekumpulan pelajar perempuan.

Bezanya, ia bukan membabitkan perbuatan buli tapi lebih kepada aksi ganas kedua pelajar perempuan terbabit saling membelasah antara satu sama lain sambil disaksikan tujuh hingga 10 pelajar perempuan lain di dalam tandas. 

Remaja yang menyaksikan aksi pergaduhan itu bukan saja tidak cuba meleraikannya, malah menghasut kedua-dua remaja itu terus bergaduh.

Punca pergaduhan tidak diketahui kerana audionya kurang jelas, bagaimanapun berdasarkan dialek percakapan, kumpulan pelajar itu dipercayai berasal dari negeri di Pantai Timur.

Di akhir klip itu, dua pelajar lain pula bergaduh dengan sorakan oleh 'penonton' di lokasi yang semakin riuh.

Melihatkan aksi buas pelajar perempuan terbabit menyebabkan ramai tertanya-tanya apakah punca menyebabkan anak gadis kita yang selama ini dipuji kerana sifat santun sebagai gadis Timur kini bertukar menjadi samseng. 


Silapnya dalam asuhan ibu bapa, didikan guru atau masih ada modul dalam silibus pendidikan yang tidak mencukupi untuk mendidik pelajar perempuan terbabit menjadi insan yang luhur hati dan lurus nurani.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Datuk Dr Mohamad Ali Hasan, ketika diajukan komennya mengenai pergaduhan itu, lantas berpendapat apa yang dipaparkan dalam media sosial termasuk membabitkan pelajar perempuan jelas menunjukkan kenakalan pelajar di negara ini semakin melampau.

Ia menjadi petanda, khususnya bagi ibu bapa supaya memberi lebih tumpuan terhadap anak mereka dengan berpegang kepada falsafah pendidikan negara, seimbangkan jasmani, emosi dan intelek, katanya.

Mengulas mengenai perbuatan mengambil video pergaduhan dan didedahkan di media sosial, kata Mohamad Ali, ia dianggap sesuatu yang menyeronokkan bagi pelajar yang sedang meniti usia remaja tapi sebenarnya memberi gambaran buruk kepada bangsa dan negara.

Falsafah Cina ada menyebut, sesuatu bangsa jika ingin maju perlu diberikan perhatian khusus pada golongan hawa.

Ingat, baik hawa, baiklah negara, katanya.
 
Mohamad Ali turut menggariskan panduan yang boleh dilaksanakan ibu bapa dan guru melalui konsep 7Q - Quality, Quantity, Quranic, Qurban, Quantum Leap, Que dan Queen untuk membimbing pelajar menjadi insan berguna.

Menghuraikan satu persatu, katanya, Quality merujuk kepada kualiti asuhan dan bimbingan, Quantity itu pula lebih difokuskan terhadap penambahan mutu atau nilai bukan bilangan manakala Quranic pula didikan yang menjurus kepada nilai sesuatu bangsa dan keagamaan.

Ramai ibu bapa mengakui sibuk dengan tugasan harian sehingga terlupa untuk melipat ganda usaha misalnya membabitkan hubungan dua hala antara mereka dan anak dan komunikasi. Itu dikategorikan dalam Quantum Leap yang turut membabitkan peraturan sekolah, jika ada ia perlu diperketatkan.

Mengambil kira situasi semasa di mana ramai ibu bergelar wanita bekerjaya memberi cabaran besar kepada guru moden.

Walau pun begitu, tidak salah jika ambil sedikit masa untuk mendakap anak, menyediakan sarapan dan bertanya khabar mereka setiap hari kerana di peringkat usia begitu mereka perlukan perhatian, katanya.

Que lebih kepada peraturan yang boleh membentuk disiplin seperti mana dilihat di negara jiran Singapura kerana undang-undang dan peraturan ketat menyebabkan penduduk mereka patuh. Jika peraturan dilanggar, mereka perlu dihukum.

Akhir sekali, Queen atau wanita. Mereka perlu bersama-sama diberi perhatian seperti mana kita memberi perhatian kepada lelaki. Ingat, baiknya golongan Hawa, baiklah negara, katanya.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya tidak cepat melenting apabila anak mereka disentuh pihak disiplin sekolah.

Sekarang pelajar tidak boleh ditegur apatah lagi dihukum menyebabkan mereka besar diri.

Jadi nasihat saya kepada ibu bapa supaya bijak mengawal emosi dan tidak cepat melenting, berilah kepercayaan kepada guru untuk mendidik anak murid mereka. Jangan saling menuding jari menyalahkan guru atau ibu bapa, katanya.
  
Bagaimanapun, Mohamad Ali, berkata apabila soal silibus Pendidikan Agama atau Moral dipersalahkan, beliau tidak menolak kemungkinan yang ia perlu diteliti semula.

Tapi hati saya lebih berat mengatakan gejala moral dan samseng yang berlaku di kalangan pelajar kita sama ada lelaki atau perempuan berpunca daripada didikan agama yang tidak dihayati.

Saya lihat pelajar ini menjadikan sekolah itu sebagai rutin, pendidikan lebih kepada lulus peperiksaan dan mereka robot yang melaksanakan sedangkan hati mereka kosong, tiada penghayatan.

Sama seperti solat, jika kita memahami dan menghayati setiap makna ayat pastinya ia akan terasa ke dalam hati. Begitu juga dengan asuhan dan bimbingan mengatakan apa yang hendak dilakukan itu salah, secara automatik, kita tidak akan tergamak untuk melakukannya, katanya.

sumber : Berita Harian online