Kebelakangan ini "semarak kemerdekaan" tidak semeriah sebagaimana beberapa tahun terdahulu. Situasi ini berlaku mungkin agaknya kerana ianya bersamaan dengan bulan puasa atau juga kerana suasana dan iklim "politik persepsi" yang melihat patriotisma bukan lagi tunjang utama dalam pembinaan negara bangsa. Walau bagaimanapun sebagai bangsa yang merdeka dan berdaulat serta berpegang kepada ungkapan (hadis?) yang sering diungkapkan "Cintakan tanah air sebahagian daripada iman" maka setiap warga tanah pusaka tercinta wajar menterjemahkan "semarak kemerdekaan" itu melalui pelbagai pernyataan seperti mengibar bendera Jalur Gemilang,deklamasi puisi petrotik dan berbagai lagi.
Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu selaku insitusi secara langsung terlibat mejana modal insan dan membina negara bangsa turut serta menyemarakkan semangat kemerdekaan. Selain pertandingan mengibar dan menghias Jalur Gemilang mengikut sektor,pameran Perjuangan Perdana Ke Arah Kemerdekaan juga diadakan di lobi jabatan bermula Khamis lepas. Kita berharap usaha-usaha ini bukan sahaja sekadar menyemarakkan suasana kemerdekaan tetapi juga memberi info berguna kepada generasi muda khususnya bagaimana perjuangan mencapai kemerdekaan yang penuh ranjau dan duri serta pengorbanan nyawa para pejuang dilaksanakan.
Kita berharap semoga dengan usaha-usaha menyemarakkan sambutan ulang tahun kemerdekaan ini akan membangkitkan rasa cinta dan kasih mendalam kepada negara serta menghargai nikmat harga kemerdekaan yang mahal. Kita juga mengharapkan agar semua sekolah mengadakan program-program menyemarakan semangat kemerdekaan atau menyerapkan semangat merdeka ini dalam program-program terakhir UPSR.Mudah-mudahan perasaan itu tidak akan padam sebagaimana padamnya pelbagai hak milik kita bangsa merdeka berdaulat akibat kealpaan dan ketololan kita sendiri. Jangan nanti generasi akan datang hanya akan kenal dan melihat "erti kemerdekaan" hanya dalam catatan dan grafik di muzium sejarah bangsa sahaja..
No comments:
Post a Comment