Saturday, April 13, 2013

Sembang Sabtu : Kita akan perolehi apa yang kita niat dan usahakan

Kita kadang-kadang ragu-ragu apakah apa yang kita buat itu tepat dan mendatangkan hasil yang lumayan. Kita barangkali telah berusaha sedaya upaya namun  kadangnya hasil tidak seberapa. Barangkali sebagai contoh kita telah hantar anak kita ke kelas tuisyen, membeli buku-buku tambahan atau makan mahupun minum berbagai air sembahyang hajat atau penawar tetapi anak kita tidak juga cerdik-cerdik.

Begitu juga kalau di sekolah kita telah buat berbagai program tetapi UPSR sekolah kita tidak naik-naik sebaliknya darah kita mencagang naik kerana risau dipersoalkan ibubapa, jabatan dan sebagainya. Kadang-kadang kita bertanya mengapa, mengapa dan mengapa ? Kadang kita  bermuhasabah mengkaji kesilapan diri tetapi tidak kita temui. Adakah usaha kita sia-sia ? Adakah doa kita tidak makhbul ? Sedangkan Allah berfirman yang bermaksud:

" Sesiapa mengerjakan kebaikan walau sebesar zarah, nescaya dia akan melihat balasannya. Dan sesiapa yang melakukan kejahatan walau sebesar zarah, nescaya dia akan melihat balasannya pula." (Surah al-Zalzalah 99: 7-8)

Secara literalnya  setiap apa yang kita niat dan buat pasti ada ganjaran dan balasannya. Mungkin kita terkhilaf atau tidak nampak balasan itu. Mungkin bila kita sedekah RM50.00 kita mengharapkan ganjaran dalam bentuk yang sama RM50.00 atau lebih daripada itu. Kita mengajar anak murid yakni anak orang siang dan malam dengan niat yang ikhlas hingga jadi cerdik dan pandai tetapi kenapa anak kita lemah,lembab dan tidak menjadi. Di mana silapnya?

Sesungguhnya firman Allah itu amat dan maha benar. Kita mungkin diberi ganjaran dalam bentuk-bentuk lain yang kita tidak sedar. Misalnya kita sedekahkan RM50.00 tetapi ganjarannya dalam bentuk yang sekali macam tiada apa-apa. Misalnya hari itu kita hampir melanggar lembu. Kita bernasib baik. Kalau langgar mungkin beribu kita habis. Anak-anak dan isteri kita dalam bulan itu mungkin tidak sakit dan deman. Biasanya tiap bulan kita habiskan ratusan ringgit di klinik swasta kerana membeli ubat selesama, demam dan sebagainya. Kalau kita berfikiran positif itulah antara ganjaran yang Allah berikan hasil dari kerja baik yang kita lakukan. Namun justru kadang-kadang perkara itu biasa dan berlaku di bawah sedar kita, kita tidak merasai nikmat dan kebaikannya. Serupalah kita sedut udara Allah tanpa bayaran satu sen dan hidup dengan sombong dan bongkak. Bagaimana kalau Allah mohon kita bayar satu sen sahaja untuk sekali sedutan pasti kita akan tahu betapa susahnya.

Saya teringat pengalaman benar dan amat saya yakini prinsip keadilan Allah itu. Sewaktu anak kedua saya  berada dalam Tahun 1 pada waktu saya amat sibuk dengan pelbagai program luar terutama mengendalikan kursus terutama untuk para pelajar hinggakan tiada hari minggu dan masa bersama anak-anak. Hinggalah bulan Ogos anak saya ini tidak boleh membaca lantas isteri menyindir dengan berkata , "Ayah ceramah dan beri kursus anak orang seluruh dunia, anak sendiri tidak boleh membaca". Sekali dengan terasa juga bahangnya tetapi bila bertenang dan fikir balik takkan Allah zalim. Oleh kerana masa itu saya guru Bahasa Melayu dan ada pengalaman lebih tiga tahun mengajar Tahun 1 saya gunakan pengalaman itu dan saya letak target sebulan anak saya pasti boleh membaca.

Alhamdulillah sebulan kemudian anak kedua saya dapat membaca dengan lancar dan peperiksaan akhir tahun menduduki tempat ketiga terbaik. Sekarang anak yang tidak boleh membaca itu, berkat usaha dan keadilan Allah terhadap sumbangan saya mengajar anak orang lain dengan ikhlas anak saya yang kedua ini sedang belajar menghabiskan  Doktor Falsafah dalam bidang Biologi dan Persekitaran .

Saya menyeru sahabat-sahabat guru mengajarlah dengan niat yang ikhlas dan semangat yang kuat, insyaallah ganjaran dari pengorbanan dan perjuangan kita itu tetap kita perolehi dalam pelbagai bentuk dan rupa. Yakinlah Allah itu adil. Bersyukurlah dengan nikmat kesejahteraan, kemewahan dan kesihatan dan pelbagai lagi yang kita nikmati...




No comments:

Post a Comment