Sunday, December 8, 2013

Taklimat Perkongsian Pintar Sekolah Kurang Murid (SKM) Terengganu

KUALA TERENGGANU - Satu Taklimat Perkongsian Pintar Sekolah Kurang Murid (SKM) di bawah Program Sarana SKM Peringkat Negeri Terengganu telah diadakan di Permai Hotel, Kuala Terengganu hari ini. Antara tujuan taklimat tersebut untuk membangun dan memperkasa SKM Terengganu lebih berdaya saing dan maju.

Selain dari itu diharap para pimpinan SKM dapat  berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan mereka yang berjaya terutama yang telah mencapai taraf Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) tentang amalan-amalan terbaik yang mereka laksanakan. Tuan Hj Md. Yasin Salleh, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah telah menyampaikan ucap utama dalam program berkenaan. Beliau berharap melalui perkongsian ini pimpinan SKM dapat membawa sekolah masing ke arah yang lebih hebat melalui anjakan band dan keputusan peperiksaan yang lebih baik pada masa depan.

Terengganu mempunyai 43 buah SKM di mana 4 buah daripadanya ialah SJKC. Sekolah-sekolah SKM Terengganu telah menunjukkan pencapaian yang hebat dalam banyak hal terutama UPSR. SK Tepus, Dungun dan SK Dusun, Hulu Terengganu adalah dua SKM yang mencapai taraf SKK. SK Dusun dalam UPSR 2013 berada pada kedudukan lima terbaik antara SKK Kebangsaan. Pada tahun 2013 enam SKM berada pada Band 1 dan hanya sebuah pada Band 7 dan sebuah pada Band 5. Kita berharap pada tahun 2014 tiada sebuah sekolahpun terutama SKM berada di Band 7.

Pada taklimat ini juga En. Mat Lazim Noor, Penyelia Cemerlang Pengurusan Sekolah telah membentangkan perkongsian "Membangun Kepimpinan SKM berkesan". Beliau yang berpengalaman selama hampir lima belas tahun sebagai guru besar telah menekankan tentang pentingnya kepimpinan sekolah yang mempunyai wawasan, sikap, kemahiran dan pengetahuan kepimpinan yang mantap bagi memimpin dan mengurus sekolah dengan efektif dan cemerlang. Sementara Guru Besar, SK Dusun dan Guru Besar SK Tepus telah berkongsi pengalaman dan amalan hingga mereka mencapai SKK dan sentiasa cemerlang pencapaian UPSR mereka.

Kita juga berharap kedudukan SKM diambil cakna dan dipedulikan oleh semua pihak khususnya KPM atau kerajaan terutama berkaitan pembangunan fizikal dan juga naik taraf perjawatan khususnya Guru Besar. Jika Guru Besar SKM  yang mencapai SKK boleh dinaikkan gred DGA38 hakiki maka sewajarnya juga Guru Besar SKM khususnya yang mempunyai murid 90 orang ke atas diberi gred hakiki DGA34 dan sekolah dinaiktaraf  ke gred B, bukan saja sebagai insentif menjadi guru besar di pedalaman tetapi juga status sama dengan guru besar gred B yang mana sesetengahnya mempunyai kapasiti murid yang hampir sama.

Apapun kita amat yakin SKM Terengganu akan terus bergerak maju ke depan dan dengan pencapaian pelbagai bidang yang cemerlang menjadi bukti bahawa jika murid mempunyai peluang dan akses pendidikan yang baik potensi mereka mampu digilap apalagi yang menggilap mereka ialah Guru Besar dan guru-guru yang penuh inpirasi...



0 ulasan:

Post a Comment