Friday, June 29, 2012

Renungan Jumaat : Ibadah di bulan Shaaban

Bulan Sya'ban mempunyai keistimewaan tersendiri di dalam Islam, samalah juga dengan bulan-bulan yang lain yang juga mempunyai kelebihan, sehingga menyebabkan kehadirannya sentiasa ditunggu-tunggu oleh mereka yang suka beribadat sebagai salah satu jalan untuk mencari dan mendapat keredaan Allah SWT.

Bulan Sya'ban adalah antara bulan yang paling dicintai oleh Rasulullah SAW. Baginda SAW akan lebih banyak berpuasa di bulan ini. Baginda paling banyak berpuasa sunat pada bulan Sya'ban

Perkara yang dilakukan oleh Rasulullah SAW patut dicontohi kerana selain memperbanyakkan amal kebajikan di bulan ini , ia juga merupakan latihan rohani ke arah mempersiapkan diri menyambut kedatangan bulan Ramadhan

Amalan-Amalan Sunat Pada Bulan Sya'ban
Keistimewaan bulan ini ialah seluruh amalan manusia diangkat untuk dihadapkan kepada Allah SWT, sewajarnyalah sepanjang bulan ini diisikan dengan amal ibadah dan kebajikan. Antara amalan yang digalakkan pada bulan Sya'ban adalah:

1. Memperbanyak puasa sunat.

Nabi SAW lebih gemar berpuasa sunat dalam bulan Sya'ban berbanding dengan bulan-bulan yang lain.

2. Bertaubat dan Beristiqhfar

Bertaubat dan beristigfar boleh mensucikan jiwa dari dosa, kerana sebagai manusia kita sudah pasti tidak akan terlepas dari melakukan dosa. Walau bagaimanapun sebenar-benar taubat itu ialah taubat nasuha.

Taubat nasuha akan berjaya dilakukan apabila kita menepati syarat-syaratnya, contohnya jika dosa itu antara manusia dengan Tuhan:

1. Dia hendaklah meninggalkan dosa atau maksiat itu.
2. Dia hendaklah benar-benar menyesali dan merasa sedih dengan perbuatan maksiatnya itu.
3. Dia berjanji dan berazam untuk tidak akan mengulangi dan melakukannya.

Manakala jika dosa itu berkaitan dengan hak orang lain, hendaklah memohon maaf daripada orang berkenaan.

3. Memperbanyak zikir dan berdoa

Zikir ialah ucapan yang dilakukan dengan lidah atau mengingati Allah dengan hati, dengan ucapan atau ingatan yang membesar dan mengagungkan Allah.

Ini bersesuaian dengan janji Allah SWT bahawa orang-orang yang beriman itu tenang hati mereka dengan zikrullah. Ini kerana berzikir (mengingati Allah) itu mententeramkan hati manusia.

Antara keistimewaan amalan zikir itu pula ialah:

i. Zikir boleh dilaksanakan bila-bila masa. Ia juga boleh dilaksanakan dalam keadaan duduk, berdiri dan baring.

ii. Boleh dilaksanakan walaupun dalam keadaan berhadas sama ada hadas kecil mahu pun hadas besar.

Begitu juga dengan ibadat doa. Doa boleh dilakukan tanpa mengira tempat dan masa. Doa ialah memohon sesuatu hajat atau perlindungan daripada Allah SWT dengan cara merendahkan diri kepada-Nya.

Selain daripada itu banyak lagi amal kebajikan yang boleh dilaksanakan di bulan Sya'ban ini sebagai persiapan menyambut kedatangan Ramadhan seperti memperbanyakkan selawat atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, bersembahyang sunat terutama di waktu malam, banyak bersedekah dan sebagainya. Maka rebutlah peluang dan kelebihan yang ada di bulan Sya'ban ini untuk mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita. Rasulullah SAW pernah ditanya, mengapa Baginda melebihkan berpuasa sunat di bulan Sya'ban berbanding bulan-bulan yang lain? Baginda bersabda yang bermaksud:

"Bulan itu (Sya'ban) yang berada di antara Rejab dan Ramadhan adalah bulan yang dilupakan manusia dan ia adalah bulan yang diangkat padanya amal ibadah kepada Tuhan Seru Sekalian Alam, maka aku suka supaya amal ibadah ku di angkat ketika aku berpuasa".(HR an-Nasaie)

