Tuesday, October 29, 2013

Siapa yang akan mengisi jawatan GPK tahun 2014

Mulai 1 - 30 Oktober 2013, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu telah mengiklan urusan penghakikian mereka yang sedang menyandang gred DGA32 (KUP) TBBK ke gred jawatan hakiki DGA32 bagi tahun 2014. Jawatan-jawatan berkenaan ialah seperti Guru Penolong Kanan dan jawatan pengelola sekolah di Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu. Mungkin negeri-negeri lain juga melakukan proses yang sama berasaskan dasar sedia ada melalui surat rujukan KP.S(NP) BS.0063/1/1/Jld.13/(33) bertarikh 6 Ogos 2010.

Berasaskan surat berkenaan proses menghakiki ini telah memasuki tahun ketiga pada 2013 yang mana menetapkan 20% pengisian GPK dari pemangkuan DG29 dan 80% pengisian dari penghakikian DGA32 (KUP) TBBK . Namun pada tahun ketiga (2013) kedua-dua kategori calon semakin berkurangan atau sukar memenuhi kuota yang ditetapkan. Apalagi calon-calon dari  DGA32 (KUP) TBBK ramai yang telah mendapat DGA34 (KUP) TBBK dan tidak lagi layak dilantik untuk memegang jawatan GPK yang lebih rendah grednya. Mana-mana yang terlantik GPK , kemudian datang pelantikan tarikh kenaikan pangkat DGA34 (KUP) TBBK lebih awal dari GPK terpaksa melepaskan jawatan.

Justru bagi mengelakkan pertembungan dan "targedi" sama berulang maka iklan penghakikian telah menetapkan hanya mereka yang dinaikkan pangkat DGA32(KUP) TBBK tahun 2007 dan ke atas (2008,2009,2010,2012,2013) sahaja memohon kerana dijangka mereka yang dilantik DGA32(KUP) TBBK pada 2005,2006 akan layak menikmati DGA34(KUP) TBBK pada tahun 2014. Namun jumlah permohonan bagi semua daerah setakat ini agak mendukacitakan . Kemungkinan setelah melalui tapisan dan temuduga mereka yang layak dan bersesuaian tidak dapat menampung keperluan kekosongan pada tahun 2014.

Kita seakan nampak trend bila mana diwujudkan DGA34 (KUP) TBBK kecenderungan dan minat guru untuk mengisi jawatan hakiki semakin menurun. Apa lagi bila mereka melihat ramai rakan-rakan yang menyandang tugas GPK semakin terbeban dan kenaikan ke jawatan GPK tidak membawa kepada kenaikan gaji atau perubahan gred gaji. Bukan sahaja persoalan mereka yang junior mengisi jawatan hakiki DGA32 tetapi juga ketiadaan calon (ramai yang sambung belajar dan telah miliki ijazah) mengisi jawatan tersebut.

Kita amat bersimpati kepada calon yang begitu berminat menjadi GPK tetapi menerima gred kenaikan pangkat DGA34 (KUP) TBBK dan terpaksa melepas jawatan setelah rayuan mereka ditolak kerana dasar yang ditetapkan. Begitu juga bila kes ini dirujuk kepada kesatuan. Kesatuan juga tidak boleh mengubah dasar yang telah termaktub. Kita amat yakin bahawa dengan gelombang transformasi pendidikan yang meledak pesat bahawa ramai yang tidak bersetuju gred-gred penyandang jawatan hakiki yang memikul beban tugas dan amanah yang berat sama taranya dengan gred TBBK. Gred jawatan hakiki pengurusan juga perlu tranform agar menjadi lebih tinggi dari gred TBBK. Kita bimbang nanti tiada siapa yang berminat memohon jawatan-jawatan ini jika terus kekal ditakuk lama.

