Tuesday, October 1, 2013

Guru: Tawaran hanya kepada graduan terbaik



KOTA KINABALU 30 Sept. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tawaran kepada hanya graduan terbaik untuk ditempatkan sebagai guru di sekolah-sekolah merupakan antara usaha meningkatkan taraf pendidikan negara.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, syarat kemasukan ketat itu dapat membantu memperkasa mutu pendidikan negara selain melonjak imej profesion perguruan sebagai profesion yang hanya menerima calon terbaik.

Menurut beliau, jika sebelum ini lepasan institut pendidikan guru (IPG) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dijamin lantikan mereka sebagai guru tanpa mengambil kira prestasi, keadaan itu telah diubah bagi memastikan hanya graduan terbaik layak menjadi guru.

"Jaminan pelantikan ini akan digantikan secara berperingkat dan hanya guru pelatih yang memperoleh pencapaian terbaik serta berkelayakan ditawarkan jawatan guru," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perjumpaan khas bersama warga IPG Kampus Zon Sabah, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Pengarah Pendidikan Negeri, Jame Alip.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kementerian mengambil perhatian serius mengenai isu pelantikan dan penempatan graduan pendidikan sama ada graduan lepasan IPTA mahupun IPG.

Menurut beliau, isu tersebut telah diperhalusi dengan mengambil kira keperluan guru terlatih yang diunjurkan pihak kementerian untuk jangka masa panjang.

Katanya, bagi memastikan pelantikan guru baharu dipilih dalam kalangan calon yang berkualiti, prosedur penempatan secara automatik selepas tamat pengajian tidak lagi dilaksanakan.

"Mulai tahun lalu, semua graduan pendidikan yang berjaya menamatkan pengajian di IPTA dan IPG perlu mengemukakan permohonan jawatan PPPS Gred DG 41 kepada pihak berkuasa melantik iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) yang mana mereka perlu menjalani penilaian serta temuduga," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak RM15.9 juta diperuntukkan oleh kerajaan baru-baru ini bagi meningkatkan infrastruktur sekolah dan rumah guru di Sabah.

Sumber : Utusan Malaysia


No comments:

Post a Comment