Satu aspek sangat baik dicontohi
daripada akhlak Rasulullah SAW ialah kehidupan berkeluarga memandangkan
masyarakat hari ini yang berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti perceraian
suami isteri, sumbang mahram serta penderaan.
Sebagai manusia biasa Rasulullah SAW
pernah menjadi anak, suami, bapa, mentua dan datuk. Baginda menunjukkan contoh
terbaik dalam memenuhi setiap tanggungjawab yang boleh diikuti semua ahli
keluarga.
Firman Allah bermaksud: “Demi
sesungguhnya, adalah bagi diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik,
iaitu bagi orang yang sentiasa ingin mengharapkan keredaan Allah dan balasan
baik di akhirat kelak serta ia pula banyak menyebut dan mengingati nama Allah
(dalam masa susah dan senang).” (Surah al-Ahzab, ayat 21)
Sebagai suami, Baginda SAW begitu
menghargai isterinya dengan menunjukkan sifat mulia seperti kasih sayang,
bertimbang rasa, hormat serta sabar tanpa pernah sekalipun mengasari mereka
bahkan menghadapi kerenah isteri dengan penuh pengertian dan kemaafan.
Baginda SAW juga tidak keberatan
membantu melakukan kerja rumah. Ibnu Hajar pernah berkata bahawa Aisyah
meriwayatkan katanya: “Baginda (nabi) yang menjahit kainnya, menjahit
sepatunya, dan mengerjakan apa yang biasa dikerjakan lelaki di rumah mereka.”
(Hadis riwayat Ahmad Ibnu Hibban)
Sikap baik Rasulullah SAW terhadap
isteri ini diakui sendiri oleh isteri Baginda Aisyah yang meriwayatkan:
“Rasulullah SAW tidak pernah sekalipun memukul isteri dan pembantunya.” (Hadis
riwayat Bukhari)
Apabila hendak memulakan suatu
perjalanan, Baginda akan memastikan tempat duduk isterinya di atas unta dalam
keadaan selesa dan Anas pernah mengatakan bahawa Baginda akan duduk bagi
membolehkan isterinya berpijak di atas lututnya untuk naik ke atas unta.
Dalam kehidupan berpoligami juga,
Baginda adalah contoh terbaik melaksanakan prinsip keadilan walaupun tidak
dapat dinafikan bahawa perasaan kasih sayang tidak boleh dibahagikan sama rata.
Namun, sebagai suami
seboleh-bolehnya mestilah pandai memainkan peranan supaya jangan ada di
kalangan isteri yang tersinggung lantaran sikap suami yang pilih kasih.
Pernah berlaku dalam rumah tangga
Rasulullah SAW, suatu hari isteri-isteri Baginda datang menemui Baginda, Aishah
yang mewakili mereka terus bertanya, “Wahai Rasulullah, di antara isteri-isteri
Rasulullah, yang manakah paling Rasulullah sayangi? Rasulullah tersenyum
mendengar pertanyaan itu. Baginda tidak terus menjawabnya. Bahkan Baginda
menyuruh semua isterinya pulang dulu dan berjanji akan memberikan jawapannya
kemudian.
Selepas itu, seperti biasa
Rasulullah SAW bermalam di rumah isteri-isteri Baginda mengikut giliran dan
sebelum Baginda meninggalkan rumah isterinya, setiap seorang dihadiahkan cincin
dan berpesan supaya tidak memberitahu hal itu kepada isteri yang lain.
Kemudian Rasulullah SAW menyuruh
isteri-isteri Baginda berkumpul kerana Baginda hendak memberi jawapan kepada
persoalan dikemukakan. Rasulullah SAW berkata, “Isteri yang paling disayangi
ialah mereka yang diberi cincin kepadanya.” Maka tersenyumlah isteri-isteri
Rasulullah kerana setiap seorang menyangka bahawa dia saja yang menerima cincin
itu.
Rasulullah SAW adalah bapa
penyayang. Acap kali apabila Baginda melihat Fatimah masuk ke rumahnya, Baginda
terus menyambut dan berdiri, kemudian mencium kepala dan tangan.
Aisyah pernah bertanya kepada
Rasulullah SAW apakah sebab Baginda amat sayang kepada Fatimah. Baginda
menegaskan, “Wahai Aisyah, jika engkau tahu apa yang aku ketahui mengenai
Fatimah nescaya engkau akan mencintainya seperti aku mencintainya. Fatimah
adalah darah dagingku. Ia tumpah darahku. Sesiapa yang membencinya, maka ia
membenciku, dan sesiapa yang membahagiakannya, maka ia telah membahagiakanku.”
Ummu Salamah, isteri Rasulullah SAW
mengatakan bahawa Fatimah adalah orang yang paling mirip dengan Rasulullah
dalam ucapan dan fikirannya. Selaku anak, Fatimah mencintai ayahandanya lebih
daripada cintanya kepada sesiapa pun.
Selepas ibunya Khadijah meninggal
dunia, dia yang baru berusia enam tahun yang merawat Rasulullah SAW. Beliau
sentiasa berusaha menggantikan peranan ibunya.
Justeru, Rasulullah memanggilnya
dengan jolokan Ummu Abiha, iaitu ibu bagi ayahnya, kerana kasih sayang dan
pengorbanan mulia yang dicurahkan kepada ayahandanya.
Memiliki sebuah keluarga harmoni
memerlukan ikatan yang mesra bukan saja dengan anak dan isteri, malah menantu
juga. Demikianlah ditunjukkan Rasulullah SAW. Contoh paling baik ialah melalui
kehidupan Ali sebagai menantu Baginda.
Ali sebagai menantu Rasulullah SAW
turut sama menyingsing lengan membantu Fatimah menggiling tepung di dapur.
Usaha sekecil itu, di celah kesibukan sudah cukup bermakna dalam mengambil hati
seorang isteri yang saban hari bertungkus-lumus menguruskan rumah tangga.
Bukan Sayidina Ali tidak mahu
menyediakan pembantu untuk isterinya itu, namun beliau tidak mampu berbuat
demikian. Fatimah amat memahami keadaan suaminya dan beliau sentiasa berusaha
membahagiakan suaminya.
Contoh kasih sayang datuk terhadap
cucunya boleh dilihat daripada cara Baginda SAW melayani kedua-dua cucu
kesayangan iaitu Hassan dan Hussin, anak Siti Fatimah dan suaminya Saidina Ali.
Rasulullah SAW bukan saja sentiasa
membelai dan mencium kedua cucunya itu, malah apabila cucu Baginda menghampiri
Baginda, Baginda terus mendukungnya. Baginda juga apabila keluar rumah, selalu
membawa cucunya bersama.
Baginda selalu meriba mereka. Pernah
ketika Baginda sedang sujud dalam solat, cucu Baginda duduk di atas belakang
Baginda sehinggakan Baginda sujud agak lama. Baginda juga selalu bermain
kuda-kuda dengan cucunya.
Saya sangat suka kisah, ini. Namun agak aneh bagi umat ini, dimana hilangnya contoh terbaik ini? Di mana hilangnya Fatimah tanpa kubur dan Hassan mati di racun, dan Hussin syahid di Karbala secara kejam oleh munafik durjana yang menggunakan nama Islam dan jubah khalifah. .....fikir-fikir
ReplyDelete