Tuesday, December 31, 2013

Sekolah Angkatku : Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul

Selepas banjir ini sudah tiga kali saya ke Kemaman atas pelbagai urusan kerja. Hari ini saya ke Kemaman lagi iaitu ke SK Pasir Gajah, sekolah angkat saya bagi tahun 2014. Mengapa saya diberi SK Pasir Gajah sebagai sekolah angkat 2014 saya tidak tahu. Mungkin ada justifikasi dan akspektasi tertentu daripada pimpinan JPN kut. Apapun ini adalah amanah dan tanggungjawab.

Sebelum ini seminggu selepas banjir saya telah melalui laluan lebuhraya untuk suatu urusan di PPD Kemaman. Saya melalui Kampung Air Puteh, Kg Pasir Gajah dan kampung-kampung lain dalam laluan tersebut. Perasaan sayu ada, hibapun ada bila di tepi jalan tersadai kenderaan, longgokan perabut dan pakaian yang musnah dimamah banjir. Dan hari ini berhampiran pagar masuk SK Pasir Gajah longgokan perabut dan peralatan sekolah yang musnah akibat banjir masih nyata. Suasana sekolah muram dan kusam akibat malapetaka itu. Pekerja-pekerja kebersihan memperkemaskan mana yang ada. Guru-guru yang hadir mempersiapkan mana yang patut untuk sesi persekolahan esok.

" Mujurlah kerusi meja murid cukup walaupun sebahagian besar perabut bilik khas, bahan bantu mengajar dan buku-buku Pusat Sumber hancur" ujar Cikgu Rahim, Guru Besar SK Pasir Gajah yang baru beberapa hari melapor diri bertugas. Di wajah beliau jelas tergambar kegusaran dan berulang kali menyebut agar bangunan baru dapat dibina bagi mengganti bangunan lama di SK Pasir Gajah.

Tinjauan saya memang masih banyak kerja yang perlu dilaksanakan bagi mengembalikan SK Pasir Gajah keadaan asal. Paras air yang mencecah siling tingkat satu atau melebihi 20 kaki sememangnya meranapkan semua peralatan sekolah di tingkat pertama dan yang berada dalam bangunan setingkat. Selain itu kesan lumpur masih tersisa. Mengikut Guru Besar mujur ada NGO yang sukarela membantu membersihkannya. Beliau tidak mahu sangat memberi tekanan kepada guru, ibubapa dan murid kerana mereka semua juga menjadi "mangsa" banjir. Guru Besar sendiri memberitahu air dalam rumahnya mencapai paras leher.

Tragedi petaka banjir bukan saja dirasai oleh warga SK Pasir Gajah tetapi sebilangan besar sekolah-sekolah daerah Kemaman. SK Air Puteh dan SK RKT Seberang Tayor yang juga jiran terdekat SK Pasir Gajah juga menerima nasib yang sama. Malah SK RKT Seberang Tayor dan SK Pasir Gajah menjadi mangsa banjir setiap tahun. Tahun lepas seorang GPK menghantar gambar Pusat Sumber SK RKT Seberang Tayor yang paras airnya mencecah bumbung. Tahun ini YAB Menteri Besar sendiri turun mengadakan gotong-royong di sekolah berkenaan kalau tidak silap saya....

Menilik takkul peristiwa ini saya teringat seorang rakan Facebook dari Indonesia yang menulis " Kita tidak bisa dan mampu mengubah arah dan laluan angin tetapi kita bisa mengubah dan menyesuai layar dengan arah angin tersebut".. Ya, kita tidak boleh mengubah banjir yang menjadi hukum alam di negeri kita tapi kita boleh menyesuai kaedah dan cara menghadapi dengan kebijaksanaan. Kita sepatutnya telah boleh belajar bagaimana musim monson yang ganas dan dingin menjadi pesta dan sumber ekonomi melalui "Monson Cup".

Mengapa kita tidak boleh mengubah plan bangunan sekolah kita yang kerap dilanda banjir dengan plan yang sesuai seperti tiada bilik dan kelas pada tingkat satu tetapi boleh diadakan dewan terbuka atau gelanggang permainan.Pihak KPM dan JKR boleh memulakan iniasitif pembinaan sekolah baru atau naik taraf sekolah yang kerap dilanda banjir atau berada dalam kawasan banjir dengan plan yang sedemikian.Mungkin kita perlukan kos tetapi dalam jangka panjang ia berbaloi dengan tenaga, masa, wang untuk menghadapi kemusnahan banjir saban tahun. Hanya mereka yang merasai sendiri tahu bagaimana payah dan sukarnya.

Selain dari itu, kita berharap tidak ada mana-mana pihak memberi tekanan keterlaluan kepada pihak sekolah yang menghadapi masalah ini kerana mereka bukan sahaja tertekan dengan keadaan di sekolah tetapi juga di rumah kerana mereka juga turut menjadi mangsa banjir. Kita yakin sifat keguruan yang kaya dengan keperihatinan dan kecaknaan tinggi mereka akan berusaha secara kolektif memperbaiki keadaan. Jika kita tidak mampu memberi sumbangan wang ringgit dan material, berilah sokongan dan semangat positif . Seberat-berat mata kita memandang berat lagi bahu mereka yang memikul...apalagi memikul amanah bangsa,agama dan negara.



2 comments:

  1. Musibah yang menimpa berii satu kebaikan jg kpd sekolah.tindakan urgensi..akan bina bangunan baru...

    ReplyDelete
  2. Bersama-sama kesusahan ada kemudahan. Ada sekolah yang mohon musibah supaya ada yang menjenguk, apatahlagi bila yang berdehemtu pak menteri atau yang sewaktu dengannya, maka lajulah bantuan sampai.Oh Malaysia tanah airku.

    ReplyDelete