Saturday, December 28, 2013

Sembang Sabtu : Mengilas masa lalu, membugar masa depan

Beberapa hari lagi kita bakal menyambut tahun baru 2014. Tahun 2013 yang mencatat seribu satu macam peristiwa, pengalaman dan teladan bakal kita tinggalkan. Maka seringkali pertanyaan yang selalu menerpa, "Apakah azam tahun baru ?'' dan "Bagaimana azam tahun yang lalu ?" Lalu kita diajak berintrospeksi atau bermuhasabah tentang masa lalu agar menjadi panduan dan iktibar dalam mengatur perjalanan masa depan. Mengulangi kesilapan yang sama lebih dari sekali kata Nabi SAW adalah tanda orang yang tidak cerdik dan bijaksana.

Kata sang bijaksana, mereka beranalogi tentang masa lalu dan masa depan umpama memandu kereta. Cermin pandang belakang yang kecil sesekali kita kilas pandang umpama masa lalu yang tidak perlu sangat kita fokus hanya cukup sesekali kita menjengah dan mengimbaunya. Manakala cermin pandang depan yang lebar dan luas itulah umpama masa depan yang perlu kita fokus dan bergerak kehadapan. Kita perlu memandu kehadapan dengan penuh bijak, fokus, berhemah, cekap agar perjalanan sentiasa lancar dan rendah risiko kemalangan (kegagalannya) di mana destinasi yang kita tuju sampai lebih pantas dan cepat dengan selamatnya.

Kadang-kadang kerana keasyikan memandu kita terlepas fokus yang mungkin menyebabkan kemalangan atau tersesat jalan hingga membuang masa,tenaga dan wang ringgit. Inilah juga realiti dalam dunia pendidikan kita. Kita bercakap tentang pendidikan abad ke 20 namun setelah 13 tahun memasuki abad ke 20 kerjabuat dan outcome pendidikan tidak banyak berubah. Bahkan sesetengah kita para gurupun tidak berapa sedar telah 13 tahun memasuki abad ke 20. Pencapaian pelajar kita berada satupertiga di bawah. Guru opsyen Bahasa Inggeris kita hanya sekitar lima puluh peratus yang benar-benar pedagoginya mencapai piawaian standard antarabangsa. Kita lambat dalam pecutan persaingan dunia yang pantas. Kita dipintas oleh mereka yang memanafaatkan teknologi bukan yang hanya asyik dan sekadar seronok menggunakan teknologi.

Plan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang diperkenalkan adalah usaha strategik bagi memacu dan memecut namun jika di peringkat pelaksana (sekolah) masih kabur dan nanar usaha murni ini hanya tinggal rangka sahaja. Tinjauan penulis masih ramai guru yang kabur dan pengurus sekolah seperti Guru Besar atau Guru Penolong Kanan juga kelam samar ke arah membugarkan pelaksanaan PPPM khusus kehendak ataupun aspirasi sistem dan murid yang ingin dicapai dan dihasratkan. Berdasarkan sejarah masa lalu dalam membina  penghayatan dan kefahaman lagu "Setia" RTM mengulanginya setiap hari hingga kanak-kanak berumur tiga empat tahunpun boleh menyanyi. Justru itu jika PPPM hendak dihadzamkan dalam jiwa guru dan masyarakat PPPM mesti diulangsebut setiap masa oleh pemimpin besar dan pemimpin kecil di semua peringkat selain seminar dan bengkel serta maklumbalas pelaksanaannya dilaporkan sepanjang masa.

Sesungguhnya PPPM inilah fokus besar masa depan pendidikan kita dan pelaksanaanya sangat berkaitrapat dengan "kualiti". Seringkali kita mendengar " bahawa kualiti pendidikan sesuatu negara itu tidak lebih dari kualiti guru yang ada". Ini bermakna jika kita ingin meletakkan murid kita berada dalam kelompok satu pertiga dunia maka guru kita juga dari segi semangat, pemikiran, sikap , kemahiran dan ilmunya juga mesti bertaraf dunia. Isunya hendak melahirkan murid bertaraf dunia macam mana kalau isu-isu lapuk berpanjangan seperti penempatan, pertukaran, beban kerja guru, guru berprestasi rendah dan berbagai lagi tidak diselesaikan dengan cekap, cepat dan tegas. Kita tidak akan mampu memandu laju kehadapan kalau kerap sangat melihat cermin pandang belakang.

Selain dari itu kita juga jangan lupa kualiti pemandu  itu sendiri. Pemandu atau pemimpin sekolah bukan sahaja perlu sihat tetapi juga cekap, mahir, boleh membuat keputusan tepat, tahu keupayaan dan kekuatan. Di tangannya terletak setering selaku pusat kawalan kuasanya. Justru itu kaedah pemilihan pemimpin sekolah yang baru dialu-alukan kerana kerana kita perlukan pemandu yang benar-benar cekap, kuat dan berani untuk "speed" yang sudah jauh ketinggalan agar mampu sampai sebagaimana yang dirancang. Persoalan berapa ramai yang telah benar-benar bersedia dan memiliki lesen kelas istimewa ini atau hanya kita seronok melihat seorang pemandu ferari dan hanya membanyangkan kitalah pemandu itu. Jika ini yang terjadi sampai bilapun kita tidak akan sampai.

Sesungguhnya walau apa isu dan masalahnya, fokusnya pendidikan kita ialah membina generasi  yang seimbang jasmani,emosi,rohani dan inteleknya yang mampu memberi sumbangan dari diri, keluarga, masyarakat dan negara. Aspirasi kemenjadian waris masa depan ini kita sama-sama pugarkan melalui PPPM untuk tahun-tahun mendatang dan sesekali menoleh kebelakang dengan melihat generasi masa kini sambil kita berintrospeksi 'inilah hasil buah tangan dan didikan kita dahulu". Adakah kita berpuas hati dengan hasil didikan kita ? Jawablah dengan jiwa dan hati nurani kita yang paling dalam kerana suara hati itu tidak pernah berbohong.




No comments:

Post a Comment