Monday, October 28, 2013

Gerakan Tabiat Membaca Perlu Penglibatan Menyeluruh Masyarakat



SEREMBAN, 28 Okt (Bernama) -- Gerakan untuk menggalakkan tabiat membaca tidak akan berjaya tanpa penglibatan menyeluruh masyarakat, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan Negeri Sembilan Datuk Shamsulkahar Mohd Deli.

Beliau berkata sehubungan itu usahasama Kementerian Pendidikan dengan pelbagai pihak perlu dalam usaha menerapkan nilai cintakan ilmu dan budaya membaca.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Kem Membaca 1Malaysia 2013 di Dewan Sekolah Kebangsaan Puteri di sini, Isnin. Turut hadir Timbalan Pengarah Pembangunan Pendidikan Bestari, Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Shamsuddin Hassan.

Shamsulkahar berharap Kem Membaca 1Malaysia itu terus dijadikan acara tahunan agar masa lapang murid terisi dengan membaca pelbagai bidang ilmu yang dapat menjana pengetahuan, kemahiran, jati diri dan pemikiran.

Program Kem Membaca 1Malaysia anjuran bersama Kementerian Pendidikan dan Scholastics (M) Sdn Bhd mula dilaksanakan pada tahun 2009 bertujuan membina, memupuk dan seterusnya membudayakan amalan membaca di kalangan murid sekolah di negara ini.

Program itu dilaksanakan pada penghujung penggal persekolahan bagi mengisi ruang dan aktiviti selepas peperiksaan di samping meneruskan momentum pembelajaran kendiri murid-murid di sekolah.

Di BEAUFORT, Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Datuk Jame Alip berkata sikap rajin membaca bahan yang berkualiti mampu melahirkan pemikiran yang luar biasa.

"Melalui pembacaan yang konsisten akan menjadikan seseorang itu berilmu dan berkeyakinan dalam melakukan setiap perkara.

"Ibu bapa adalah aset penting dalam memupuk amalan membaca dalam diri anak-anak kerana sebahagian besar amalan yang baik bermula dari rumah," katanya dalam teks ucapannya pada majlis pelancaran Kem Membaca 1Malaysia Peringkat Negeri di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Sektor Penilaian Peperiksaan Negeri Mohd Zaini Yanin.

Beliau berkata amalan membaca di kalangan masyarakat juga boleh dipupuk menerusi pelbagai mekanisme, antaranya menerusi peranan media massa, pelaksanaan kempen kesedaran membaca dan festival buku.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment