Wednesday, September 19, 2012

Mesyuarat Penyelarasan Pertukaran Guru Peringkat Negeri Terengganu

KUALA TERENGGANU - Pagi tadi telah diadakan Mesyuarat Penyelarasan Pertukaran Guru peringkat negeri bagi membuat beberapa persediaan proses pertukaran guru pada 1 Januari 2013. Mesyuarat berkenaan yang telah dipengerusikan oleh En. Salim A. Ghani, KPP Sektor Pengurusan Sekolah telah diadakan di Bilik Mesyuarat Anjung Ilmu, JPN Terengganu. Mesyuarat berkenaan dihadiri oleh Ketua-Ketua Unit di bawah SPS, Penolong PPD Pengurusan Sekolah dan Penyelia Kanan Pengurusan Sekolah semua PPD.

KPP Sektor Pengurusan Sekolah telah memaklumkan beberapa perubahan baru dalam hal pertukaran guru agar semua JPN dan PPD dapat membuat pelbagai persediaan awal, kemas dan sempurna.  Sementara itu En. Ibrahim Ismail, KU Menengah juga sebagai Jawatankuasa Teknikal e-gtukar memaklumkan beberapa perkara penting termasuk kedudukan terkini permohonan menengah dan rendah yang ingin masuk dan keluar Terengganu. Secara umumnya permohonan masuk lebih besar dari kedua-dua kategori tersebut.

Mesyuarat ini juga telah memperkukuhkan penetapan kepatuhan jadual pelaksanaan e-gtukar sebagaimana berikut di peringkat sekolah, PPD dan JPN:
  1. 1 - 30 Sept 2012  : Permohonan di buka. Pemohon.
  2. 1 Sept - 2 Okt 2012 : Tempoh pengesahan oleh Pengetua/ Guru Besar. Pegawai pengesah membuat pengesahan (sokong / tidak sokong). Mesyuarat bagaimanapun meminta agar 25 Sept 2012 semua Pengetua/Guru Besar selesai membuat pengesahan bagi mengelakkan sebarang masalah server dan sebagainya. Surat peringatan akan dikeluarkan kepada pengurus sekolah yang belum membuat pengesahan selepas 25 Sept 2012.
  3. 15 Sept - 5 Okt 2012 : Tempoh tindakan bagi JPN Keluar (sokong/tidak sokong). Pegawai Penyemak. Administrator Negeri.
  4. 15 Sept - 8 Okt 2012 : Tempoh tindakan bagi JPN Penerima (sokong/tidak sokong).Administrator Negeri
Kita berharap rekod cemerlang pengurusan pertukaran dan penempatan guru dapat dikekalkan. Semua itu memerlukan kerjasama dan komitmen pengurusan sekolah, pegawai di PPD/JPN dan semua pihak yang terlibat dengan  e-gtukar ini


Selamat Bersara Guru Besar ! Terima kasih cikgu.



Tuesday, September 18, 2012

Pertukaran dan Penempatan Pegawai, Guru Besar dan GPK Kuatkuasa 16 September 2012

Alhamdulillah UPSR telah selesai. Beberapa pertukaran dan penempatan yang tertangguh bagi memberi ruang melicinkan urusan pengurusan sekolah dan UPSR telah dilaksanakan pada 16 September 2012. Selepas tarikh ini ada enam siri lagi pertukaran dan penempatan pengurusan sekolah yang berkuatkuasa 1 haribulan dan 16 haribulan. Pertukaran dan penempatan kali melibatkan semua daerah dengan strategi memperkukuhkan pengurusan sekolah berasaskan keupayaan dan kebolehan yang ada pada GPK selain atas kombinasi kejantinaan agar lebih seimbang dan hal-hal kebajikan mereka sendiri.

Kita berharap pertukaran dan penempatan ini memberi makna dan impak kepada keseluruhan prestasi sekolah ke arah yang lebih cemerlang dan terbilang. Sejak akhir-akhir ini kita dapati kadar aduan sama ada dari pelanggan dalaman dan luaran terhadap pasukan pengurusan sekolah sama ada Guru Besar atau GPK agak meningkat. Justru itu kita berharap agar kombinasi kepimpinan baru ini akan lebih meyakinkan pelanggan dan semua berjalan mengikut piawaian sedia ada.

Buktikan bahawa kita sememangnya bagus , boleh mengurus dan memimpin organisasi dengan baik. Gabungkan peraturan dan kemanusiaan , ilmu dan kemahiran dalam amalan pengurusan.Surat pertukaran dan penempatan boleh diperolehi di PPD masing-masing Selamat Bertugas.

