Tuesday, August 30, 2011

Salam Perjuangan,Salam Kemerdekaan !


AKSARA MERDEKA

Setelah sekian lama kita menyusun dan mewarnakan
aksara merdeka,kenapa masih ada lagi
warga tanah bersejarah ini
yang kenal huruf tetapi terlupa maknanya
yang kenal angka tetapi terlupa nilainya
yang kenal bunyi tetapi terlupa nadanya
yang kenal rentak tetapi terlupa geraknya
yang kenal lagu tetapi terlupa iramanya
yang kenal akhir tetapi terlupa awalnya.

Setelah sekian lama kita membaca dan menghafal
aksara merdeka,kenapa masih ada lagi
warga tanah tercinta ini
yang cerah mata tetapi gelap hati
yang cerdik minda tetapi dungu peribadi
yang cantik bahasa tetapi buruk sikap
yang lembut budi tetapi keras lagak
yang merdu suara tetapi sumbang bicara.

Setelah sekian lama kita mencatat dan merakam
aksara merdeka,kenapa masih ada lagi
warga tanah pusaka ini
yang impikan kemajuan tetapi menolak teknologi
yang impikan kemakmuran tetapi membelakangkan ekonomi
yang impikan kesejahteraan tetapi mencetuskan pergolakan
yang impikan kegemilangan tetapi meremehkan wawasan.

Setelah sekian lama kita menganalisis dan mentafsir
aksara merdeka,kenapa masih ada lagi
warga tanah bertuah ini
yang terlepas kaki tetapi terikat tangan
yang terlepas mata tetapi terikat jiwa
yang terlepas fakir tetapi terikat cita-cita.

Setelah sekian lama kita menjulang dan memarbatkan
aksara merdeka,kenapa masih ada lagi
warga tanah bertuah ini
yang kasihkan bangsa tetapi bencikan pemimpin
yang cintakan agama tetapi menyelewengkan fatwa.

Setelah sekian lama menghargai dan menghormati
aksara merdeka,kenapa masih ada lagi
warga tanah berdaulat ini
yang menanam bunga tetapi menabur duri.

Karya: Wadi Leta S.A


Jadikan Aidilfitri hari memantapkan jalinan persaudaraan


KUALA LUMPUR 30 Ogos – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru rakyat Malaysia agar menjadikan Aidilfitri sebagai hari untuk memantapkan jalinan persaudaraan sesama umat Islam.

Sambil mengucapkan ”Selamat Hari Raya Aidilfitri” kepada semua umat Islam di Malaysia, beliau percaya dengan semangat perpaduan yang kental di kalangan umat Islam akan berjaya mengatasi segala cabaran yang mendatang.

"Sesungguhnya perpaduan adalah kunci utama yang membolehkan umat Islam bangkit sebagai umat terbaik, menjadi umat yang mencipta tamadun khaira ummah seperti mana yang dijanjikan dalam al-Quran,” katanya semalam dalam perutusan sempena Aidilfitri yang akan disambut hari ini. 

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata, sempena perayaan itu, rakyat Malaysia harus mengambil kesempatan untuk menyemarakkan amalan kunjung-mengunjung, bermaaf-maafan dan bantu membantu sesama mereka.

"Marilah kita ziarahi sanak-saudara dan rakan-taulan untuk mempertautkan jalinan persaudaraan. Kita lupakan sengketa lama dengan bermaaf-maafan di hari lebaran. 

"Kita pamerkan keprihatinan terhadap golongan miskin dan kurang bernasib baik dengan menunaikan zakat fitrah. Mudah-mudahan segala amalan yang baik ini akan memperkukuhkan lagi ikatan ukhuwwah dalam kalangan umat Islam dan seterusnya memantapkan perpaduan ummah,” katanya. – Bernama

Monday, August 29, 2011

Takbir Aidilfitri


Aidiliftri : Semenanjung diramalkan hujan

KUALA LUMPUR: Negeri di utara dan pantai timur Semenanjung serta ibu kota, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan dijangka meraikan Aidilfitri dalam suasana hujan yang diramal turun esok sehingga Rabu.
Jurucakap Jabatan Meteorologi Malaysia memberitahu Bernama di sini hari ini, hujan berterusan itu bagaimanapun pada amnya tidak akan menyebabkan banjir.
Akan tetapi kejadian banjir juga bergantung kepada kawasan di negeri terbabit, katanya.
Sementara itu, laporan pada laman web jabatan tersebut menyatakan Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan mengalami hujan di beberapa tempat pada sebelah petang esok.
Negeri-negeri lain diramal mendung dengan ribut petir pula dijangka melanda Perak, Pahang dan Johor Timur pada sebelah petang, kata laporan itu
Pahang dan Terengganu Selatan dijangka mengalami hujan di satu dua tempat manakala cuaca di tempat lain diramal baik pada sebelah malam.
Bagi umat Islam di Sabah dan Sarawak, mereka dijangka dapat meraikan Aidilfitri dalam keadaan cuaca baik pada sebelah pagi untuk tempoh dua hari akan datang.
Ribut petir diramal berlaku pada sebelah petang di Kuching, Samarahan, Miri, Limbang dan Kapit, manakala bahagian lain dijangka hujan, sementara cuaca di Sandakan, Tawau dan Kudat di Sabah diramal baik.
Maklumat lanjut mengenai cuaca boleh diperolehi menerusi www.met.gov.my. BERNAMA

Cara Menyambut Hari Raya Aidilfitri

Bulan Ramadan yang penuh keberkatan telah sampai ke penghujungnya. Kini Aidilfitri menjelang tiba.Insyaalah esok seluruh umat Islam akan menyambut hari kemenangan ini. Aidilfitri disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan kerana itulah tanda bahawa perjuangan melawan hawa nafsu di bulan Ramadan telah berjaya.

Tapi ini bukan bererti perjuangan tersebut berhenti setakat itu sahaja sebaliknya amalan-amalan baik yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan wajar diteruskan dan amalan yang haram adalah ditegah. Namun dalam keghairahan dan kegembiraan menyambut hari raya yang mulia, umat islam diingatkan agar jangan melampaui lunas-lunas dan batasan yang telah ditetapkan oleh Islam.

Ini kerana dibimbangi, hari raya yang dijadikan oleh Allah swt sebagai anugerah kerana kejayaan hambanya beribadah dan berjuang melawan hawa nafsu selama sebulan bertukar menjadi hari untuk menghimpunkan dosa-dosa yang tidak dapat dilakukan sepanjang bulan Ramadan.

Islam telah memberikan beberapa garis panduan yang sewajarnya menjadi amalan umat Islam dalam menghadapi kemeriahan berhari raya. Antara amalan sunat yang dianjurkan untuk menjadi amalan menjelang hari raya ialah:

  • Bertakbir dan bertahmid kepada Allah bermula dari waktu terbenam matahari malam hari raya sehingga imam mengangkat takbiratul ihram sembahyang hari raya. Firman Allah : "Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur" (Surah al-Baqarah :185)
  • Mandi sunat di pagi hari raya
  • Memakai pakaian baru atau bersih
  • Memakai wangi-wangian dan menghilangkan segala bau yang tidak elok
  • Memohon kemaafan dan keampunan kepada dua ibubapa, suami atau isteri dan ahli keluarga yang lain
  • Makan sedikit sebelum ke masjid dan melalui jalan yang berbeza untuk pergi dan pulang dari masjid
  • Solat Sunat Hari Raya
  • Ziarah menziarahi dan sebagainya. Ketika sedang gembira berhari raya, jangan dilupa pada golongan yang memerlukan Amalan bersedekah merupakan cara terbaik sebagai tanda kesyukuran di atas segala nikmat dan rezeki yang dikurniakan oleh Allah.
Selain daripada itu, dalam kesibukan membuat persiapan menghadapi hari raya , perlu dielakkan campuraduk antara amalan-amalan yang baik dengan perkara yang ditegah. Di antaranya pembaziran dalam penyediaan makanan dan minuman. Selain itu, percampuran di antara lelaki dan perempuan secara bebas di dalam sesuatu majlis perlu dielakkan daripada berlaku.

Perkara-perkara maksiat yang ditegah oleh syara' mestilah dijauhi dan janganlah melakukan perlanggaran batas-batas agama. Umat Islam juga perlulah menjaga adab sopan ketika ziarah menziarahi sanak saudara.

Di antaranya ialah dengan memilih waktu yang sesuai untuk berziarah. Apa yang diharapkan, hari raya bukan semata-mata hari untuk bergembira tetapi yang lebih penting dan utama ialah mendapat keredhaan dari Allah s.w.t.
 

Friday, August 26, 2011

Syarat Baru Kemasukan SBP Untuk Murid Miskin, Luar Bandar

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran menggubal syarat baru kelayakan minimum kemasukan tingkatan satu ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) iaitu keputusan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) 3A 2B bagi murid daripada keluarga miskin dan 4A 1B bagi murid luar bandar, mulai tahun depan.
Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata syarat baru itu bertujuan membantu dua kategori murid itu mendapat pembelajaran yang lebih sempurna dan memberi peluang kepada mereka untuk ke SBP.

"Matlamat utama adalah supaya murid-murid ini akan mendapat kelulusan pada peringkat tertinggi dan mampu untuk merubah taraf hidup keluarga mereka ke arah kehidupan yang lebih berkualiti," katanya dalam satu kenyataan Jumaat.

Antara kriteria pemilihan murid ke SBP sebelum ini ialah keputusan 5A dalam UPSR dan aktif dalam kegiatan kokurikulum.

Muhyiddin berkata kementerian sedar murid-murid daripada keluarga miskin dan murid dari sekolah luar bandar ramai yang ketinggalan dan kurang mampu untuk mendapatkan bantuan seperti kelas tambahan berbayar selain ada yang tidak dapatmenumpukan kepada masa pembelajaran yang sempurna kerana hidup keluarga yang susah.

"Kementerian juga mendapati pendedahan kelompok ini kepada pembelajaran am dan dunia luar amat terhad disebabkan oleh kedudukan rumah, sekolah dan keluarga mereka yang kurang mampu," katanya.

Muhyiddin berkata Kementerian Pelajaran sentiasa memikirkan dan mengambil langkah untuk membantu para pelajar yang tidak berkemampuan dan yang ketinggalan seperti pelajar miskin dan pelajar di luar bandar.

Menurut kenyataan itu, pelajar miskin dikategorikan berdasarkan pendapatan keluarga yang merujuk kepada ketetapan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Mengikut Wilayah 2007 iaitu sebanyak RM720 sebulan bagi Semenanjung Malaysia, RM960 sebulan bagi Sabah dan Labuan serta RM830 sebulan bagi Sarawak.
Menurut data lokasi sekolah Kementerian Pelajaran, sebanyak 4,319 sekolah rendah dikategorikan sebagai lokasi luar bandar manakala 830 buah lokasi pedalaman. - BERNAMA

Renungan Jumaat - Taubatnya Malik bin Dinar


Kehidupanku bermula dengan sia-sia, mabuk, maksiat, berbuat zalim kepada manusia, memakan hak manusia, memakan riba, dan memukul manusia. Kulakukan segala kezaliman, tidak ada satu maksiat melainkan aku telah melakukannya. Sungguh sangat jahat hingga manusia tidak menghargaiku kerana kejahatanku.

Malik bin Dinar menuturkan: Pada suatu hari, aku merindukan pernikahan dan memiliki anak. Maka kemudian aku menikah dan dikurniakan seorang puteri yang kuberi nama Fatimah.

Aku sangat mencintai Fatimah. Setiap kali dia bertambah besar, bertambah pula keimanan di dalam hatiku dan semakin sedikit maksiat di dalam hatiku.

Pernah suatu ketika Fatimah melihatku memegang segelas khamar (arak), maka diapun mendekat kepadaku dan menyingkirkan gelas tersebut hingga tumpah mengenai bajuku. Saat itu umurnya belum genap dua tahun. Seakan-akan Allah SWT yang membuatnya melakukan hal tersebut.

Setiap kali dia bertambah besar, semakin bertambah pula keimanan di dalam hatiku. Setiap kali aku mendekatkan diri kepada Allah SWT selangkah, maka setiap kali itu pula aku menjauhi maksiat sedikit demi sedikit. Hingga usia Fatimah genap tiga tahun, saat itulah Fatimah meninggal dunia.

Maka akupun berubah menjadi orang yang lebih buruk dari sebelumnya. Aku belum memiliki sikap sabar yang ada pada diri seorang mukmin yang dapat menguatkanku di atas dugaan musibah. Kembalilah aku menjadi lebih buruk dari sebelumnya. Syaitan pun mempermainkanku, hingga datang suatu hari, syaitan berkata kepadaku: “Sungguh hari ini engkau akan mabuk dengan mabuk yang belum pernah engkau lakukan sebelumnya.” Maka aku bertekad untuk mabuk dan minum khamar sepanjang malam. Aku minum, minum dan minum. Maka aku lihat diriku telah terlempar di alam mimpi.

Di alam mimpi tersebut aku melihat hari kiamat. Matahari telah gelap, lautan telah berubah menjadi api, dan bumipun telah bergoncang. Manusia berkumpul pada hari kiamat. Manusia dalam keadaan berkelompok-kelompok. Sementara aku berada di antara manusia, mendengar seorang penyeru memanggil: Fulan ibn Fulan, kemari! Mari menghadap al-Jabbar. Aku melihat si Fulan tersebut berubah wajahnya menjadi sangat hitam karena sangat ketakutan. Sampai aku mendengar seorang penyeru menyeru namaku: “Mari menghadap al-Jabbar!”

Kemudian hilanglah seluruh manusia dari sekitarku seakan-akan tidak ada seorangpun di padang Mahsyar. Kemudian aku melihat seekor ular besar yang ganas lagi kuat merayap mengejar kearahku dengan membuka mulutnya. Aku pun lari kerana sangat ketakutan. Lalu aku mendapati seorang lelaki tua yang lemah. Akupun berkata: "Selamatkanlah aku dari ular ini!” Dia menjawab: “Wahai anakku, aku lemah, aku tak mampu, akan tetapi larilah kearah ini. Mudah-mudahan engkau selamat!”

Akupun berlari ke arah yang ditunjukkannya, sementara ular tersebut berada di belakangku. Tiba-tiba aku mendapati api ada dihadapanku. Akupun berkata: “Apakah aku melarikan diri dari seekor ular untuk menjatuhkan diri ke dalam api?” Akupun kembali berlari dengan cepat sementara ular tersebut semakin dekat. Aku kembali kepada lelaki tua yang lemah tersebut dan berkata: “Demi Allah, wajib atasmu menolong dan menyelamatkanku.” Maka dia menangis kerana hiba dengan keadaanku lalu berkata: “Aku lemah sebagaimana engkau lihat, aku tidak mampu melakukan sesuatupun, akan tetapi larilah ke arah gunung tersebut mudah-mudahan engkau selamat!”

Akupun berlari menuju gunung tersebut sementara ular akan mematukku. Kemudian aku melihat di atas gunung tersebut terdapat anak-anak kecil, dan aku mendengar semua anak tersebut berteriak: “Wahai Fatimah tolonglah ayahmu, tolonglah ayahmu!”

Selanjutnya aku mengetahui bahwa dia adalah puteriku. Akupun berbahagia bahawa aku mempunyai seorang puteri yang meninggal pada usia tiga tahun yang akan menyelamatkanku dari situasi tersebut. Maka dia pun memegangku dengan tangan kanannya, dan mengusir ular dengan tangan kirinya sementara aku seperti mayat kerana sangat takut. Lalu dia duduk di pangkuanku sebagaimana dulu di dunia.

Dia berkata kepadaku:
“Wahai ayah, “belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah.” (Qs. Al-Hadid:16)

Maka kukatakan: “Wahai puteriku, beritahukanlah kepadaku tentang ular itu.”
Dia berkata: “Itu adalah amal keburukanmu, engkau telah membesarkan dan menumbuhkannya hingga hampir memakanmu. Tidakkah engkau tahu wahai ayah, bahwa amal-amal di dunia akan dirupakan menjadi sesosok bentuk pada hari kiamat? Dan lelaki yang lemah tersebut adalah amal kebajikanmu, engkau telah melemahkannya hingga dia menangis kerana keadaanmu dan tidak mampu melakukan sesuatu pun untuk membantumu. Seandainya saja engkau tidak melahirkanku, dan seandainya saja tidak mati saat masih kecil, maka tidak akan ada yang memberikan manfaat kepadamu.”

Malik Bin Dinar berkata: Akupun terbangun dari tidurku dan berteriak: “Wahai Rabbku, sudah saatnya wahai Rabbku, ya, “Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah.” Lantas aku mandi dan keluar untuk solat subuh dan ingin segera bertaubat dan kembali kepada Allah SWT.

Beliau berkata:
Akupun masuk ke dalam masjid dan ternyata imam pun membaca ayat yang sama:
“Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah.” (Qs. Al-Hadid: 16)
.....

Itulah kisah taubatnya Malik bin Dinar yang mana beliau kemudian menjadi salah seorang imam generasi tabi'in, dan termasuk ulama Basrah. Beliau sering menangis sepanjang malam dan berkata: “Ya Ilahi, hanya Engkaulah satu-satunya Dzat Yang Mengetahui penghuni syurga dan penghuni neraka, maka yang manakah aku di antara keduanya? Ya Allah, jadikanlah aku termasuk penghuni syurga dan jangan jadikan aku termasuk penghuni neraka.”

Malik bin Dinar bertaubat dan pada setiap harinya beliau selalu berdiri di pintu masjid berseru: “Wahai para hamba yang membuat maksiat, kembalilah kepada Penolongmu! Wahai orang-orang yang lalai, kembalilah kepada Penolongmu! Wahai orang yang melarikan diri (dari ketaatan), kembalilah kepada Penolongmu! Penolongmu sentiasa menyeru memanggilmu pada malam dan siang hari. Dia berfirman kepadamu:

“Barangsiapa mendekatkan dirinya kepada-Ku satu jengkal, maka Aku akan mendekatkan diri-Ku kepadanya satu hasta. Jika dia mendekatkan dirinya kepada-Ku satu hasta, maka Aku akan mendekatkan diri-Ku kepadanya satu depa. Siapa yang mendatangi-Ku dengan berjalan, Aku akan mendatanginya dengan berlari kecil.”

Aku memohon kepada Allah Subhanahu SWT agar memberikan rezeki taubat kepada kita. Tidak ada sembahan yang hak selain Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim.

Malik bin Dinar wafat pada tahun 130 H. Semoga Allah SWT merahmatinya dengan rahmatNya yang luas. (Misanul I'tidal, III/426).

Ihsan : Blog Teh Secawan 

Wednesday, August 24, 2011

SK Sungai Berua antara harapan dan cabaran

HULU TERENGGANU - Pagi tadi saya (Penyelia Kanan Projek Khas/Asli/Kluster) dan Ketua Unit Sekolah Rendah sampai untuk kedua kalinya ke SK Sungai Berua,Hulu Terengganu yang jaranknya lebih kurang 18 km dari bandar Kuala Berang. Sewaktu kami sampai lebih kurang jam 11.00 pagi suasana agak sunyi daripada hiruk-pikuk murid yang berjumlah 109 orang semuanya. Mengapa ? Ke mana muridnya sedangkan kereta guru masih lagi diam di hadapan sekolah.

