Saturday, April 27, 2013

Sembang Sabtu : Transformasi atau kita ditinggal basi


Salam Sejahtera !

Perubahan atau transformasi dalam pelbagai bidang khususnya pendidikan sangat pantas bergerak. Ianya bukan sahaja berkaitan dengan sistem,teknologi,kemahiran dan sebagainya tetapi juga mempengaruhi caragaya berfikir dan caragaya bertindak. Mahu tidak mahu kita yang telah berada dalam pusaran dan putaran itu perlu berubah ataupun tertolak basi ke tepi. Ianya berbeza dengan anak-anak kita yang telah sedia lahir dalam zaman ini. Justru mereka begitu pantas dan serasi dengan arus serta gelombang yang sedang berputar.

Transformasi sistem pengurusan  pendidikan kita berjalan pantas. Zaman surat dan kertas kian beransur berlalu diganti dengan zaman elektronik dan digital. Sedikit masa lagi semua sekolah akan mencetak surat terus dari server. Perkara inipun telah berlaku di beberapa PPD dalam negeri di mana kebanyakan urusan sekolah dilaksanakan secara online. Email, sms, blog, web dan facebook , berbagai sistem elektronik dan sebagainya akan menjadi medium utama pengurusan dan pembelajaran. Barangkali kalau kita bersedia, alasan "saya tidak tahu" atau " tidak menerima surat"  tidak boleh diguna pakai lagi. Kegagalan kita sebagai pengurus sekolah atau guru mengurus perubahan dan organisasi serta sistem kita adalah pentunjuk prestasi yang lemah dan kegagalan kita menghadapi tranformasi. Kita sudah hilang punca untuk mencari alasan.

Sistem pertukaran guru secara online atau e-gtukar yang sedang dilaksanakan untuk sesi pertukaran Jun 2013 adalah satu contoh bagaimana "pembohongan" dan "tipu muslihat" tidak dapat disembunyikan. Data-data untuk pertukaran guru adalah diambil dari e-operasi. Satu arahan diikuti taklimat telah diwar-warkan kepada semua guru agar mengemaskini data e-operasi. Data yang dikemaskini akan disemak dan disahkan oleh Guru Penolong Kanan 1 dan akhirnya Guru Besar akan mengesahkan untuk yang terakhir. Jika ketiga-tiga pihak akauntable kepada peranan masing-masing maka data berkenaan tiada cacat cela dan masalah permohonan pertukaran tidak akan timbul.

Namun apa yang berlaku masih ada guru-guru yang tidak dapat masuk online, lupa kata laluan dan seribu satu macam lagi. Apa yang membuat kita merasa kecewa, apabila timbul masalah demikian PPD,JPN dan KPM dipersalahkan dengan mengeluarkan suara yang tinggi dan kurang beradab. Mereka ingat boleh memperbodohkan orang lain kerana tidak mungkin akan ada masalah jika e-operasi dikemaskini. Apabila disiasat barulah pecah tembelang data tidak disemak. Laluan Naik Pangkat Time Base diletak hakiki dan berbagai lagi. Hairannya GPK dan Guru Besar elok-elok membuat pengesahan data yang "tidak sah" itu. Inilah kadangnya soal ilmu, sikap dan integriti pengurus sekolah yang menyebabkan guru-guru tidak hormat kepada mereka. Justru barangkali kerana itulah difahamkan kementerian sedang menggubal laluan kerjaya naik pangkat pengurusan baru yang lebih ketat dan berwibawa agar pengurus sekolah mampu membawa pengurusan dan pencapaian sekolah ke arah lebih terbilang di masa hadapan.

Sesekali fikir memang wajar perkara tatacara baru pemilihan pengurus sekolah yang benar-benar kompeten disegerakan agar agenda tranformasi pendidikan dapat dipacu segera dengan cekap. Bukan kita kata pengurus sekolah yang ada tidak bagus. Ramai yang bagus dan berketrampilan. Malang terdapat segelintir pengurus sekolah rendah yang terkeluar dari arus perdana seperti hari ini ada yang tidak merasa segan silu tidak memakai kut dalam majlis besar dan rasmi walaupun semua orang pakai kut. Ada yang fobia komputer dan internet.Mereka perlu menyesuaikan diri dengan stail dan budaya kerja yang baru. Kalau tidak mereka akan basi dan ketinggalan.

Beberapa senario berlaku seperti Guru Besar mengadu bahawa GPK dan guru yang biadab dengan mereka, laporan dan aduan GPK malas dan tidak dengar kata adalah antara beberapa menifestasi kegagalan Guru Besar menjadi pemimpin rujukan yang mempunyai aura sebagai motivator,perunding,penyelesai masalah dan sebagainya. Sewajarnya mereka memiliki ilmu menangani isu-isu berkenaan serta menggunakan peraturan-peraturan sedia ada. Kerap benar apabila ditanya apa yang telah dibuat menangani kes-kes ini, mereka hanya menunjukkan kertas kosong tanpa apa-apa tindakan sebagai aviden bahawa mereka telah menggunakan kuasa-kuasa yang diberi untuk melaksanakan tugas.

Para pemimpin sekolah harus sedar bahawa ahli organisasi mereka pada masa ini adalah sebahagian besar terdiri dari generasi baru yang kaya dengan maklumat. Mereka boleh mengakses maklumat dihujung jari melalui telefon pintar. Justru itu para pengurus sekolah perlu melakukan transformasi sistem, stail, cara berfikir dan bertindak yang cekap,berwibawa dan bijaksana. Kita difahamkan ramai kalangan pengurus sekolah yang selesa dengan stail pengurusan "serah bulat-bulat" seperti urusan kewangan kepada Pembantu Tadbir, kurikulum kepada GPK Pentadbiran dan sebagainya yang akhirnya mereka sendiri "kehilangan" data dan maklumat. Jangan kerana transformasi, kita tinggal menjadi basi.


2 comments:

  1. Tertarik dengan kupasan di atas..."kata GPK baru sekolah saya...ringan kepala sebab minit mengajar sedikit dan tugas-tugas kita setiausaha kita yang buatkan...kalau saya tahu keadaan PK2 begini dari dulu saya mohon jadi GPK"...

    ReplyDelete
  2. GPK mana yg berfikiran begitu..... sbnrnya GPK tak cukup masa bagi memenuhi tuntutan pengurusan. Byk sgt kerja hendak dilakukan. GPK perlu menunjukkan kebolehan sedikit sebyk kpd guru-guru di bawahnya. Barulah memperolehi siqah dr pengikut.

    ReplyDelete