Malam Nisfu Sya'ban
Kelebihan Malam Nisfu Sya'ban itu telah disebutkan di dalam hadis sahih daripada Mu'az bin Jabal r.a Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :

"Allah menjenguk datang kepada semua makhluk-Nya di Malam Nisfu Sya'ban, maka diampunkan dosa sekalian makhlu-kNya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan." (H.R Ibnu Majah, at-Thabaroni dan Ibnu Hibban)

Pada malam Nisfu Sya'ban juga, adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa. Menyedut pendapat Imam asy-Syafi'e dalam kitabnya al-Umm telah berkata: "Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya 'Aidil fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nisfu Sya'ban."

Kita boleh Menghidupkan Malam Nisfu Sya'ban dengan memperbanyakkan beribadat seperti sembahyang sunat dan berdoa, berzikir dan membaca al-Quran..

Penutup
Kesimpulannya amalan yang berterusan ini akan membuatkan kita lebih bersedia untuk beramal serta meyambut kedatangan Ramadhan dengan hati yang bersih dan jiwa suci, natijahnya mengundang ke arah kecemerlangan hidup.

Sabda Nabi SAW maksudnya: " Lakukanlah amalan setakat yang kamu terdaya. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu semua jemu. Sembahyang yang paling disukai oleh Nabi SAW iaitu yang dilakukan secara berterusan walaupun sedikit apabila baginda sembahyang. Apa jua sembahyang ia akan lakukan secara berterusan" (HR Bukhari)

Sumber : Unit Perhubungan Awam JAKIM

Thursday, June 28, 2012

Standard Baru Kualiti Pendidikan


BANGI: Mulai tahun depan, penilaian prestasi sekolah mengguna pakai Standard Kualiti Pendidikan Malaysia 2010 (SKPM 2010) berbanding versi SKPM 2003, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, penggunaan standard baru berbanding versi lama bagi memastikan kaedah penilaian terhadap sekolah dilaksanakan secara telus, terperinci sistematik dan jujur berdasarkan penarafan kendiri.

“Penilaian menggunakan instrumen baru ini lebih tepat dan objektif. Kementerian juga melaksanakan program latihan berterusan ke arah memastikan usaha melatih pengetua dan guru besar dapat dilaksanakan.

“Sukacita saya mencadangkan kepada semua pemimpin sekolah untuk meningkatkan ilmu dan kepakaran masing-masing dalam bidang pendidikan terutama dalam bidang penarafan kendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Tawaran Baru Kepada Pengetua Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan 2011 di Hotel Equatorial di sini, semalam.

Pada majlis berkenaan, Muhyiddin turut menyampaikan sijil penghargaan dan sub waran berjumlah RM10 juta kepada 125 pengetua sekolah menengah sebagai ganjaran mereka mencapai sasaran Tawaran Baru menerusi NKRA Kementerian Pelajaran.

Pengenalan Tawaran Baru adalah pengiktirafan kepada Pengetua dan Guru Besar dalam usaha mereka melonjakkan kecemerlangan sekolah dengan penilaian dibuat berasaskan kombinasi pencapaian akademik, kokurikulum dan elemen-elemen lain yang memberi impak dalam kemenjadian murid.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud dan Ketua Nazir Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti Kementerian Pelajaran, Datuk Misrah Ibrahim

- Harian Metro

10,675 Warga Pendidik Terima Ganjaran RM10 Juta Bagi Prestasi Cemerlang


BANGI, 27 Jun (Bernama) -- Seramai 10,675 warga pendidik dan kumpulan sokongan daripada 124 sekolah menengah di seluruh negara hari ini menerima ganjaran sebanyak RM10 juta bagi pencapaian cemerlang dalam akademik dan ko-kurikulum pada 2011.

Ganjaran di bawah bidang keberhasilan utama negara (NKRA) pendidikan itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis Anugerah Tawaran Baru Kepada Pengetua 2011, di sini.

Ketika berucap, Muhyiddin melahirkan rasa gembira dengan pencapaian 124 buah sekolah atau 5.51 peratus itu yang melebihi sasaran 4 hingga 5 peratus daripada 2,248 sekolah menengah yang ditetapkan di bawah Sub NKRA pada tahun lepas untuk menerima ganjaran itu manakala semua pengetua yang terlibat juga melepasi semua saringan termasuk tiada audit berteguran dan tiada kes tatatertib.