Kami disambut oleh Guru Besar,En. Marzilaini bin Muhamad yang masih muda dan penuh bertenaga."Inilah masalahnya tuan,bulan Ramadhan ni sekitar sepuluh hingga lima peratus je yang hadir",jelas Guru Besar. Ini disebabkan pada bulan puasa makanan sama ada RMT atau dari sumber lain tidak dapat dibekalkan. Oleh yang demikian budaya 3M (makan,main,muzik) yang tidak dapat dipenuhi maka memberi kesan teruk kepada kehadiran dan pembelajaran.

Harapan Guru Besar dan guru-guru agak tinggi untuk merubah dan membawa budaya baru dengan pelaksanaan bermacam-macam program namun impaknya masih lagi samar. Status SK Sungai Berua berada pada Band 7,ujian-ujian OTI belum ada seorang calonpun yang lulus C bagi semua mata pelajaran,kehadiran amat tidak memuaskan dan kadar kesedaran komuniti terhadap pembelajaran masih lagi rendah. Walhal sudah ada kelas dewasa (KEDAP) serta PIBG yang ditubuhkan dan pelbagai program pembangunan komuniti dilaksanakan  namun ianya masih belum memugar dan merungkai jiwa ibubapa dan komuniti melihat pendidikan sebagai agen yang boleh meningkatkan struktur sosial dan ekonomi.

Kita sangat faham dan mengerti akan cabar dan pahit getir untuk merubah pemikiran dan kesedaran anak-anak orang Asli kepada guru-guru yang sebenar-benarnya menghayati nilai dan integriti kerjabuat guru. Namun kepada segelintir mungkin satu keseronokan kerana "beban" kerja mengajar tidak seberat di sekolah besar di bandar. Ini juga satu cabaran perlu ditangani dengan bijaksana agar kemahiran keguruan tidak pupus dan hanyut begitu sahaja.

KPI kita bagi sekolah orang Asli yang paling penting ialah mengekal kehadiran maksima,berganjak dari Band 7 ke Band lebih tinggi serta melahirkan personaliti-pesonaliti unggul yang boleh dijadikan contoh ikutan oleh kaum mereka. Ianya perlu kepada perancangan plan strategik yang tepat dan pelaksanaan yang tekal konsisten. Sebenarnya banyak ruang,peluang dan lompang yang boleh dimanafaatkan oleh para guru membina kecemerlangan dalam pelbagai bidang-bidang lain agar ianya menjadi ikon-ikon yang boleh mempertingkatkan reputasi sekolah orang Asli dan mungkin berupaya mengubah persepsi masyarakat umum dan masyarakat orang Asli sendiri. Antara bidang itu ialah bidang 3K,pengurusan sekolah,gelari,pendokumentasian dan sebagainya.Pengalaman saya melawat sekolah orang Asli di Pahang dan Selangor kita seakan tidak terasa berada di sekolah orang Asli kerana bangunannya,3Knya,kejayaan-kejayaannya,kebitaraan dan kecemerlangan telah merubah "rupa dan wajah" persepsi sempit sebahagian kita selama ini.


Sekolah SK Ulu Lubai (SBT) atau sekolah orang Asli yang berada pada Band 1 di negeri lain boleh menjadi benchmarking untuk membuktikan bahawa sekolah orang Asli lebih baik dari sekolah kebangsaan biasa.Adalah tidak mustahil jika semua pihak beriltizam dan melakukan tindakan strategik yang konsisten untuk menjadikan SK Sungai Berua dan SK Sungai Pergam di Terengganu kita sekolah yang hebat dan terbilang menjadi kenyataan.

 

Mesyuarat Penyelarasan Terakhir Persediaan Pencalonan SBT Negeri Terengganu 2011

KUALA TERENGGANU - Semalam telah diadakan Mesyuarat dan Taklimat Terakhir Persediaan Pencalonan SBT Terengganu 2011 di SK Sultan Sulaiman 1,Kuala Terengganu sekaligus diadakan lawatan penandaarasan di sekolah tersebut bagi melihat model persediaan. Beberapa Ketua Sektor,PPD dan semua sekolah yang dicalonkan telah hadir. Ketua Sektor Sekolah selaku Ketua Urusetia SBT peringkat negeri telah menyampaikan taklimat hasil  penemuan dan dapatan pemantauan serta input-input terkini yang diperolehi.

Sejak bengkel Pencalonan SBT untuk Sekolah Band 1 yang diadakan KPM di sini  dan di sini sekolah-sekolah yang dicalonkan telah membuat persediaan sewajarnya. Dan urusetia pada  26 Jun 2011 telah mengadakan taklimat sekali lagi kepada semua calon SBT menengah dan rendah dengan bantuan Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti Negeri Terengganu. Kemudian bagi membantu calon satu siri pemantauan dan khidmat bantu telah diadakan.Selain dari itu dengan kerjasama Sektor ICT telah diadakan bengkel penyediaan web atau blog kepada sekolah calon yang terdiri dari sekolah rendah.

Hasil dapatan pemantauan sekali lagi pihak urusetia memberi feedback dengan menyiar dan menghantar email berkaitan persediaan dan penilaian SBT. Banyak sekolah telah bertanyakan pihak urusetia bilakah Panel Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti  akan datang membuat penilaian? Pertanyaan ini timbul kerana dalam taklimat terdahulu telah dimaklumkan kemungkinan Julai 2011 penilian akan mula dilaksanakan. Ketua Sektor Sekolah dalam taklimat semalam membanyangkan kemungkinan penilaian akhir akan diadakan selepas hari raya nanti. Oleh itu beliau mengingatkan sekolah sekali agar dapat membuat persediaan rapi terutama bahagian penilaian Annex selain verifikasi SKPM dan dokumen-dokumen berkaitan proses kerja SKPM .Bidang penilaian Annex yang dititikberatkan sebagai jenama SBT iaitu:

  1. Personaliti Unggul
  2. Jalinan
  3. Jaringan
  4. Kejayaan Sekolah
  5. Penandaarasan atau benchmarking
Maklumat yang diperolehi urusetia, kemungkinan sekolah berikut sahaja yang terpilih penilaian akhir. Beliau berharap sekolah yang tidak tersenarai tidak kecewa malah terus memperbaiki kelemahan yang ada untuk pencalonan akan datang. Sekolah-sekolah yang dijangka tersenarai untuk penilaian akhir ialah:
  • SM Sains Kuala Terengganu, Kuala Terengganu 
  • SM Imtiaz Kuala Terengganu, Kuala Terengganu 
  • SBPI Batu Rakit, Kuala Terengganu 
  • SMK Mak Lagam, Kemaman 
  • SM Sains Dungun, Dungun 
  • SM Imtiaz Dungun, Dungun 
  • SK Sultan Sulaiman I, Kuala Terengganu 
  • SK Tengku Mahmud 2, Besut 
  • SK Tengku Mahmud, Besut 
  • SK Rantau Petronas, Kemaman 
  • SK Dusun, Hulu Terengganu 
  • SK Seri Berang, Hulu Terengganu
Kita berdoa semoga sekolah kita yang berkemungkinan masuk dalam penilaian akhir dapat memberi yang terbaik dan meletakkan mereka dalam senarai penerima Anugerah SBT 2011. Pihak urusetia mengambil peluang merakamkan setinggi penghargaan terima kasih atas sokongan dan bantuan khidmat nasihat dari BPSBPSK KPM,Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti Negeri Terengganu,Ketua-Ketua Sektor JPNT,PPD dan pegawai di JPNT dan PPD serta Semua Pengetua dan Guru Besar Sekolah Calon SBT 2011.

Sesungguhnya "kejayaan luarbiasa bukan dilahirkan oleh manusia-manusia luarbiasa tetapi dihasilkan oleh manusia-manusia biasa yang mempunyai semangat,iltizam,komitment dan daya usaha melebihi daripada norma kebiasaan  atau  "beyond average"