Saturday, April 6, 2013

Sembang Sabtu : Kejayaan adalah buah dari kesabaran dan kebijaksanaan

Semalam telah diumumkan Pengiktirafan Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) Fasa 7 oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia di Putrajaya. Sembilan buah sekolah iaitu empat sekolah rendah dan lima sekolah menengah Terengganu mencapai taraf SKK. Tahniah. Satu pengiktirafan kedua tertinggi selepas pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

Sesungguhnya kejayaan sekolah ini atau apa jua kejayaan yang diraih ia bukan datang sendiri dan tiba-tiba. Ia terhasil dari anyaman dan adunan perancangan, pelaksanaan, penilaian dan penambahbaikan berterusan. Ia terhasil dari kesabaran dan kebijaksanaan. Ia terhasil melalui rahsia pelbagai kunci dan petua.

Kepimpinan Sekolah merupakan antara kunci utama. Ianya memain peranan sangat besar dalam menentukan target dan halatuju yang hendak dicapai. Kejelasan tentang sesuatu sehingga boleh menjadi pakar rujuk akan meningkatkan keyakinan dan ekspektasi anak buah kepada mereka. Kebijaksanaan Pemimpin Sekolah mempengaruhi ahli organisasi melalui wawasan, sikap, ilmu dan kemahiran adalah formula terbaik sesuatu yang dirancang dan dilaksanakan itu berjaya. Inilah watak kepimpinan pengurusan sekolah yang ingin meraih SKK dan juga SBT. Jika mereka sendiri tidak positif, tidak bijaksana bagaimana mereka mampu memberi motivasi dan mendorong warga sekolah untuk melaksanakan hasrat yang diingini.

Kita tidak nafikan untuk meraih kejayaan bukannya mudah apalagi mempertahankan kejayaan lagilah sukar. Justru itu kita harus belajar dari pesanan orang tua-tua bahawa "yang  bulat tidak datang menggolek, yang leper tidak datang melayang dan kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya". Prinsip dan asas untuk berjaya adalah memberi komitmen dan usaha yang tidak berbelah bagi. Sabar menempuh halangan  dan cabaran. Kita percaya Guru Besar, guru-guru dan warga sekolah yang meraih SKK terpaksa membuat macam-macam tanpa mengira waktu bagi mempersiapkan diri untuk pencalonan dan verifikasi SKK. Sekiranya sekolah mereka telah terbiasa dengan sistem pengurusan rekod dan laporan yang baik mungkin kerja agak kurang namun kalau baru bermula memang mencabar dan menuntut kesabaran yang tinggi. Dan hari ini buah kesabaran itu menghasilkan kejayaan yang sangat hebat.

Untuk berjaya kita jangan cepat berputus asas. Ada beberapa sekolah yang diiktiraf SKK Fasa 7 ini bukan sekali dua tercalon tetapi beberapa kali seperti Imtiaz Dungun, Imtiaz Kuala Berang, SMKA Tok Jiring dan juga SK Kampung Fikri Sungai Tong. Namun mereka melakukan penambahbaikan berterusan di atas kekurangan-kekurangan yang ada. Akhirnya berkat kesabaran, tidak berputus asas dan positif menerima kelemahan dan akhirnya mereka berjaya. Namun ada beberapa buah sekolah yang tersenarai beberapa kali untuk pencalonan telah lenyap dari senarai pencalonan. Mengapa ?

Sesungguhnya kita dapati banyak sekolah-sekolah kita yang mempunyai potensi untuk bergerak ke arah SKK dan seterusnya SBT. SKK ia bertanding dalam kategori mereka tersendiri. Sebab itu Sekolah Kekurangan Murid seperti SK Tepus dan SK Dusun boleh mencapai tahap SKK dengan kekuatan dan keistimewaan yang ada. Mereka hanya bertanding dalam kelompok SKM. Oleh yang demikian kita berharap sekolah SKM di Hulu Terengganu dan Setiu yang hebat-hebat dalam pelbagai pencapaian dapat belajar dari SK Dusun dan SK Tepus. Tidak salah kita belajar meniru kerana itu jalan pintas tercepat untuk maju sebagaimana Jepun dan China juga meniru barat atau Samsung meniru Appale dalam menghasil telefon pintar. Kita perlu bijaksana mencari dan merebut peluang.

Hasrat jabatan untuk melahirkan sekurang-kurangnya satu SKK dan satu SBT hampir tercapai. Setakat ini hanya daerah Marang yang masih belum ada sebuahpun sekolah SKK dan SBT. Kita berharap PPD Marang dan MGB Marang  dapat melakukan sesuatu. Kita berharap ia menjadi agenda dan KPI utama daerah Marang.

Kita sangat berharap contoh kemenangan dan pengiktirafan ini menyuntik semangat rakan-rakan kita yang lain untuk mengangkat taraf sekolah masing-masing ke tahap yang lebih baik sebagai SKK dan SBT selain sebagai cabaran kepada SKK sedia ada siapa dari kalangan  SKK yang mendahului meraih SBT nanti. Kita juga berharap ianya menjadi cabaran kepada SBT sedia ada agar sentiasa terus mempertahankan kecemerlangan dan kegemilangan mereka dengan mengamalkan prinsip kebijaksanaan dan kesabaran.

Tahniah, Terengganu Anjung Ilmu.


No comments:

Post a Comment