"Apa yang membanggakan kita semua ialah usaha kerajaan untuk merapatkan jurang dan menyamaratakan peluang pendidikan berkualiti antara bandar dan luar bandar juga nampaknya telah membuahkan kejayaan.

"Ini terbukti apabila 54 peratus iaitu 67 buah sekolah luar bandar berjaya menerima ganjaran tawaran baru ini dari keseluruhan 124 sekolah yang terpilih," kata Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran.

Beliau berkata pada Mac lalu, ganjaran RM15.6juta diberikan kepada 403 buah sekolah daripada 7,648 buah sekolah rendah di seluruh negara bagi tujuan yang sama.

Timbalan Perdana Menteri juga berbangga dengan prestasi sekolah agama apabila sebanyak 18 buah sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan dipilih menerima ganjaran itu berbanding empat buah pada 2010.

"Peningkatan lebih dua kali ganda ini amat membanggakan KPM. Manakala sebanyak 19 buah sekolah dalam kategori lonjakan perdana telah melonjak sebanyak 500 tempat dan ke atas dalam kedudukan rangkingnya berbanding sasaran lonjakan yang diperlukan iaitu 300 tempat sahaja," katanya.

Pencapaian dua buah sekolah begitu menakjubkan dengan lonjakan lebih daripada 1,000 kedudukan iaitu Sekolah Menengah Agama Tarbiah Islamiah Pulau Pinang sebanyak 1,555 lonjakan dan Sekolah Menengah Agama Makarimul Akhlak Kedah sebanyak 1,202 lonjakan, katanya.

"Dan yang lebih membanggakan lagi peningkatan yang ditunjukkan oleh Sekolah Menengah Seri Kembangan, Selangor yang telah membuat lonjakan drastik sebanyak 1,399 dalam kedudukan ranking bagi sekolah berenrolmen besar," katanya.

Bagi meneruskan kecemerlangan itu, beliau mahukan pengetua dan guru besar supaya lebih berwibawa dan berinovasi dalam merancang, menyelaras, memantau serta menilai aktiviti pengajaran dan pembelajaran bagi melahirkan generasi yang berkemampuan.

Muhyiddin berkata sebagai pemimpin sekolah dan ejen perubahan, mereka perlu mengikuti perkembangan terkini, memajukan diri dan sentiasa memikirkan penambahbaikan kepimpinannya yang berorientasikan pengurusan yang lebih baik.

"Kejayaan pengetua dalam merancang,menyelaras, memantau dan menilai aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan membolehkan pencapaian matlamat visi dan misi sekolah yang diterjemah selaras dengan visi, misi dan matlamat Kementerian Pelajaran Malaysia".

Katanya,pengurusan dan kecemerlangan pengetua dan guru besar yang mantap dan jitu pastinya menentukan prestasi akademik dan kokurikulam pelajar yang membanggakan.

Beliau juga menyarankan semua pengetua dan guru besar sekolah agar meningkatkan ilmu dan kepakaran dalam bidang pendidikan terutama dalam penarafan kendiri sekolah seperti yang dilaksanakan di beberapa buah negara maju untuk meningkatkan prestasi sekolah.

Tegasnya, kerajaan begitu serius dalam melaksanakan pembaharuan dan penambahbaikan dalam sistem pendidikan negara bagi memastikan kerelevannnya dan memberi kesan yang lebih baik.

-- BERNAMA

Wednesday, June 27, 2012

Tahniah kepada Pengetua Terengganu yang dapat Anugerah Tawaran Baru 2011

Tahniah kepada Pengetua sepuluh buah Sekolah Menengah yang mendapat Anugerah Tawaran Baru 2011. Sekolah-sekolah berkenaan sebagaimana berikut:
  1. SM Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu
  2. SBPI Batu Rakit, Kuala Terengganu
  3. SM Sains Terengganu, Kuala Terengganu
  4. SM Sains Dungun, Dungun
  5. SMK Mak Lagam, Kemaman
  6. Imtiaz Kuala Terengganu
  7. Imtiaz Kuala Berang, Hulu Terengganu
  8. SMA Atas Zainal Abidin, Kuala Terengganu
  9. SMK Felda Neram, Kemaman
  10. SMK Padang Pulut, Dungun
Semoga dengan anugerah ini menjadi dorongan untuk semua warga sekolah terlibat melonjakkan kecemerlangan dan keterbilangan pendidikan sekolah.