  • Senarai Pegawai dan Guru Besar. KLIK
  • Senarai GPK. KLIK

Selepas UPSR...


 Salah satu aktiviti lepas UPSR yang bermakna

Yeahhh... UPSR telah selamat sempurna dilalui oleh anak-anak Tahun 6. Guru-guru Tahun 6 boleh menarik nafas walaupun tidak lega sepenuhnya. Kebimbangan terhadap keputusan mata pelajaran diajar akan sentiasa menghantui selagi keputusan belum keluar. Begitulah perasaan hati seorang guru yang sebenar walaupun di luar orang nampak kita bergembira dan tiada apa-apa. Ibubapa juga mungkin lega setelah berbulan-bulan menghantar anak ke kelas tambahan atau tuisyen. Inilah masa untuk rilek sedikit. Namun hati mereka juga dijentik bimbang bila melihat anak-anak mula menjauhkan diri dari buku..


Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian banyak program-program lepas UPSR dilaksanakan sekolah untuk mengisi masa dan luang khususnya kepada murid-murid Tahun 6 secara lebih bermanafaat dan efektif. Namun tidak kurang program-program itu cantik dan sempurna hanya di atas kertas sahaja. Pengurusan pelaksanaan program lepas UPSR kadangnya tidak dilaksana dengan mantap dan bersungguh-sungguh. Kita menaruh kebimbangan bahawa pelajar akan membina tanggapan salah  selepas peperiksaan adalah masa rilek, santai dan berseronok sakan. Masa untuk melupakan buka dan ilmu. Trend ini kita lihat kian melanda masyarakat kita bila mana ada anak selepas UPSR dan PMR sudah tidak hadir lagi ke sekolah. Mereka bercuti awal sebelum masa cuti.

Membiasa dan membudayakan benda yang salah sebagai betul adalah satu kesilapan. Kita pasti ada kalangan ibubapa berkata, "biasala budak la ni, lepas periksa malas pergi sekolah". Pemikiran membiasakan perkara salah sebagai rutin adalah kesilapan amat besar dan merbahaya. Serupalah juga kita telah membiasakan pergaulan bebas kalangan anak muda kita " Biasalah orang muda, naik motor bercouple" dan sebagainya. Justru kerana terbiasanya fenomena berkenaan seakan yang salah menjadi betul dan yang haram menjadi halal.

Kita berharap momentum mencintai ilmu dan budaya kecemerlangan tidak akan terputus dengan hanya berakhirnya satu peperiksaan yang kecil. Malah kita perlu menyubur dan memugarnya dengan pendekatan yang mungkin lebih berbeza sedikit. Pengajaran dan pembelajaran dengan menggalakkan kemahiran berfikir melalui aktiviti kumpulan. Memupuk kemahiran dan keyakinan komunikasi melalui aktiviti pembentangan, bahasa, syarahan dan sebagainya. Aktiviti perkembangan sahsiah serta pemupukan kerjaya seperti lawatan ke sekolah SBP, SBT, SKK dan IPT patut digalakkan sebagai sebahagian dari program teras selepas UPSR. Begitu juga program bersifat "pengalamian sebenar pembelajaran " atau "experiencing learning" wajar sekali didedahkan kepada mereka kerana melalui kaedah ini bukan sahaja mereka terlibat secara langsung tetapi memahami makna hasil pembelajaran sebenar.

Seribu satu macam aktiviti lepas UPSR yang bermanafaat dapat dilaksanakanakan sama ada yang biasa ataupun berorientasikan ICT. Apa yang penting yang mahu kita tanam dalam minda dan jiwa anak-anak bahawa pembelajaran ini tidak pernah tamat walaupun sampai bila-bila sehinggalah sampai ke liang lahad.
Peperiksaan adalah sebahagian proses memantapkan pembelajaran bukannya berakhir sesuatu peperiksaan maka tamatlah dunia pembelajaran .



Saturday, September 15, 2012

Hari Keluarga Sektor Pengurusan Sekolah

SETIU - Setelah beberapa kali tertunda, hari terlaksanalah Hari Keluarga Sektor Pengurusan Sekolah. Lokasi yang dipilih ialah Pusat Kokurikulum Setiu di Kem Merbau Menyusut iaitu lebih kurang satu jam perjalanan dari Kuala Terengganu. Ketua Sektor Sekolah, Ketua Penolong Pengarah, Ketua-ketua Unit , pegawai dan staf sokongan turut hadir membawa keluarga masing-masing. Bagaimanapun terdapat segelintir pegawai dan staf tidak dapat hadir kerana ada komitmen lain yang tidak dapat dielakkan.

Walau bagaimanapun keseluruhan acara sambutan mencapai matlamat bagi mengeratkan lagi persefahaman dan persaudaraan bukan sahaja di kalangan pegawai dan staf tetapi juga antara keluarga masing-masing. Berbagai acara melibatkan anak-anak, kombinasi anak atau suami isteri telah diadakan. Antara yang menarikh perhatian ialah acara cari coklat dalam tepung, bowling kelapa, mumia sayang, cabutan bertuah dan koraoke keluarga.Apa yang menarik bukan sahaja pemenang mendapat hadiah tetapi penyertaan juga dapat hadiah.

Akhirnya terima kasih kepada semua jawatankuasa terlibat dan mereka yang terlibat memberi sumbangan bagi menjayakan Hari Keluarga Sektor Sekolah ini. Sesungguhnya tanpa komitmen, kesungguhan dan kerjasama erat sebagaimana motto SPS (Sepakat Pasti Sukses) tidak akan menjadi kenyataan.

Friday, September 14, 2012

Renungan Jumaat : Ujian Allah : Sejauh Mana Keredhaan Kita?


Ujian Allah iaitu suatu perkara yang telah ditentukan oleh Allah SWT kepada sesiapa saja yang selagi dinamakan manusia (terutama orang-orang yang beriman kepada Allah), maka dia tidak akan sunyi dari dikenakan ujian, cabaran dan rintangan dari Allah SWT. Dalam kehidupan seharian ini, ujian Allah ini bergantung sejauh mana kecintaan kita terhadap yang Maha Pencipta.
Ada orang di uji dengan penyakit, ada yang terpaksa memelihara anak-anak yang cacat, ada yang suami penagih dadah, isteri yang ditinggalkan kerana perempuan lain, panas baran yang menyiksa isteri, malah ujian rumahtangga ini yang paling common sekali. Ada yang masih keci sudah diuji, dimana ibu bapa meninggal dunia, dirogol keluarga sendiri, diseksa ibu tiri dan macam-macam lagi di luar sana.
Andai dirimu di uji dengan kesusahan hidup, tetapkan hatimu dan bersangka baiklah (husnu dzon) pada Allah SWT. Itu tandanya Allah rindu untuk mendengar luahan bicaramu. Allah amat suka mendengar bisikan-bisikan hati yang rindu kasih sayangNya.
Sedang dirimu di uji, Allah sebenarnya ingin memeliharamu dari sejuta keburukan. Ingatlah orang-orang yang dikasihi Allah SWT. Setiap kesusahan itu akan diakhiri dengan kebaikan dan kemuliaan. Maka hendaklah engkau lapangkan dadamu dan bersyukur penuh redha agar kebaikan dunia akhirat itu menjadi penghuni hatimu. Moga kedukaan itu berganti dengan ketenangan, redha dan ikhlas dalam setiap apa yang berlaku lantaran husno dzonnya engkau pada ALLAH SWT.
Ayat 2 Surah al-Ankabut, yang bermaksud,
"Adakah manusia itu mengira, bahwa Kami akan membiarkan sahaja mereka berkata: Kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji oleh Allah swt."
Suatu peristiwa bilamana Saad bin Abi Waqash bertanya kepada Nabi saw, "Ya Rasulullah, siapakah manusia yang paling teruk kena uji?"...Lalu jawab Rasulullah saw, "Yang paling teruk kena uji ialah para nabi dan para rasul, kemudiannya golongan yang mengikut para nabi selepas zaman nabi (tabiin) dan kemudiannya golongan selepas tabiin yang mengikut para tabiin."
Allah s.w.t. berfirman "Tiadalah terjadi sesuatu bencana itu melainkan dengan kehendak Allah, dan siapa yang percaya kepada Allah nescaya dipimpin Allah hatinya" (Surah At-Taghabun:11)
Allah s.w.t. berfirman "Orang-orang yang beriman itu akan menjadi tenteram hati mereka. Ingatlah dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenteram" (Surah Ar-Rad:28)
Oleh itu dengan mengenal diri, seseorang akan tahu dimana kelemahan dan kelebihan yang ada pada dirinya. Dia juga akan tahu, bagaimana untuk memperbaiki dan meningkatkan mutu ibadahnya kepada Allah SWT. Nabi SAW pernah berkata "Sampaikan sesuatu, walaupun hanya dengan satu ayat"
 Sumber : - iluvislam.com

Thursday, September 13, 2012

Salah pelajar, bukan sekolah



 KUALA LUMPUR - Siasatan Jabatan Pelajaran Selangor mendapati dakwaan seorang pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya (1) Bukit Beruntung, Rawang bahawa dia dilarang daripada menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kelmarin sebagai tidak berasas.


Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud berkata, apa yang sebaliknya berlaku ialah pelajar itu, Muhammad Faiz Mahadzir tidak hadir ke sekolah pada hari pertama peperiksaan itu kelmarin.

Katanya, pelajar itu juga tidak hadir ke sekolah untuk beberapa hari sebelum itu.
"Pihak sekolah tidak menghalang pelajar itu menduduki peperiksaan.

"Rekod sekolah menunjukkan dia tidak hadir pada hari pertama peperiksaan walaupun Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SUP) telah memaklumkan kepada pelajar untuk hadir," katanya kepada pemberita selepas mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meninjau perjalanan peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan Sultan Hisamuddin Alam Shah di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan kenyataan bapa pelajar itu, Mahadzir Mokhtar, 42, yang mendakwa sewaktu Muhammad Faiz datang ke sekolah pada Isnin lalu, guru besar sekolah tersebut telah meminta anaknya itu supaya tidak menduduki UPSR atas alasan dikhuatiri boleh menjejaskan reputasi sekolah berkenaan.

Muhammad Faiz kemudian dikatakan merajuk sehingga tidak mahu ke sekolah bagi menduduki UPSR pada Selasa lalu walaupun selepas puas dipujuk oleh bapanya.

Mahadzir kemudian membuat laporan di Balai Polis Bukit Sentosa serta Pejabat Pelajaran daerah Hulu Selangor.

Abd. Ghafar menjelaskan, pihaknya setakat ini menerima sembilan aduan berhubung dakwaan berlaku penyelewengan berkaitan UPSR, namun siasatan mendapati kesemuanya tidak berasas.

Sumber : Kosmo

Tuesday, September 11, 2012

Najib Lancar Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia


KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk mengubah sistem pendidikan negara.

Laporan awal pelan itu yang memaparkan visi sistem pendidikan dan pelajar yang Malaysia perlu dan berhak miliki, memperincikan anjakan yang diperlukan untuk mencapai objektif tersebut.

Terdahulu laporan berkenaan dibentang Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.

Menurut dokumen itu, Kementerian Pelajaran berharap usaha tersebut akan memperjelaskan kepada masyarakat usaha mengubah sistem pendidikan negara dan akan mendapatkan maklum balas daripada komuniti mengenai laporan awal berkenaan sebelum pelan dimuktamadkan pada Disember ini.

Proses transformasi sistem pendidikan akan dilaksana dalam tempoh 13 tahun dengan Gelombang 1 (2012-2015) menumpukan kepada usaha memperbaiki sistem dengan memberi sokongan guru dan tumpuan kepada kemahiran asas; Gelombang 2 (2016-2020) pula mempercepatkan penambahbaikan sistem; dan Gelombang 3 (2021-2025) ke arah kecemerlangan menerusi operasi yang lebih fleksibel.

Pelan itu menyasarkan hasil pada lima aspek iaitu akses, kualiti, kesaksamaan, perpaduan dan kecekapan.

Pelan turut menyasarkan pembangunan pelajar yang memiliki enam sifat utama untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat global iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran diwbahasa, beretika dan beragama, serta beridentiti kebangsaan.

Sebelas anjakan yang digariskan kementerian ialah:

1. Menyediakan akses sama rata untuk pendidikan berkualiti dengan standard antarabangsa;

2. Memastikan setiap pelajar fasih dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris;

3. Membangunkan rakyat Malaysia yang dipacu nilai murni;

4. Menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan;

5. Memastikan pemimpin sekolah berprestasi tinggi di setiap sekolah;

6. Memperkasakan Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah untuk menyelesaikan isu mengikut keperluan;

7. Memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat untuk meningkatkan kualiti pembelajaran di seluruh Malaysia;

8. Menambah baik keupayaan penyampaian dan kapasiti kementerian;

9. Bekerjasama dengan ibu bapa, masyarakat dan sektor swasta;

10. Memaksimumkan kemenjadian pelajar bagi setiap ringgit yang dibelanja;

11. Meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban umum.

Laporan itu juga menyatakan Kementerian Pelajaran melancarkan semakan menyeluruh sistem pendidikan pada Oktober 2011 bagi membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan baharu tersebut.

