Sunday, August 31, 2014

Penjawat awam mesti ada empat nilai murni



KUALA LUMPUR 30 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penjawat awam di negara ini perlu memiliki empat nilai murni di dalam diri masing-masing iaitu setia, berdedikasi, cekap dan berintegriti.

Perdana Menteri memberitahu, keempat-empat nilai itu amat penting untuk menghadapi masyarakat yang lebih matang, kompleks dan majmuk.

Menurut beliau, para penjawat awam hendaklah menunjukkan kesetiaan kepada kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah negara namun itu bukan bermakna mereka tidak boleh menegur secara berhemah.

"Ini merupakan prinsip asas yang kita tidak boleh lupakan dan anda tidak sepatutnya memperlekehkan kerajaan di dalam blog dan status Twitter.

"Kalau tidak betul, tegur. Ada cara untuk kita membuat teguran," katanya ketika berucap merasmikan pameran My Story: Transforming the Nation di Galeri Petronas, Pusat Beli-Belah Suria KLCC di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan serta Presiden Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), Tan Sri Sallehuddin Mohamad.

Perdana Menteri menambah, setiap penjawat awam mesti berdedikasi dengan melaksanakan tanggungjawab melebihi daripada amalan biasa.

"Bukan sekadar bekerja dari pukul 9 pagi hingga 5 petang atau dari pukul 8 pagi hingga 4 petang. Lakukan lebih daripada itu," jelasnya.

Najib berkata, para penjawat awam termasuk PTD perlu mempunyai kecekapan bagi menghadapi segala cabaran dalam era baharu.

Beliau memberitahu, antara kemahiran yang perlu dikuasai oleh penjawat awam pada era ini adalah dari segi berkomunikasi khususnya apabila berdepan dengan media.

"PTD perlu melakukan transformasi kerana era baharu adalah lebih mencabar berbanding zaman dahulu," ujarnya.

Najib turut menekankan tentang betapa pentingnya setiap penjawat awam memiliki sifat integriti dalam menjalankan tugas masing-masing.

sumber : Utusan Malaysia
 


No comments:

Post a Comment