Tuesday, June 26, 2012

Sekitar Kejohanan Kebitaraan Memanah SKK Kebangsaan

KUALA TERENGGANU- Hari ini adalah hari kedua Kejohanan Kebitaraan Memanah SKK Kebangsaan yang diadakan di SMKA Sheikh Abdul Malik, Kuala Terengganu. Semalam semua kontinjen mengadakan pemeriksaan peralatan dan kelengkapan serta latihan penyesuaian di padang memanah di SMKA Sheikh Abdul Malik.

Hari ini semua kategori pertandingan bermula dan akan bersambung besok pagi. Majlis perasmian penutup akan diadakan jam 2.30 petang esok. Yang Berbahagia Tuan Haji Rosland bin Husain, Pengarah Bahagian Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan dijangka mewakili Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

Pagi ini Pn. Faridah Mohd Zin, KPP Sektor Kebitaraan  BPSBPSK bersama krew juga turut memberi sokongan dan memantau perjalanan kejohanan ini. Taklimat ringkas telah disampaikan oleh Pengurus Kejohanan En. Mohd Nor Ismail yang juga Guru Penolong Kanan Kokurikulum SMKA Sheikh Abdul Malik.

Apa yang menarikh juga tiga sekolah calon SKK rendah Terengganu iaitu SK Maktab Perguruan Kuala Terengganu, SK Gong Badak, Kuala Terengganu dan SK Amer, Besut turut bersama menyertai kejohanan ini bersama SKK SJK (T) Simpang Lima, Klang. Kita berharap melalui penyertaan ini mereka bukan sahaja beroleh pengalaman tetapi merit penyertaan pertandingan peringkat kebangsaan.


 

Sunday, June 24, 2012

7,975 guru lepasan diploma dilantik Gred DG41

BATU PAHAT : Seramai 7,975 guru lepasan diploma yang sudah menamatkan Program Pengsiswazahan Guru akan dilantik ke jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dengan gred DG41 dalam tempoh terdekat.

Lantikan itu dibuat susulan kelulusan perjawatan baru itu oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 23 Mei lalu selepas semua guru terbabit ditemuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP). Keputusan ini membolehkan guru terbabit yang selama ini berada pada jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPLD) disahkan ke jawatan PPPS dengan Gred DG41

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata mereka yang terbabit adalah lepasan diploma yang sudah menamatkan Program Pensiswazahan Guru membabitkan Kohort 2,3,4, dan 5. Katanya kelewatan pengesahan jawatan mereka disebabkan Kementerian Pelajaran menunggu kelulusan Bahagian Perbendaharaan dan JPA untuk meluluskan perjawatan baru berkenaan, sekaligus menyebabkan guru-guru yang sudah disiswazahkan terpaksa menunggu.

Setakat ini, beliau berkata, guru siswazah di sekolah menengah seluruh negara sudah mencatat 91 peratus, manakala di sekolah rendah pula berada pada kadar 39.8 peratus.

"Insyaallah, matlamat mensiswazahkan semua guru akan tercapai sepanjang Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) yang berakhir pada 2016", katanya selepas Sambutan Hari Guru 2012 Peringkat Parlimen Batu Pahat di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Chong Hwa Sengarang, dekat sini, semalam.

Mei lalu Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada sambutan Hari Guru ke-41 di Kuala Kangsar, Perak, mengumumkan 24,053 guru lepasan ijazah dan diploma yang memenuhi syarat tempoh perkhidmatan akan dinaikkan pangkat mulai Jun hingga hujung tahun ini.

Februari lalu pula, Berita Harian melaporkan Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng, mendedahkan 15,000 guru lepasan ijazah seluruh negara belum menerima kenaikan gaji Gred DG41, walaupun melepasi temuduga sejak dua tahun lalu.

Keadaan ini menimbulkan ketidakpuasan hati kumpulan guru terbabit yang terpaksa membuat pinjaman pendidikan atau mengeluarkan simpanan peribadi bagi menampung kos menyambung pelajaran masing-masing selama ini.

Mohd Puad yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat, berkata seramai 66, 124 guru lagi akan disiswazahkan menjelang 2016 dengan pengambilan baru mengikuti Program Pensiswazahan Guru bermula September depan.

Sumber : Berita Minggu, Ahad (24 Jun 2012) muka surat 12.

Bacaan tambahan di Utusan Malaysia online



Kempen Kesedaran Keselamatan Elektrik

KEMAMAN - "Murid-murid kita sangat mempercayai guru berbanding dengan pihak lain justru melalui kempen yang menyampaikan ilmu dan kemahiran sangat efektif jika diperkukuhkan oleh guru untuk menyampaikan input berkenaan terus kepada murid-murid. Selain itu prosidur keselamatan hendaklah menjadi amalan setiap kali ada perhimpunan di sekolah sehingga perkara berkenaan sebati dengan jiwa murid. Kalau belum bermula kita mulakan sekarang " demikian antara lain ucapan penting En. Zakaria  Hussain, Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu sewaktu merasmikan Kempen Kesedaran Keselamatan Elektrik Peringkat Negeri Terengganu .

Majlis perasmian kempen berkenaan diadakan di Dewan SMK Kampung Baru Kertih, Kemaman pagi tadi.Turut hadir Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Pegawai JPN, Pegawai dari PPD Dungun dan Kemaman. Pegawai-pegawai Kanan Tenaga Nasional Berhad, Pengetua dan Guru Besar daerah Dungun dan Kemaman serta para pelajar. Turut dijemput ialah Sekolah Angkat TNB iaitu SK Paka 3, SK Kuala Berang, SK Pengkalan Berangan.

Sebelum ucapan perasmian Yang Berbahagia Datuk Rozimi, Naib Presiden Penghantaran TNB mewakili Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif TNB dalam ucapannya berbangga dan berpuashati dengan kerjasama yang diberikan oleh Jabatan Pelajaran Negeri, PPD dan sekolah bagi menjayakan kempen ini. Sebagai tanda penghargaan beliau mencadangkan pada masa depan Terengganu akan menjadi pilihan utama TNB bagi melaksanakan program khidmat sosial. Menurut beliau tahun ini adalah tahun keenam TNB melaksanakan program kempen ini.

Sementara itu Pengarah Pelajaran Terengganu juga merakamkan setinggi penghargaan terima kasih atas usaha-usaha menyokong pendidikan dengan menyediakan pelbagai peluang dan kemudahan selaras dengan prinsip pembangunan pendidikan yang menjadi tanggungjawab semua pihak.

Berbagai aktiviti telah diadakan sempena kempen ini seperti ceramah, pameran, kuiz dan sebagainya. Apa yang penting dan diharapkan kempen ini dapat membangkitkan kesedaran tentang cara mengguna dan mengurus elektrik dengan selamat khususnya di kalangan murid-murid kerana murid-murid menduduki hiraki ketiga dalam statistik kemalangan dan bencana akibat kecuaian mengguna dan mengurus elektrik.



Saturday, June 23, 2012

Gadis 9 Tahun Rentasi Lembah Guna Kabel Selaju 40 Km/Jam Untuk Ke Sekolah


Daisy Mora berumur 9 tahun dan cara dia ke sekolah amat berlainan dan paling unik lagi merbahaya. Namun, bak kata pepatah "Alah bisa tegal biasa". Daisy Mora begitu gigih dan sanggup pula menumpangkan adiknya Jamid di dalam guni bersama-sama menyeberangi lembah Rio Negro dengan meluncuri kabel.

Meluncur selaju 40 kilometer sejam itu sudah menjadi kebiasaan kepada para penduduk kampung di lembah Rio Negro ini. Apatah lagi, inilah satu-satunya alternatif yang ada untuk mereka berulang- alik ke pekan semenjak tahun 1804 lagi. Penggunaan kabel ini telah digunakan sejak sekian lama. Di mana untuk permulaan dahulu kabel tali jut menjadi perhubungan antara mereka dengan dunia luar Namun, setelah kawasan lembah kampung tersebut diterokai oleh para pembalak, penggunaan wayar besi keluli yang lebih lasak pula digunakan.

Friday, June 22, 2012

Kasih seorang kakak

Murid-murid kita mungkin  lebih bertuah. Mereka ke sekolah tidak perlu menggalas apa-apa selain dari buku. Bahkan bagi yang berkemampuan dihantar oleh ibubapa atau penjaga hingga ke pintu pagar ataupun hingga ke pintu kelas. Mereka hanya perlu memikirkan tentang pelajaran dan bagaimana untuk berjaya dengan segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan. Sewajarnya mereka mesti bersyukur dengan pernyataan tindakan , belajar bersungguh-sungguh dan menjadi insan yang berjaya.

Di sudut lain di dunia Tuhan yang luas ini ramai lagi mereka yang sebaya dengan anak didik kita mahupun anak kita berjuang dengan penuh kepayahan dan kesukaran bagi mendapatkan ilmu agar keluar dari "dunia" kemiskinan dan kesengsaraan. Kecekalan, kesabaran, kegigihan dan kasihsayang mereka menyentuh hati kita justru kadangnya kemudahan dan kesenangan yang anak-anak kita miliki menjarakkan rasa kasih , rasa hormat, rasa sayang bahkan semakin tinggi tembok keakuan dan kesombongan biarpun terbit dari "rahim" yang satu.


Niat yang baik cara yang hikmah itu lebih afdal

Seringkali apabila kita ingin menyampaikan sesuatu khususnya yang memberi faedah ramai kita sememang memasang niat yang baik dan memikirkan cara paling hikmah agar tidak disalah tafsir dan melukakan orang lain. Namun kadang-kadang kita terkhilaf dengan emosi atau sebagainya. Begitulah juga contohnya kita marah yang agak emosional kepada murid yang tidak siap kerja sekolah dengan niat amat ikhlas untuk mendidik mereka tetapi kadangnya cara kita menimbulkan polimik dan kontravesi.

Begitulah juga jika seorang pengurus yang agak tegas dan keras kerana mahu setiap ahli organisasi bertanggungjawab seringkali akan dianggap autokratik dan kurang disenangi. Mungkin cara itu tidak
kena pada masa dan tempatnya maka ianya mungkin dianggap kurang bijaksana. Sesungguhnya jika kita ingin menjadi manusia yang hebat dan matang kita perlu menerima padangan sedemikian dengan hati terbuka.

Kita mungkin pernah mendengar orang berkata keislaman seseorang dalam beberapa dimensi seperti berikut:
  • ada orang Islam, Islam dengan mahkluk kafir dengan Allah
  • ada orang Islam, Islam dengan Allah tapi kafir dengan makhluk
  • ada orang Islam , kafir dengan Allah kafir dengan makhluk
  • ada orang Islam, Islam dengan Allah , Islam dengan mahkluk
Daripada empat dimensi sudut pandang di atas pastinya kita mahu yang paling baik cara dan kaedah agar ianya tidak menimbulkan konflik dalam diri dan sesama manusia lain. Pastinya kita mahu kehidupan kita dan Islam kita menghubungkan kemuliaan dengan Allah dan dengan makluk (manusia). Dan pastinya kita akan menolak kehidupan dengan hubungan teruk dengan Allah dan makhluknya.

Begitulah gambaran dan analogi mudah untuk kita membuat pilihan terbaik cara dan kaedahnya walaupun  cara itu bukan salah tetapi barangkali kurang tepat dan kurang afdal untuk dijadikan amalan.

Sayang ada antara kita cuba lari dari realiti dan kebenaran semata-mata untuk menjaga hati. Ianya bercanggah dengan hadis Nabi " Katakanlah yang benar walaupun pahit ' (al-Baihaqi). Walau apapun sama ada larangan, teguran, nasihat ataupun bentuk penzahiran niat hendaklah dilakukan dengan bijaksana sebagaimana  pesan Nabi. Kebijaksanaan itu bukan sahaja aspek inti atau "content" tetapi juga caragaya bahasa dan intonasi tulisan ataupun percakapan.

Tindak-tanduk kita yang berada dan mendokong aspirasi dunia pendidikan sangat menuntut kebijaksanaan dan wastiyah ini. Pandangan umum guru adalah manusia berakhlak, beradab dan berilmu maka segala tindak-tanduknya mestilah melambangkan kemurniaan dan kebijaksanaan. Itulah cabaran guru antara menjadi penjawat awam, rakyat biasa dan insan bijaksana contoh massa.