Saturday, October 5, 2013

Sembang Sabtu : Kecil itu besar



Kalau kita perhatikan dan tilik takkul secara mendalam semua benda-benda besar hari ini bermula dari perkara-perkara yang kecil. Ada orang mengatakan bahawa idea membina bonggol bagi memperlahankan kenderaan hanya datangnya dari seorang driver bukannya jurutera . Seorang perempuan berkenalan dan berkahwin dengan lelaki kesayangan hingga beranak bercucu membina empayar keluarga besar mungkin bermula dengan akibat tersalah nombor telefon. Seorang pegawai daerah memberitahu saya beliau menjadi manusia berjaya hari ini kerana masa sekolah dulu beliau selalu menumpang dan tidur di kuaters gurunya dan gurunya yang sangat cakna kepadanya.

Sayangnya kadang-kadang kita seringkali mengabaikan perkara-perkara kecil yang besar impak dan kesan dalam kehidupan. Kita hanya nampak perkara yang besar dan sering mengabaikan yang kecil hingga yang kecil membesar dan memberi masalah kepada kita kemudiannya.Umpama seekor nyamuk yang kecil namun gigitan dan dengungnya membuatkan kita tidak lena tidur apalagi musibah penyakit merbahaya yang dibawa.

Dalam pengurusan dan hubungan manusia banyak perkara kecil dan mudah kita abaikan sedangkan ianya memberi kesan yang besar. Contohnya amalan memberi salam dan senyum. Perkara itu mudah dan boleh dilakukan oleh semua orang. Dengan membiasakan amalan sedemikian kita bukan sahaja dapat merapatkan silaturrahim tetapi akan mengujudkan iklim organisasi yang kondusif dan harmoni. Begitu juga jika Guru Besar memberi sekeping kad hari jadi kepada stafnya sangat besar maknanya. Orang bawah merasa dihargai dan  merasa diri mereka bermakna berada dalam organisasi yang kita pimpin. Kadang-kadang isu dan konflik dalam pengurusan bukan dicetuskan oleh perkara-perkara besar tetapi perkara kecil dan sering dianggap remeh. Misalnya Guru Besar kedekut pujian, kurang mesra, kurang peduli, kurang cakna, pilih kasih dan sebagainya.

Banyak amalan atau tindakan kecil yang mampu menyerlahkan kehebatan kepimpinan pemimpin oraganisasi.Bahkan tidak memerlukan apa-apa kos pun. Umpamanya memberi pujian terhadap kerja-kerja baik kakitangan, bertanya khabar perihal kakitangan yang sakit atau ahli keluarga mereka atau perkara-perkara yang menggambarkan keperihatinan dan kecaknaan kita. Dapatan kajian menunjukkan seorang ketua yang disukai ramai bukan sahaja bijak, mahir, berpengetahuan dalam kerja pengurusan tetapi juga menampilkan sikap perihatin dan bermotivasi tinggi.

Kerapkali timbulnya konflik dalam organisasi kerana kita mengabai dan membiarkan perkara-perkara kecil ini. Kadang kita kedekut untuk memuji atau kedekut untuk membelanjakan sekali sekali kakitangan kita. Bahkan kita kedekut untuk memberi nasihat dan menegur hingga akhirnya kita sendiri dilabel macam-macam. Ataupun kita membiarkan bunga-bunga hasad dengki dalam organisasi yang akhir bunga-bunga itu menjadi api yang membakar keharmonian oraganisasi kita.

Sebagai guru atau pendidik banyak sentuhan kita yang kecil kepada murid-murid kita menjadi sangat penting dan bermakna pada jiwa mereka. Mungkin kita memberikan murid kita 50 sen atau seringgit dua tiada apa kesan pada kita tetapi jika penerima itu murid yang miskin nilainya sangat besar pada mereka. Nilainya bukan sahaja ia mampu membeli makanan tetapi yang kita tidak nampak kita menjadi inspirasi kepada mereka untuk berjaya dan berbakti.Begitu juga jika kita kancing butang atau betulkan tali leher mereka. Kecil dan mudah tetapi tangan guru yang perihatin itu sangat bermakna dan besar ertinya.

Sebenarnya di mana-mana situasi terutama dalam insitusi keluarga khususnya perkara-perkara kecil ini sangat besar maknanya. Tentunya memuji masakan isteri, memberi ciuman,menghantar sms  dan hadiah tanda terima kasih sangat berkesan dalam merapatkan keutuhan hubungan suami-isteri. Begitu juga melatih anak-anak mengemas tempat tidur, membasuh pinggan, mencuci bilik air, mengemas rumah dan kawasan rumah adalah perkara mudah yang perlu menjadi rutin agar membentuk tabiat dan jiwa berdikari, sukakan kekemasan dalam melatih kehidupan dewasa yang lebih luas pada masa hadapan.

Sesungguhnya Islam telah mengajar kita agar jangan mengabaikan perkara-perkara kecil ini kerana ianya memberi makna besar dalam kehidupan kita. Kita diajar perkara sunat dan harus untuk membuat kebajikan dan pahala bukan sekadar yang wajib sahaja. Sayangnya kita tidak terlatih dan menghayati natijah dan kesan besar dari amalan kecil (sunat) ini maka ianya bukan menjadi rutin mutlak untuk dilaksana dan diamalkan.

Sesungguhnya kita mampu melakukan pelbagai perkara kecil tapi besar ini. Kalaupun belum bermula tidak salah kita melatih diri bila kita tahu ianya sangat bermakna dalam kehidupan kita. Memulakan sesuatu yang baik bila datang kesedaran tidak ada istilah terlambat. Yang terlambat ialah membiarkan peluang berlalu tanpa melakukan apa-apa.


No comments:

Post a Comment