Menurut laporan itu, keputusan tersebut dibuat dalam konteks peningkatan standard pendidikan antarabangsa, aspirasi kerajaan untuk mempersiapkan kanak-kanak di Malaysia dalam menghadapi abad ke-21 serta harapan menggunung masyarakat serta ibu bapa terhadap dasar pendidikan.

Dalam tempoh setahun, lebih 50,000 pegawai kementerian, guru, pengetua, ibu bapa, pelajar dan orang ramai dilibatkan dalam pelbagai bentuk perbincangan.

Kementerian juga melantik panel 12 pakar tempatan dan sebuah panel empat pakar antarabangsa bagi memberi input mengenai hasil semakan.

-- BERNAMA


Tahniah Timbalan PPD Marang yang baru..

Tuan Haji Mohamad Nawawi bin Rani menerima surat pelantikan sebagai
Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Marang yang baru daripada
Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu semalam.

Tahniah daripada warga Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu  kepada Tuan Haji Mohamad Nawawi bin Rani, Ketua Unit Perhubungan dan Tugas Khas, Sektor Pengurusan Sekolah yang telah dilantik sebagai Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah, Pejabat Pelajaran Daerah Marang, Terengganu. Kami di Sektor Pengurusan Sekolah khususnya kehilangan seorang ketua dan pegawai yang dedikasi.

Kita berharap dan berdoa semoga beliau dapat memberi sumbangan berkesan kepada pengurusan dan kecemerlangan pendidikan daerah Marang khususnya dan Terengganu amnya. Kita amat yakin dengan pengalaman luas beliau sebagai Guru Penolong Kanan, Pegawai di Unit Sekolah Menengah dan Ketua Unit Perhubungan dan Tugas Khas segala cabaran mampu ditangani dengan cekap dan bijaksana. Tahniah tuan !


Selamat Berjuang Anak-Anak Tahun 6

Hari ini lebih kurang 22,000 ribu orang calon UPSR dari SK dan SJKC Terengganu mula menduduki UPSR 2012 bagi meneruskan legasi kecemerlangan UPSR untuk tahun kedua belas. Daripada jumlah itu 171 orang calon adalah dari SK Teluk Ketapang, sekolah angkat saya.

Pagi ini saya dan Penolong Pengarah Guru Rendah berkesempatan meninjau persediaan pengurusan UPSR di SK Teluk Ketapang. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan sempurna kemas dan teratur. SK Teluk Ketapang terdiri dua pusat dengan 12 orang pegawas UPSR. Jam tujuh pagi semua calon UPSR berkumpul di makmal untuk bacaan yasin, zikir kemudiaan diikuti doa sebelum berbaris memasuki bilik-bilik peperiksaan.

Seorang guru, Cikgu Mohd Yusof telah dilantik sebagai Pegawai Pehubungan UPSR bagi mengurus persediaan calon sepanjang ujian ini. YDP Pertua PIBG turut sama hadir memberi sokongan dan lebih kurang 30 orang ibubapa secara sukarela menunggu anak-anak sambil membaca yasin di surau sekolah.

Mengikut Guru Besar dan GPK 1, SK Teluk Ketapang seramai tiga belas orang guru SK Teluk Ketapang terlibat menjadi Pengawas Peperiksaan termasuk GPK Kokurikulum. Bagaimanapun urusan persekolahan berjalan lancar di mana murid-murid yang tidak terlibat dengan UPSR disediakan ujian OTI. Sementara makan-minun calon UPSR seramai 171 orang diurus dan disediakan secara pakej berasingan selama tiga hari ini supaya masa mereka tidak terganggu. Mereka juga tidak perlu berebut-rebut dengan murid-murid lain.

Tahniah kepada Pengurusan Sekolah, para guru, YDP PIBG, ibubapa di atas muafakat, kesatuan, keikhlasan dan semangat cintakan kejayaan anak-anak. Mudah-mudahan kerja-kerja dan usaha-usaha yang ikhlas ini diberi ganjaran dengan kejayaan terbilang kepada calon UPSR SK Teluk Ketapang khasnya dan seluruh calon UPSR Terengganu amnya. Insyaallah.,

Selamat menduduki UPSR...