Tuesday, August 12, 2014

Sekolah 1Malaysia satu mekanisme terbaik



KUALA LUMPUR 11 Ogos - Kewujudan Sekolah Kebangsaan 1Malaysia dilihat sebagai satu mekanisme terbaik dan paling asas untuk terus mencipta keharmonian serta keamanan negara pada masa hadapan sekali gus menghakis ancaman terhadap semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.

Menurut Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Ab. Rahim Bakar, saranan tegas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baru-baru ini yang mahukan penjenamaan semula sekolah vernakular disifatkan sebagai nadi penggerak kepada perpaduan kaum di negara ini.

Jelasnya, 'pembahagian' dalam sistem pendidikan yang terdiri daripada sekolah kebangsaan (SK), sekolah jenis kebangsaan Cina (SKJC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) menjadi punca kepincangan semangat muhibah dalam kalangan rakyat.

"Semangat menghormati kaum lain perlu dibentuk sejak kecil lagi, sekiranya dari kecil mereka berkawan dan saling hormat-menghormati, saya percaya negara pada masa hadapan tidak lagi perlu berhadapan dengan rakyat yang mementingkan diri sendiri dan sering menghukum serta menghina agama lain," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Ab. Rahim, matlamat untuk menjadikan sekolah di negara ini sebagai Sekolah Kebangsaan 1Malaysia boleh dicapai sekiranya semua pihak termasuk Kementerian Pendidikan mempunyai keberanian dan kekuatan politik untuk melaksanakannya.

"Harapan mereka yang mengharapkan perubahan dalam sistem pendidikan negara terutamanya dalam mengekang budaya rasis dalam kalangan rakyat adalah mustahil sekiranya tiada kerjasama dan tidak mencapai satu matlamat," katanya.

Jelasnya, matlamat itu hanya boleh dicapai sekiranya kerajaan bertegas tetap mahu mewujudkan sekolah berkenaan selain rakyat mendukung penuh impian itu.

"Maka, setiap rakyat perlu berkompromi selain kerajaan menyediakan subjek khas untuk mata pelajaran Cina dan Tamil kepada semua murid. Cara itu, bukan sahaja membolehkan murid-murid memahami bahasa lain dengan baik, malah tidak akan ada lagi kenyataan-kenyataan berbau hasutan yang dikeluarkan dalam bahasa lain yang tidak difahami," katanya.

Tambahnya, kerajaan juga perlu sensitif terhadap tenaga pengajar dengan memastikan guru di setiap sekolah terdiri daripada pelbagai kaum.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan turut menyokong saranan Razali agar kerajaan tidak tunduk dengan mana-mana pihak untuk menambah bilangan SJKC.

Sebaliknya beliau berkata, kerajaan perlu lebih fokus serta memberi tumpuan memperbaiki kualiti prasarana dan pendidikan di sekolah kebangsaan agar jauh lebih baik berbanding sekolah alternatif tersebut.

"Penambahbaikan itu perlu bagi kedua-kedua perkara tersebut agar ibu bapa yakin dengan sistem pengajaran dan kokurikulum di sekolah kebangsaan untuk pendidikan anak mereka. Perkara pertama, kerajaan perlu buktikan sistem pendidikan negara mencapai standard cemerlang dan menjadi pilihan utama selain kerap menganjurkan aktiviti yang boleh mengikat perpaduan kaum.

sumber : Utusan Malaysia
 

0 ulasan:

Post a Comment