Tuesday, August 12, 2014

CUEPACS mohon bonus dua bulan



 Azih Muda (tengah) menyerahkan sumbangan kepada wakil Raudatul Ulum
 di Wisma CUEPACS di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Hafiz Shah



KUALA LUMPUR 11 0gos - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus dua bulan gaji kepada kakitangan awam pada pembentangan Bajet 2015, Oktober ini.

Presidennya, Azih Muda berkata, pemberian bonus itu amat penting bagi mengurangkan beban tanggungan kakitangan awam terutamanya golongan berpendapatan rendah menangani kos sara hidup yang tinggi.

Katanya, ia juga selaras dengan pertumbuhan ekonomi negara yang semakin memberangsangkan selain bertujuan menghargai jasa penjawat awam dalam memacu perkembangan itu.

"Ekonomi negara ketika ini menunjukkan perkembangan positif dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat lebih lima peratus. Sekiranya ekonomi tidak menyusut dalam tempoh enam bulan, kami rasa momentumnya akan terus meningkat dan sudah tentu pemacu kepada keberkesanan ekonomi ini dimulai dengan penjawat awam.

"Malah CUEPACS berpendapat, dengan peruntukan bonus dua bulan itu juga ia mampu menyuntik semangat kira-kira 1.2 juta kakitangan awam di seluruh negara," katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan cek sumbangan RM20,000 kepada Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) bagi membantu pertubuhan kebajikan itu yang melaksanakan misi kemanusiaan di Gaza.

Sumbangan tersebut sebagai tanda prihatin pihaknya meringankan bebanan penduduk Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis.

Pada majlis itu juga, CUEPACS turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 masing-masing kepada Maahad Tahfiz Akademi Iqra al-Quran dan Pusat Jagaan Darul Atiq.

Azih berkata, pihaknya akan membuat permohonan rasmi berhubung pemberian bonus itu dengan menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat.

"Malah CUEPACS juga berharap dapat menyertai kerajaan dalam perbincangan bajet akan datang," katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan untuk campur tangan dalam projek pembinaan rumah mampu milik supaya harga rumah tidak dimanipulasi oleh pihak tertentu.

Katanya, kerajaan juga perlu menambah unit kediaman mampu milik selaras dengan permintaan pada masa ini.

"Kelayakan penjawat awam untuk memiliki rumah adalah sangat rendah. Ini merupakan fenomena yang terpaksa dilalui mereka. Oleh itu, kami cadangkan kerajaan untuk meningkatkan pembinaan rumah untuk tempoh lima tahun serta mengekalkan instrumen subsidi antaranya untuk tapak rumah dalam pembinaan rumah.

"Selain itu, kami menggesa kerajaan memanjangkan tempoh bayaran balik pinjaman perumahan agar jumlah potongan menjadi kecil dan lebihan itu boleh dibelanjakan untuk keperluan lain," katanya.

sumber : Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment