Wednesday, August 20, 2014

Pengisian Jawatan Guru Besar barisan hadapan kepimpinan sekolah

Semalam dalam Mesyuarat Penyelarasan Pertukaran Pengurusan Sekolah Rendah kekosongan Guru Besar Terengganu hingga akhir tahun ini bagi semua jenis dijangka hampir 30 orang.Empat daripadanya adalah Guru Besar di Sekolah Kekurangan Murid dan selebihnya di sekolah gred A dan B sama ada di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan.

Persoalannya mampukah jumlah kekosongan berkenaan diisi oleh calon-calon guru besar yang memenuhi kreteria baru iaitu mempunyai pengalaman pentadbiran sekurang-kurang tiga tahun, lulus sijil NPQEL dan sihat tubuh badan serta mempunyai sahsiah serta perwatakan sesuai sebagai pemimpin sekolah. Persoalan sedemikian timbul bilamana dalam mesyuarat berkaitan kita dimaklumkan oleh Ketua Unit Naik Pangkat JPN Terengganu , En. Ibrahim bin Ismail bahawa ada pemohon yang memiliki NPQEL tapi tiada pengalaman pengurusan atau pemohon ada pengalaman pengurusan tapi tiada NPQEL.

Bermula 1 Julai 2014 permohonan dan pemilihan Guru Besar dan Pengetua mengalami perubahan bilamana dasar dan kaedah baru dilaksanakan KPM sesuai dengan PPPM bagi memilih pemimpin sekolah yang dinamik dan berkualiti.Menurut Ketua Unit Naik Pangkat lagi, calon yang berkelayakan dalam permohonan akan dinilai dalam empat kreteria utama:
  1. Penyediaan Portfolio yang terdiri dua aspek iaitu peribadi dan program inovasi/penambahbaikan (15%)
  2. Perbincangan Kumpulan Tidak Terpimpin (PBTT) dengan masa 30 minit (30 %)
  3. Temuduga Berstruktur (TDB) 45 minit (35 %)
  4. LNPT tiga tahun terakhir (20%)
Penilaian berkaitan dilaksanakan dalam sesi temuduga oleh ahli panel khas yang dilatih oleh IAB. Urusan permohonan, temuduga dan Mesyuarat Panel diurusetiakan oleh Unit Naik Pangkat Jabatan. Ini bermakna calon bukan sekadar mengisi permohonan dan dokumen berkaitan sahaja seperti dahulu tetapi MESTI juga melalui proses temuduga di atas, tapisan panel jabatan dan kelulusan oleh Lembaga Naik Pangkat KPM sebelum ditawarkan ke sekolah.

Oleh yang demikian kita mengharapkan khusus kepada pemohon pemangkuan jawatan Guru Besar atau Pengetua supaya mempersiapkan diri agar setiap tapisan yang dilalui lulus dengan cemerlang. Dan apabila dilantik benar-benar kompeten untuk menjadi "jeneral" di sekolah.

Kadang-kadang dalam pemerhatian dan penelitian kita ada kalangan kita merasai diri hebat namun tidak mampu memenuhi syarat-syarat atau tidak lepas tapisan ditetapkan kemudian menyalahkan pelbagai pihak. Justru kita berharap pada mereka yang berminat mengisi jawatan kepimpinan sekolah pada masa depan tidak kira gred  apapun agar mempersiapkan diri secukupnya. Mungkin jika dilaksanakan sistem flexi maka kita tidak ketinggalan bas.

1 comment:

  1. Ingin kepastian.... berdasarkan laporan ketua unit naik pangkat JPNT bahawa ada pemohon yang mempunyai sijil NPQEL tetapi tidak ada pengalaman pentadbiran dan ada juga pemohon yang mempunyai pengalaman pentadbiran tetapi tiada sijil NPQEL. Persoalannya adakah guru yang mempunyai pengalaman pengurusan tetapi tiada sijil NPQEL boleh memohon? Saya ada bertanyakan kepada pihak pengurusan tentang perkara tersebut dan mereka mengatakan tidak layak memohon sedangkan kenyataan oleh Ketua Unit Naik Pangkat memperlihatkan maksud yang berbeza. Harap dapat diperjelaskan.

    ReplyDelete