Adakah pengumuman YAB Perdana Menteri dalam Bajet 2014 lalu mengenai penambahbaikan 81 perjawatan awam melibatkan perjawatan naik pangkat dan gred jawatan hakiki sekolah rendah atau non-siswazah dan siswazah. Adakah sistem slash gred jawatan hakiki bakal diperkenalkan atau pengredan semula secara total gred naik pangkat jawatan hakiki. Sama-sama kita tunggu pekeliling yang bakal dikeluarkan dan mampu menangani kemelut yang sedang kita hadapi.

Ingatan dari kami agar setiap guru sentiasa update perkara asas dalam urusan kenaikan pangkat seperti pengistiharan harta dan sebagainya serta merebut peluang-peluang yang ada. Jangan sampai terlepas dan tercicir kerana kecuaian kita sendiri.


Monday, October 28, 2013

Gerakan Tabiat Membaca Perlu Penglibatan Menyeluruh Masyarakat



SEREMBAN, 28 Okt (Bernama) -- Gerakan untuk menggalakkan tabiat membaca tidak akan berjaya tanpa penglibatan menyeluruh masyarakat, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan Negeri Sembilan Datuk Shamsulkahar Mohd Deli.

Beliau berkata sehubungan itu usahasama Kementerian Pendidikan dengan pelbagai pihak perlu dalam usaha menerapkan nilai cintakan ilmu dan budaya membaca.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Kem Membaca 1Malaysia 2013 di Dewan Sekolah Kebangsaan Puteri di sini, Isnin. Turut hadir Timbalan Pengarah Pembangunan Pendidikan Bestari, Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Shamsuddin Hassan.

Shamsulkahar berharap Kem Membaca 1Malaysia itu terus dijadikan acara tahunan agar masa lapang murid terisi dengan membaca pelbagai bidang ilmu yang dapat menjana pengetahuan, kemahiran, jati diri dan pemikiran.

Program Kem Membaca 1Malaysia anjuran bersama Kementerian Pendidikan dan Scholastics (M) Sdn Bhd mula dilaksanakan pada tahun 2009 bertujuan membina, memupuk dan seterusnya membudayakan amalan membaca di kalangan murid sekolah di negara ini.

Program itu dilaksanakan pada penghujung penggal persekolahan bagi mengisi ruang dan aktiviti selepas peperiksaan di samping meneruskan momentum pembelajaran kendiri murid-murid di sekolah.

Di BEAUFORT, Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Datuk Jame Alip berkata sikap rajin membaca bahan yang berkualiti mampu melahirkan pemikiran yang luar biasa.

"Melalui pembacaan yang konsisten akan menjadikan seseorang itu berilmu dan berkeyakinan dalam melakukan setiap perkara.

"Ibu bapa adalah aset penting dalam memupuk amalan membaca dalam diri anak-anak kerana sebahagian besar amalan yang baik bermula dari rumah," katanya dalam teks ucapannya pada majlis pelancaran Kem Membaca 1Malaysia Peringkat Negeri di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Sektor Penilaian Peperiksaan Negeri Mohd Zaini Yanin.

Beliau berkata amalan membaca di kalangan masyarakat juga boleh dipupuk menerusi pelbagai mekanisme, antaranya menerusi peranan media massa, pelaksanaan kempen kesedaran membaca dan festival buku.

-- BERNAMA

Sunday, October 27, 2013

Maklumbalas penempatan dan pertukaran j-Qaf antara negeri



Peringatan Penting : Tindakan Guru Besar

Data guru-guru yang lulus pertukaran antara negeri pada 01 Oktober 2013 telah dimasukkan ke negeri-negeri berkenaan oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM sejak 3 hari lepas dalam Sistem Maklumat Guru (SMG) e-OPERASI. Susulan daripada itu, Unit Pengurusan Sekolah Rendah, JPNT telahpun mengemaskini nama sekolah penempatan di Terengganu bagi guru-guru j-QAF yang terlibat. 

Sehubungan itu, mohon tindakan susulan segera oleh pihak pengurusan  sekolah yang menerima kemasukan dan penempatan guru-guru j-QAF kuat kuasa pada 01 Oktober 2013  mengemaskini status Maklum Balas Penempatan Pertukaran Guru bagi guru-guru ini. Tindakan ini sangat  penting bagi memastikan data guru-guru ini dalam SMG sudah berada di sekolah yang ditetapkan. Hanya Guru Besar atau Penolong Kanan Pentadbiran (PK1) sahaja yang boleh mengemaskini status proses ini dalam online e-OPERASI dengan menggunakan ID dan Kata Laluan masing-masing. Adalah diharapkan supaya GB atau PK1 boleh menyelesaikan tindakan seberapa segera bagi menjamin ketepatan data guru di sekolah.


Friday, October 25, 2013

Bajet 2014 - Penjawat Awam terima bonus setengah bulan gaji



KUALA LUMPUR - Kira-kira 1.4 juta penjawat awam akan menerima bonus setengah bulan gaji atau minimun RM500, demikian diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata bagi meringankan lagi beban
golongan pesara, kerajaan juga akan memberi Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM250.

"Bayaran bonus dan bantuan khas kewangan ini akan dibayar pada awal Januari 2014," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2014 di Dewan Rakyat hari ini.

Pada Ogos lepas, sebagai persiapan Hari Raya, Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 dan RM250, masing-masing telah dibayar kepada penjawat awam dan pesara.

Bayaran bantuan khas kepada penjawat awam itu adalah untuk Gred 1 hingga Gred 54. - Bernama


Renungan Jumaat : 10 Jenis Orang Islam Yang Dianggap Kejam



Mungkin pada sesetengah pendapat perkara-perkara tertentu hanyalah kecil dan remeh-temeh. Namun dalam pandangan Islam ia adalah sesuatu berat dan dituntut dalam amalan hidup beragama.Mungkin juga kadang-kadang kita tak sedar akan perkara ini tetapi banyaknya bukan tak sedar, tapi saja buat tak endah akan hal ini. Sama-sama kita renungi, semoga memberi manfaat buat kita semua. In Shaa Allah

1.       Seorang yang berdoa untuk dirinya sendiri, dan tidak mendoakan untuk anak-anaknya dan kaum mukmin.

2.       Seorang yang pandai membaca Al-Quran, tetapi tiap harinya tidak membaca seratus ayat.

3.       Seorang yang masuk masjid lalu keluar dan tidak sembahyang dua rakaat.

4.       Seorang yang berjalan melalui kuburan kemudian tidak memberi salam dan mendoakan ahli kubur.

5.       Seorang yang sampai di suatu kota pada hari Jumaat kemudian tidak sembahyang jemaah.

6.       Seorang yang di daerahnya didatangi oleh seorang alim, tiba-tiba tidak mahu belajar apa-apa daripadanya

7.       Dua orang yang bertemu di perjalanan dan masing-masing tidak menanyakan nama kawannya itu.

8.       Seorang diundang pada jamuan tiba-tiba tidak datang.

9.       Pemuda yang tidak ada kerja dan tidak mahu belajar ilmu dan kesopanan.

10.    Seorang yang kenyang sedang dia tahu bahawa tetangganya lapar, tetapi tidak diberi dari makanannya itu.


Wednesday, October 23, 2013

SK Bintang, Setiu Memenangi Asrama Terbilang Kebangsaan



Tahniah diucapkan kepada warga SK Bintang, Setiu, Terengganu yang telah berjaya memenangi  Asrama Terbilang Peringkat Kebangsaan 2013 bagi kategori sekolah rendah. Majlis Anugerah Seri Asrama Terbilang Peringkat Kebangsaan 2013 telah diadakan di SMK Mohd Khalid, Johor Bahru pada 21 Oktober 2013. Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia  Dato Haji Sufaat Tumin,Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. 

Tahniah juga kepada SMK Badrul Alam Shah, Kemaman kerana berjaya memenangi anugerah yang sama bagi kategori sekolah menengah.