Monday, December 2, 2013

Kementerian Pendidikan Tidak Tetapkan Tempoh Khidmat Guru Di Pedalaman

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Kementerian Pendidikan tidak menetapkan tempoh perkhidmatan guru-guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching.

Beliau berkata adalah tanggungjawab, hak dan inisiatif guru yang berkhidmat di pedalaman untuk memohon bertukar ke tempat lain.

"Pegawai Pekhidmatan Pendidikan yang berkhidmat di kawasan pedalaman menikmati beberapa keistimewaan iaitu elaun khas mengikut lokasi dan tahap kesusahan atau bayaran insentif pedalaman, bayaran insentif tetap perumahan dan elaun balik kampung.

"Insentif berkenaan bertujuan menampung hidup di kawasan pedalaman. Kementerian Pendidikan sudah jalankan kajian mengenai impak serta penambahbaikan elaun sedia," katanya.

Yap berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) yang bertanyakan sama ada Kementerian Pendidikan menetapkan tempoh khidmat guru di kawasan pedalaman.

Guru-guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman turut dilantik sebagai guru cemerlang dan diberi peluang pembangunan kerjaya melalui penyertaan dalam forum dan seminar, kata Yap.

"Memang majoriti guru di kawasan pedalaman berkhidmat di kawasan kaum masing-masing sebagai contoh majoriti guru Iban di Sekolah Kebangsaan Ulu Lubai, Sarawak dan majoriti guru di Semporna adalah kaum Bajau.

"Kaum lain turut dihantar berkhidmat ke kawasan pedalaman kerana dasar Kementerian Pendidikan ialah menggalakkan integrasi nasional," kata Yap.

-- BERNAMA

1 comment: