Wednesday, December 11, 2013

Dr. Khair dilantik Ketua Pengarah Pelajaran baharu



KUALA LUMPUR 11 Dis. - Datuk Dr Khair Mohamad Yusof dilantik sebagai Ketua Pengarah Pelajaran baharu menggantikan Tan Sri Abd Ghafar Mahmud, yang tamat kontrak pada Sabtu lepas (7 Disember).

Sebelum ke pelantikan baharu yang berkuat kuasa 8 Disember itu, Khair adalah Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Perguruan).

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam satu kenyataan hari ini berkata pelantikan itu dibuat berdasarkan ciri kepimpinan, kelayakan, pengalaman dan kompetensi yang dimiliki Khair dalam bidang pengurusan serta pembangunan pendidikan. 

"Saya percaya ciri-ciri yang dimiliki Khair akan membolehkan beliau menerajui kepimpinan dan melaksanakan tugas Ketua Pengarah Pelajaran dengan cekap, telus dan berkesan untuk mencapai matlamat pendidikan negara," katanya.

Ali turut merakamkan penghargaan kerajaan terhadap segala sumbangan dan khidmat bakti Abd Ghafar sepanjang beliau memegang jawatan itu.

Khair, 57, merupakan lulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pendidikan Teknikal dari Universiti Manchester, United Kingdom; Ijazah Sarjana Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi Malaysia dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Institut Teknologi Bolton, Amerika Syarikat.

Khair, yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam lebih 30 tahun, dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah pada 1 Ogos 1982.

Sepanjang perkhidmatannya, Khair memegang pelbagai jawatan penting termasuk Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Pengarah Institut Aminuddin Baki dan Pengarah Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah. - BERNAMA

2 comments: